Monday, May 25, 2015

Menjaga nilai Kenderaan anda

BAGAIMANAKAH perasaan anda apabila memiliki kereta baru? Sudah pasti semua aspek dimiliki membuatkan anda bangga memandunya. Mungkin, perasaan itu berbeza jika dibandingkan memandu kereta anda kini.

Bagaimanapun, kereta anda boleh berada dalam keadaan baik dan terjaga seperti kereta baru jika kena caranya. Dengan disiplin betul, anda dapat berjimat dengan mengurangkan kos penyelenggaraan kereta. Kereta yang sentiasa dijaga dapat mengurangkan proses kehausan tidak sekata atau sebarang kerosakan serius. Ini meningkatkan nilai jualan semula kereta jika berhasrat menjualnya pada masa depan. Selain nilai jualan semula tinggi, anda secara tak langsung mengutamakan keselamatan dan perjalanan selesa ketika memandu.

Anda tidak perlu membeli kereta baru untuk menikmati perasaan sebegini. Lakukan beberapa rutin berikut:

TUKAR MINYAK ENJIN

Minyak enjin memberikan pelinciran yang diperlukan. Selain itu, ia memberikan perlindungan penting kepada bahagian enjin lain. Minyak kotor memberikan sedikit atau mungkin tiada pelinciran pada enjin.

Malah, minyak kotor menyebabkan proses penghakisan. Sekiranya kedua-duanya berlaku, ia menyebabkan kerosakan enjin serius. Kekerapan penukaran minyak enjin bergantung kepada beberapa faktor iaitu keadaan enjin dan cara pemanduan anda.

Buku panduan pemilik kereta dapat memberi panduan secara umum untuk pengetahuan anda. Namun, anda perlu bertanya kepada mekanik untuk sebarang cadangan atau nasihat. Anda dinasihatkan supaya memeriksa tahap kandungan minyak untuk sebarang perubahan sebelum menambah minyak ketika servis.

PENYELENGGARAAN BREK

Bahagian penting kerana boleh membahayakan nyawa anda, keluarga dan orang lain di jalan raya. Sekiranya tidak menjaga pedal brek, ia mungkin gagal berfungsi terutama ketika waktu kecemasan. Ketetapan waktu servis memastikan sebarang masalah dapat dikesan sebelum terlambat. Tanda pedal brek kereta bermasalah adalah seperti berikut:

* Ketika memandu, stereng kereta bergetar

* Jarak pemberhentian meningkat

* Kereta anda tidak stabil apabila berhenti

PENJAGAAN TAYAR

Tayar alat keselamatan yang paling penting sebuah kereta. Bagi memastikan tayar dalam keadaan terbaik serta boleh memanjangkan jangka hayat penggunaannya, anda dinasihatkan melakukan perkara berikut:

* Penjajaran roda Pengimbangan roda

* Memeriksa tekanan angin

* Memeriksa putaran roda

Tayar yang tidak dijajar atau diimbangkan menghasilkan kehausan tidak rata pada tayar dengan pantas. Apabila ini berlaku, ia menjejaskan keselamatan dan kelancaran pemanduan. Tekanan angin yang betul pada tayar penting kerana mempengaruhi kestabilan, penjimatan petrol dan prestasi tayar terutama ketika membelok di selekoh tajam atau membrek kereta. Putaran roda bukanlah satu kemestian tetapi ia digalakkan kerana ia membolehkan penggunaan tayar dengan sekata.

PERIKSA SISTEM PENYEJUKAN

Cecair penyejuk atau 'coolant' membantu enjin dikendalikan pada tahap suhu        sesuai. Ia digunakan untuk melindungi sistem penyejukan daripada terhakis. Jika tidak diganti, ia menjadikan sistem rosak dalam jangka masa tertentu dan enjin terdedah serta mengalami pemanasan melampau.

Dengan menukarkan cecair penyejuk, ia menanggalkan kekotoran dan kesan karat yang membuat sistem penyejukan menjadi tersumbat.

BASUH DAN GILAP

Sekiranya kereta anda dibasuh selalu, ia bukan saja mencerminkan keperibadian anda, ia menghindarkan sebarang pencemaran serta melindungi bahagian luarannya. Ketika membasuh kereta dinasihatkan supaya menggunakan sabun sesuai yang tidak menanggal atau menipiskan cat kereta. Jangan lupa membilas kain atau span digunakan dengan bersih kerana kekotoran terperangkap di atas kain menyebabkan cat kereta calar apabila digunakan kembali.

Bersihkan bahagian bawah kereta untuk menghindarkan ia berkarat. Kekotoran dan serpihan boleh menyebabkan kelembapan berlaku pada bahagian ini. Ia menyebabkan karat dalam jangka masa tertentu. Akhir sekali, selepas kereta anda dibasuh dengan teliti, pastikan tiada kesan buih sabun tertinggal pada badan kereta dan dikeringkan. Kereta anda perlu digilap sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai perlindungan tambahan.

PENJAGAAN BAHAGIAN DALAM KERETA

Jagalah bahagian dalam kereta seperti menjaga rumah anda. Vakum sekerap mungkin dan bersihkan fabrik tempat duduk untuk mengelakkannya menjadi pudar dan tidak bermaya. Sentiasa berhati-hati ketika makan atau minum dalam kereta supaya tidak meninggalkan sebarang kesan kotoran. Bahagian panel dan papan pemuka kereta perlu diberi perhatian dan dilap sekerap mungkin.

No comments: