Senaman ringkas di pejabat

SEHARIAN bekerja sudah tentu meletihkan dan apabila pulang ke rumah, apa yang terfikir hanyalah berehat sambil menonton televisyen atau bersama keluarga.

Sudah tentu, dengan rutin ini, anda hampir tiada masa untuk bersenam atau mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana kekangan waktu. Cuba fikirkan anda berada di pejabat dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Malah, ketika pulang pula terpaksa menghadapi kesesakan jalan raya dan boleh dikatakan sebahagian waktu anda dihabiskan tanpa melakukan regangan atau senaman.

Apatah lagi anda terperuk di dalam pejabat dan kereta yang mempunyai hawa dingin. Sedikit sebanyak ia turut menjejaskan kesihatan anda dan menjadikan anda seorang yang tidak sihat.

Cara yang terbaik untuk mengekalkan anda sentiasa sihat selain menjaga pemakanan adalah melakukan regangan ringkas atau senaman. Berikut dikongsi tip senam mudah yang boleh dilakukan di pejabat:

* Gunakan tangga dan kurangkan penggunaan lif atau ketika makan tengah hari amalkan untuk berjalan ke restoran berdekatan pejabat anda.

* Ketika duduk, gunakan teknik arm strengthen di mana anda hanya perlu duduk tegak di kerusi anda dan bawa tangan anda ke depan kemudian tegakkan tapak tangan anda ke atas.

* Genggam telapak tangan yang ditegakkan ke atas menggunakan tapak tangan sebelah lagi. Perlahan-lahan turunkan tangan dan pastikan kedudukan tangan tidak berubah untuk menguatkan otot lengan. Lakukan beberapa kali dan ulang langkah yang sama pada tangan sebelah lagi.

* Anda juga boleh mengamalkan teknik wrist movement di mana masih lagi dalam kedudukan tegak. Rapatkan kedua-dua telapak tangan ke bawah dagu. Bengkokkan pinggang ke sebelah kiri anda, selama tiga hingga empat saat. Tegakkan semula badan dan bengkokkan semula pinggang ke sebelah kanan pula.

* Manakala teknik back twist pula memerlukan anda duduk tegak dan bukakan sedikit ruang di belakang anda di bahagian pinggul. Letakkan tangan kanan di belakang pinggul sebelah kiri. Pusingkan pinggang anda ke sebelah kiri dan kekalkan kedudukan itu hingga tiga hingga empat saat. Ulang langkah di sebelah kanan pula.

Malah anda masih lagi boleh melakukan senaman ringkas sebegini ketika menghadiri mesyuarat panjang atau sedang melakukan perbincangan bersama dengan rakan sekerja.

Sehubungan itu, tiada lagi alasan untuk menyatakan anda tiada masa untuk melakukan senaman kerana sibuk dan kerap pulang lewat ke rumah.

Jika pejabat anda mempunyai gimnasium, gunakan peluang ini sebaiknya dan luangkan kirakira 20 minit untuk melakukan senaman ketika waktu rehat atau sebelum pulang ke rumah.

Bagi memastikan anda sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, apa kata ajak rakan sekerja melakukan senaman bersenam. Pasti ini lebih menyeronokkan!

Sumber: Berita Harian - Sat, Feb 18, 2012 - Inspirasi - Oleh Mohd Hoesni Rahmat 

Dana kecemasan

APA yang akan berlaku jika tiba-tiba anda tidak mampu membiayai pendidikan anda? Bolehkah anda mengorbankan matlamat dan memperoleh ijazah atau adakah anda mempunyai rancangan sokongan untuk menghadapi perkara tidak diduga?

Dalam kehidupan, ada banyak ketidaktentuan yang mungkin anda hadapi - daripada kerosakan kecil kenderaan kepada kematian pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

Peristiwa yang tidak diduga mungkin berlaku dan membawa kemudaratan kepada anda atau ahli keluarga. Dalam kebanyakan keadaan seperti itu, wang diperlukan.

Adalah amat penting bagi anda untuk bersedia dan mempunyai sumber sokongan serta pengetahuan untuk menghadapi situasi yang memerlukan anda berfikir bagaimana menyelesaikan masalah yang mungkin di luar pengalaman anda.

Dana kecemasan adalah salah satu alat sokongan yang boleh digunakan. Senaraikan dana kecemasan sebagai suatu matlamat kewangan anda.

Sebagai panduan, anda memerlukan simpanan bagi perbelanjaan sara hidup selama sekurang-kurangnya enam bulan dalam dana kecemasan anda. Malah lebih baik menyimpan bagi perbelanjaan sehingga 12 bulan.

Contohnya, jika anda memerlukan lebih kurang RM1,500 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup, termasuk bayaran tetap seperti pinjaman perumahan atau sewa dan premium insurans, bil elektrik dan air. Anda sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya RM9,000 dalam dana kecemasan (RM1,500 x 6 bulan).

Jika boleh, simpan RM1,8000 dalam dana kecemasan (RM1,500 x 12 bulan). Pada mulanya mungkin sukar bagi anda menyimpan wang sebanyak itu, tetapi simpanlah sedikit demi sedikit bagi tempoh tertentu untuk membina dana ini.

Ingat, anda harus berusaha gigih untuk menyimpan wang.

Aset dan liabiliti

APA yang anda miliki dan apa yang anda berhutang. Dalam perancangan kewangan, anda perlu menilai kedudukan kewangan semasa anda.

Ini bermakna dari segi kewangan, apa yang dimiliki dan jumlah yang dihutang serta baki yang ada selepas menolak bayaran lain. Dalam erti kata lain, berapakah baki wang yang tinggal di tangan anda?.

Untuk melakukan ini, anda memerlukan dua jenis penyata kewangan iaitu penyata kira-kira peribadi dan penyata aliran tunai.

Kedua-dua penyata ini dapat membantu anda memberikan maklumat mengenai kedudukan kewangan semasa dan ringkasan pendapatan dan perbelanjaan anda.

Mengukur pencapaian anda dalam memenuhi matlamat kewangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Menyimpan maklumat mengenai aktiviti kewangan anda seperti pelaburan dan corak perbelanjaan.

Menyediakan data yang boleh digunakan untuk mengisi borang cukai pendapatan atau membuat permohonan pinjaman bank. Penyata kewangan peribadi mencatatkan apa yang anda miliki dan apa yang anda hutang.

Apa yang dimiliki (aset) termasuk wang tunai, tabungan, hartanah, amanah saham atau saham syarikat. Manakala hutang anda (tanggungan) merangkumi semua jenis pinjaman.

Sama ada hutang bank, keluarga atau kawan, selain hutang kad kredit dan pembayaran yang dijangka seperti sewa rumah dan bil utiliti.

Penyata kira-kira peribadi adalah kad skor yang lazimnya boleh digunakan untuk menilai kedudukan kewangan anda. Ini boleh menjadi titik rujuk semasa membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan.

Contoh penyata kira-kira peribadi yang disediakan di bawah boleh digunakan sebagai panduan untuk membuat penyata anda. Penyata kira-kira peribadi ini mempunyai nilai harta bersih yang positif kerana jumlah aset melebihi jumlah liabiliti.

Contoh penyata kira-kira peribadi

Butiran - Aset (RM) - Liabiliti (RM)

Akaun bank

Akaun simpanan - 5,237

Akaun semasa - 3,532

Akaun simpanan tetap - 25,835

Wang tunai di tangan - 1,235

Harta

Pangsapuri - 250,000 - 189,532

Rumah

Tanah

Barangan kemas - 7,695

Kereta - 60,000 - 36,572

Pelaburan

Kumpulan Wang Simpanan

Pekerja (KWSP) - 55,267

Amanah saham - 15,982

saham

Pinjaman Bank

Kad kredit - 11,278

Pinjaman pelajaran - 6,238

Pinjaman rakan dan keluarga

Sewa-beli perabot dan barangan elektrik - 10,672

Jumlah - 424,783 - 254,292

Nilai harta bersih - 170,491

Sumber: Berita Harian - Sat, Feb 18, 2012 - Inspirasi - Oleh Alzahrin Alias

Langkah-langkah keselamatan produk kanak-kanak


WALAUPUN pelbagai usaha sedang diambil untuk memastikan keselamatan produk kanak-kanak, pengguna dewasa yang prihatin terhadap keselamatan kanak-kanak serta ibu bapa dan penjaga harus mempersiapkan diri mereka dengan maklumat mengenai keselamatan produk kanak-kanak.

Berikut adalah beberapa langkah berjaga-jaga yang boleh diambil oleh pengguna untuk menjamin keselamatan kanak-kanak:

Alat Permainan

Bahaya tercekik (choking):

* Elakkan daripada membeli alat permainan kanak-kanak yang mempunyai atau terdiri daripada bahagianbahagian yang kecil.

* Baca dan fahami label pada bungkusan

* JANGAN sesekali memberi alat permainan jenis bola atau belon kecil kepada kanak-kanak yang berumur kurang daripada enam tahun

* Pastikan diameter bola untuk kanakkanak tersebut adalah lebih daripada 4.5cm.

* Jangan memberikan belon yang dibuat daripada lateks. Belon diperbuat daripada mylar adalah lebih selamat.

Alat permainan kanak-kanak bermagnet:

* Magnet-magnet longgar pada alatalat permainan mempunyai potensi ditelan oleh kanak-kanak

* Kecederaan pada salur penghadaman dan bahaya tercekik mungkin terjadi pada kanak-kanak yang tertelan magnet.

* Jauhkan alat-alat permainan yang mempunyai magnet daripada kanak-kanak berumur di bawah enam tahun.

Bunyi:

* Telinga kanak-kanak adalah sangat sensitif kepada bunyi.

* Jika alat - alat tersebut terlalu bising kepada anda, ia juga tidak sesuai untuk anak-anak anda

* Tanggalkan / keluarkan bateri atau tutup pembesar suara pada alat-alat permainan tersebut dengan pita pelekat yang selamat.

Bahaya terbelit (strangulation):

* Jangan memberikan sebarang alat-alat permainan yang mempunyai tali lebih daripada 30cm kepada kanak-kanak berumur bawah setahun.

Bahan kimia toksik:

* Beberapa jenis alat permainan kanak-kanak mengandungi bahan kimia toksik.

* Jangan membeli alat permainan yang diperbuat daripada plastic PVC

* Pilih alat-alat permainan yang dibuat daripada kayu, dan kain yang tidak berwarna.

* Baca label dan elakkan daripada membeli alat-alat kosmetik mainan jika ia mengandungi xylene, toulene atau dibutyl phthalate.

Walker bayi dan Bouncinette

Kecederaan biasa adalah disebabkan jatuh dari tangga, kaki tersepit, dan walker atau bouncinette tidak stabil dan terbalik.

Semasa membeli walker pastikan:

* Ia mempunyai kunci atau brek yang boleh menghalang pergerakan jika ada kemungkinan bayi berada berdekatan tangga.

* Pastikan perhiasan pada walker tidak boleh menyebabkan bayi tercekik

* Gunakan walker dan bouncinette pada permukaan yang rata dan tidak menghalang pergerakan yang boleh menyebabkannya terbalik.

* Jangan biarkan bayi bersendirian dalam walker atau bouncinette.

Katil Bayi (Babycott)

* Jika katil bayi mempunyai ketinggian yang boleh diubah, maka hanya perlu 2 tahap ketinggian

* Jarak antara permukaan bawah tilam dan bahagian bawah sempadan atas katil haruslah tidak kurang daripada

* Jarak di antara dua palang haruslah dalam lingkungan 5cm - 9.5cm.

* Tiada unjuran tajam.

Play Pens

* Pastikan jarak antara lantai / permukaan bawah kurungan dengan bahagian atas kurungan tidak kurang daripada 50cm.

* Jarak di antara dua palang dalam lingkungan 5cm - 9.5cm.

* Letakkan play pen atau kurungan untuk bermain di kawasan yang jauh daripada punca bahaya.

* Pastikan semua selak dikunci.

Kanak-kanak dan bayi adalah pengguna sensitif. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga harus memastikan produk yang digunakan mematuhi keperluan keselamatan dari segi rekabentuk dan cara serta arahan penggunaan produk dengan selamat.

Maka ibu bapa dan penjaga harus memainkan peranan aktif untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci dan secara berterusan tentang produk kanak-kanak bagi memastikan mereka membeli produk yang benar-benar selamat.


Sumber: Harian Metro - Sat, Jan 7, 2012 - 1Klassifieds 

Kurangkan penggunaan botol plastik





BOTOL plastik terbahagi kepada dua jenis, iaitu botol plastic yang boleh diguna semula (jenis polikarbonat) dan botol plastik yang tidak boleh diguna semula seperti botol air mineral biasa (jenis polyethylene terephthalate, PET). Secara umumnya, air yang terdapat dalam botol dikatakan lebih baik daripada air paip atau air yang telah dimasak. Ini kerana kandungan air dalam botol tidak dicemari oleh persekitaran selagi penutup botol tersebut belum dibuka. Air juga lebih mudah dibawa dalam botol plastik kerana ia ringan, tahan panas serta tidak mudah pecah, lebih-lebih lagi sewaktu mendaki gunung atau melawat kawasan yang kurang bersih.

Air dalam botol yang terdapat di pasaran biasanya terdiri daripada air mineral, air osmosis berbalik (RO), air suling, jus, dan minuman berkarbonat. Walaupun botol plastik ini mempunyai kelebihannya, namun ia mempunyai potensi untuk memudaratkan alam sekitar dan kesihatan. Antara kesan botol plastik kepada alam sekitar dan kesihatan adalah:

1. Peningkatan jumlah sampah

Kebanyakan botol plastik dihasilkan untuk digunakan sekali sahaja terutamanya botol yang mempunyai label nombor 1 tertera di bawah botol tersebut. Dalam pada itu, setiap orang dinasihatkan untuk minum 8 gelas air sehari iaitu sekitar 4 botol (500mL) air. Cuba bayangkan jumlah sampah yang dihasilkan oleh botol plastik yang akan terkumpul di tapak pelupusan sampah sekiranya semua orang meminum air dalam botol plastik. Keadaan ini bertambah buruk memandangkan kadar kitar semula plastik di negara kita masih rendah (hanya dalam lingkungan 3%) dan botol plastik pula tidak dapat dibiodegradasikan.

2. Pembaziran air

Proses penulenan yang kompleks dan panjang dan juga kehilangan akibat penyejatan (evaporation loss) yang berlaku di semasa pengilangan air dalam botol memerlukan 3 kali jumlah air mentah untuk menghasilkan satu botol air terproses. Di samping itu, agen pencuci yang digunakan sewaktu pemprosesan botol ini boleh mencemarkan sumber air seperti sungai dan tasik.

3. Pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui

Penghasilan botol plastik menggunakan bahan daripada petroleum, iaitu sumber yang tidak boleh diperbaharui. Dianggarkan 17 juta tong minyak digunakan setiap tahun di Amerika Syarikat untuk menghasilkan botol air plastik sahaja. Sumber ini akan semakin berkurangan dengan bertambahnya penghasilan botol plastik bagi menampung permintaan pasaran yang terus meningkat.

4. Risiko kesihatan

Menurut kajian baru pada September 2008 oleh Journal of American Medical Associations dan juga laporan terkini (November 2008) dari Program Toksikologi Negara (Jabatan Kesihatan dan Pekhidmatan Manusia Amerika Syarikat), botol plastik yang menggunakan Bisphenol A (BPA) boleh membawakan risiko kesihatan, lebih-lebih lagi kesihatan kanak-kanak. Penggunaan yang kasar seperti pendedahan lama kepada persekitaran yang panas, mencuci dengan agen pencuci yang kuat, atau mengisi dengan air yang mendidih boleh mengakibatkan dan mempercepatkan bahan kimia ini mencemari air dalam botol.

BPA memberi kesan yang sama seperti hormon estrogen. Pengumpulannya dalam badan manusia boleh menjejaskan pertumbuhan otak, sistem kesuburan dan fungsi-fungsi lain badan.

Penyelesaian

Apa yang yang boleh kita lakukan ialah menghantar botol plastik yang telah digunakan ke pusat kitar semula. Ini dapat mengurangkan kuantiti botol plastik yang dibuang di pusat pelupusan sampah. Akan tetapi, pastikan botol plastik yang digunakan tersebut tidak mengandungi Bisphenol A.

Botol plastik yang mengandungi BPA selalunya mempunyai nombor 7 tertera di bawah botol tersebut. Namun ini tidak bermakna semua botol plastik bernombor 7 mengandungi BPA kerana nombor 7 bermakna `lain-lain' jenis plastik. Pastikan kandungannya dirujuk dengan pembuat botol tersebut.

Sebagai alternatif kepada botol plastik, gunakanlah botol kaca atau botol besi jenis tahan karat. Ia bukan sahaja mesra alam tetapi boleh digunakan semula. Namun, pastikan anda sentiasa mencuci cawan atau botol ini dengan sabun pencuci serta pastikan ia kering dahulu sebelum mengisi semula dengan air. Ini kerana botol yang sentiasa mengandungi air adalah lebih terdedah kepada pertumbuhan kuman dan bakteria.


Sumber: Harian Metro - Thu, Jan 12, 2012 - 1Klassifieds

Sepuluh tabiat mudah menabung

Berhenti Merokok

"Saya berhenti merokok sejak pengumuman harga baru rokok. Saya berjaya menjimatkan RM20 seminggu."

Usia lebih panjang dan dapat menjimatkan RM1,040 setahun!

Bawa bekalan ke tempat kerja

"Biasanya saya bawa bekalan makan tengah hari ke tempat kerja tiga kali seminggu. Saya dapat berjimat kira-kira RM30 seminggu." Bawa bekalan makan tengah hari dari rumah dan anda boleh menyimpan RM1,560 di bank tahun depan!
Cuci kereta sendiri

"Mengapa hantar kereta untuk dicuci jika anda ada masa untuk melakukannya sendiri pada hujung minggu? Pengusaha tempat cuci kereta mengenakan bayaran RM9 sekali cuci - ini bermakna anda boleh menjimatkan RM36 sebulan dengan mencuci sendiri kereta anda. Kerja mencuci itu pun satu riadah juga dan untuk senaman yang lebih baik lagi, cubalah kilatkan sendiri kereta." Mencuci dan mengilatkan sendiri kereta anda membolehkan anda menabung RM1,872 setahun yang lama kelamaan menjadi lebih banyak.

Beriadah di rumah

"Saya telah membatalkan keahlian saya di sebuah kelab kesihatan. Saya jarang pergi ke sana untuk beriadah. Saya sudah mula bersenam di rumah. Sebagai sebahagian daripada kegiatan riadah, saya berjalan di sekitar kawasan perumahan saya selama 30 minit sehari. Jumlah yang dapat dijimatkan? RM180 sebulan." RM180 sebulan selama 12 bulan - akaun simpanan anda bertambah kukuh dalam masa setahun. Anda akan ada RM2,160 dalam akaun itu.

Bayar bil kredit kad pada masanya

"Sentiasa bayar kad kredit anda pada masanya untuk mengelakkan membayar denda RM5 kerana pembayaran lewat. Kalau boleh, selesaikan baki kad kredit secepat mungkin untuk mengelakkan caj faedah yang tinggi." Siapa cepat dia dapat. Membayar bil pada masanya dapat menjimatkan RM60 setahun.

Ajar anak anda sendiri

"Saya mempunyai tiga orang anak yang sedang bersekolah, berusia antara tujuh hingga 11 tahun. Saya ajar mereka sendiri daripada menghantar mereka ke pusat tuisyen. Saya dapat jimatkan kira-kira RM360 sebulan." Sambil menyelam minum air. Ajar anak anda sambil habiskan masa berkualiti bersamamereka dan anda dapat menabung RM4,320 setahun untuk perbelanjaan mereka dikolej nanti.

Lepak di gerai teh tarik dari daripada di restoran yang mahal

"Dulu saya dan kawan-kawan saya suka melepak di restoran yang trendy pada hujung minggu dan kami menghabiskan hampir RM50 setiap minggu. Sekarang, kami lepak di gerai teh tarik dan membelanjakan hanya RM10 seminggu.

Belilah barangan tempatan dan jimatkan RM2,080 setahun.

Kurangkan penggunaan elektrik

"Keluarga saya sentiasa cuba mengurangkan penggunaan elektrik di rumah kami. Kami gunakan jangka masa untuk alat hawa dingin dan matikan lampu dan barangan elektrik jika tidak digunakan. Kami berjaya mengurangkan bil elektrik daripada RM230 kepada RM120 sebulan." Gunakan bahan tenaga dengan lebih cekap dan tambah simpanan anda kepada RM1,320 setahun.

Rancang pembelian barangan dapur

"Apabila saya membeli barangan dapur, saya sentiasa berbelanja melebihi jumlah yang diperuntukkan dengan membeli keropok, minuman dalam tin dan gula-gula. Tahun ini, saya berusaha untuk mengikut senarai yang saya buat dan berjaya menjimatkan RM80 sebulan." Ikut senarai beli-belah yang anda buat dan jimatkan RM960 setahun.

Jelaskan bil anda menggunakan kemudahan dalam talian

"Saya bayar hampir kesemua bil saya menggunakan kemudahan Internet. Saya dapat menjimatkan RM5 duit pos, RM65 bayaran letak kereta dan minyak sebulan." Gunakan kemudahan membayar bil dalam talian dan jimatkan RM840 setahun. Tetapi berhati-hati ketika menggunakan Internet. 

Mengurangkan perbelanjaan boleh membantu meningkatkan tabungan anda. Mulakan berdikit-dikit dan bersabarlah. Berikan masa selama 12 bulan dan lihatlah hasilnya. Ketika itu nanti, anda akan memiliki simpanan yang cukup untuk melabur di pasaran modal!

Sumber: Pelabur Malaysia (www.min.com.my)