Friday, May 22, 2015

Insurans pendidikan anak

POLISI pendidikan anak ialah produk insurans hayat yang direka khusus sebagai satu cara menabung untuk menyediakan sejumlah wang apabila anak anda mencapai umur untuk memasuki institusi pengajian tinggi (18 tahun dan ke atas). Dana ini boleh digunakan bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan pendidikan tinggi anak anda. Selain itu, sekiranya anda mengambil perlindungan tambahan, iaitu manfaat pembayar, polisi pendidikan memberi jaminan bahawa sekiranya ibu bapa atau penjaga yang sah meninggal dunia, anak anda akan mempunyai akses kepada dana untuk membiayai perbelanjaan pendidikannya.

Di bawah polisi pendidikan anak, ibu bapa / penjaga yang sah merupakan empunya polisi dan anak adalah hayat yang diinsuranskan.

MENGAPA ANDA PERLU MEMBUAT PERANCANGAN UNTUK PENDIDIKAN ANAK ANDA?

Kos pendidikan semakin meningkat, disebabkan berbagai faktor termasuklah inflasi. Kos yang kian meningkat ini boleh mengakibatkan ibu bapa/penjaga yang sah menanggung beban kewangan apabila anak mereka memulakan pendidikan tinggi. Lebih awal anda membeli polisi insurans, lebih banyak masa untuk wang anda bertambah dan menjadi berlipat ganda supaya dapat membiayai pendidikan tinggi anak anda dengan lebih baik.

BERAPA BANYAK PERLINDUNGAN YANG ANDA PERLUKAN?

Langkah pertama dalam menentukan amaun perlindungan adalah dengan menetapkan matlamat anda. Apakah matlamat anda berhubung dengan pendidikan anak anda? Berikut ialah beberapa faktor yang mungkin perlu anda pertimbangkan apabila menentukan tahap perlindungan:

* Tempat belajar

* Tahap kelayakan

* Universiti yang dipilih

* Bidang pengajian

* Jangka masa pengajian

Dengan mengkaji faktor-faktor di atas, ia boleh membantu anda membuat anggaran kos yang dijangkakan. Sebagai panduan, anda boleh mencampurkan yuran tahunan kursus dengan jangkaan perbelanjaan sara hidup dan mendarabkan amaun tersebut dengan bilangan tahun pengajian. Ini akan memberi gambaran tentang jumlah kos yang ditanggung hari ini.

Apabila anda mengambil kira inflasi, jumlah kos yang diperlukan itu mungkin di luar kemampuan anda. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu bimbang kerana sekiranya anda menyimpan wang secara bijak melalui pelan simpanan atau pelaburan, pulangan daripada pelaburan atau simpanan yang terkumpul dalam jangka masa beberapa tahun dapat membantu anda membiayai kos pendidikan tersebut.

JENIS POLISI PENDIDIKAN ANAK

Terdapat dua jenis polisi pendidikan anak yang utama iaitu polisi endowmen dan polisi berkaitan pelaburan. Perbezaan antara dua jenis polisi ini adalah dari segi struktur dan jenis pelaburan.

Polisi endowmen

Polisi endowmen menggabungkan komponen simpanan dan perlindungan. Polisi endowmen mungkin berbentuk sertaan atau tanpa sertaan. Polisi tanpa sertaan tidak berkongsi keuntungan kumpulan wang insurans hayat tetapi jumlah yang diinsuranskan dijamin sepenuhnya. Bagi polisi sertaan pula, jumlah yang diinsuranskan masih dijamin sepenuhnya. Walau bagaimanapun, jumlah pulangan pelaburan yang diperoleh pada masa polisi matang tidak dijamin kerana ia tertakluk kepada prestasi kumpulan wang insurans hayat sertaan syarikat insurans.

Polisi berkaitan pelaburan

Polisi berkaitan pelaburan menggabungkan unsur pelaburan dan perlindungan berdasarkan keperluan anda selaku empunya polisi. Anda boleh menambah caruman premium bulanan atau menambah simpanan anda apabila pendapatan anda meningkat. Sekiranya anda ingin lebih agresif dengan instrumen pelaburan, polisi berkaitan pelaburan juga membolehkan anda memilih jenis dana yang anda ingin laburkan. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana pelaburan lain yang seumpamanya, ia melibatkan risiko yang lebih tinggi dan tidak ada jaminan pulangan pelaburan.

Apakah jenis polisi yang patut anda beli?

Jenis polisi yang anda beli bergantung pada matlamat dan toleransi anda terhadap risiko. Sebelum anda membeli sesuatu polisi, pastikan ejen anda menjalankan proses penilaian berdasarkan fakta untuk menentukan polisi yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan kewangan anda. Selain itu, anda boleh memilih polisi yang akan membayar manfaat apabila polisi matang secara sekali gus, atau berperingkat-peringkat.

PERKARA-PERKARA YANG ANDA PERLU KETAHUI KETIKA MEMILIH POLISI PENDIDIKAN ANAK

Pastikan anda memilih perlindungan tambahan, iaitu manfaat pembayar

Pilih polisi yang mengecualikan bayaran premium sekiranya empunya polisi tidak lagi berupaya membayar premium polisi tersebut akibat berlaku peristiwa seperti kematian, disahkan berpenyakit kritikal atau hilang upaya menyeluruh dan kekal. Dengan memilih manfaat pembayar, dana polisi pendidikan tersebut akan terjamin sekiranya sesuatu berlaku ke atas empunya polisi.

Pastikan anda mampu membayar premium

Menabung melalui insurans mendisiplinkan seseorang untuk terus memperuntukkan sejumlah wang secara tetap setiap tahun sehingga polisi matang. Ia merupakan proses jangka panjang, dan dengan demikian, anda perlu membuat anggaran jumlah premium yang anda mampu bayar berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa anda. Sekiranya anda bermula dengan amaun yang lebih besar daripada kemampuan anda, anda mungkin terpaksa menamatkan polisi lebih awal dan menanggung kerugian kewangan. Oleh itu, sekiranya anda tidak mampu membayar banyak pada masa sekarang, mulakan dengan amaun yang kecil.

Jangan tambah perlindungan yang tidak perlu

Banyak polisi pendidikan menawarkan perlindungan tambahan seperti insurans perubatan hospital, pembedahan atau perlindungan penyakit kritikal. Kos perlindungan tambahan tersebut akan mengurangkan amaun simpanan. Harus diingat bahawa anda menginsuranskan hayat anak anda. Oleh itu, perlindungan tambahan seperti penyakit kritikal mungkin tidak perlu kerana kemungkinan menghidap penyakit kritikal dalam kalangan kanak-kanak adalah kecil.

- Sumber: infoinsurans

No comments: