My Followers

Keselamatan anak dalam kenderaan

Tahukan anda sebagai ibu bapa, kita seharusnya lebih peka mengenai keselamatan anak-anak terutamanya ketika memandu kenderaan. Apabila anda membawa anak anda di dalam kenderaan, adalah penting untuk mempraktikkan prosedur-prosedur keselamatan dari mula mereka naik hinggalah ketika mereka melangkah keluar dari kenderaan.

Ikutilah beberapa tips keselamatan yang boleh di jadikan panduan untuk kita semua. Langkah-langkah ini haruslah diambil bagi memastikan keselamatan anak di dalam kenderaan.

PEKA DENGAN PENGGUNAAN PINTU

Anak anda mesti masuk dan keluar kenderaan melalui pintu yang selamat iaitu pintu yang menghadap tepi lalu lintas, bersebelahan dengan bahu jalan raya.

PASTIKAN PINTU KENDERAAN DIBUKA TERLEBIH DAHULU

Anak anda perlu menunggu pintu kenderaan dibuka untuknya sebelum dia melangkah masuk dan keluar.

Pastikan tangan dan kakinya tidak berada di pintu sebelum anda menutupnya. Jangan lupa untuk mengunci pintu dengan menukarkan posisi butang `child lock' pada pintu belakang kepada kunci (lock). Butang ini boleh kelihatan pada bahagian pintu belakang. Dengan cara ini kita dapat memastikan pintu tidak dapat dibuka dari dalam walaupun pemandu lupa mengunci pintu.

PASTIKAN DUDUK DI KERUSI BELAKANG

Kanak-kanak perlu duduk di kerusi belakang kerana ia dapat mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlakunya kemalangan.

PASTIKAN TALI PINGGANG KELEDAR DIPAKAIKAN

Anak anda perlu sentiasa memakai tali pinggang keledar yang di kancing secara pepenjuru merentas dada dan letak bantal tambahan di tempat duduk bagi kanak-kanak. Bagi kanak-kanak yang lebih kecil adalah lebih baik menggunakan tempat duduk khas `child seat' untuk memastikan bahawa tali pinggang keledar itu dipasang dengan selamat.

PASTIKAN TIDAK ADA MANA-MANA BAHAGIAN ANGGOTA BADAN KELUAR DARI TINGKAP

Anda hendaklah sentiasa mengingatkan anak anda supaya jangan sesekali meletakkan manamana bahagian anggotanya diluar tingkap sesebuah kenderaan walaupun ketika kenderaan tidak bergerak.

PASTIKAN PEMASANGAN KUNCI KESELAMATAN

Kanak-kanak mempunyai kecenderungan untuk meluru keluar dari kereta sebaik sahaja ia berhenti dan ini amat merbahaya. Ini dapat dielakkan dengan memasang kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) yang terdapat pada pintu kereta.

Dengan cara ini pintu hanya boleh di buka dari luar sahaja.

PASTIKAN MEMIMPIN TANGANNYA

Selepas keluar, anak anda perlu menunggu di atas bendul jalan sehingga seorang dewasa memimpin tangannya.

Hendaklah di ingatkan bahawa kanak-kanak tetap adalah kanakkanak, mereka sentiasa melakukan perkara-perkara yang tidak diduga.

Beberapa langkah berjaga-jaga ini mungkin dapat membantu anda melindungi anak anda dan memastikan keselamatan mereka.

Oleh itu ibu bapa hendaklah sentiasa memikirkan kemahiran seterusnya yang akan dipelajarinya dan rancang terlebih dahulu. Ibu bapa tidak digalakkan untuk mengambil sesuatu perkara secara mudah.

Hendaklah sentiasa mengutamakan keselamatan anak anda tanpa mengira betapa penat atau tertekannya anda. Ingat anda mungkin mempunyai satu peluang untuk berbuat demikian. Anda yang membantu anak anda dalam mendisplinkan dirinya. Kepada ibu bapa hendaklah diingatkan bahawa langkah berjaga-jaga boleh membantu anda untuk menyelamatkan nyawa anak anda.

* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK
Post a Comment