Thursday, April 30, 2015

Berhati-hati dengan penunggang motosikal


DI Malaysia, kapasiti pengguna jalan raya yang menunggang motosikal adalah lebih besar daripada yang memandu kenderaan empat tayar atau lebih. Namun, oleh sebab saiz motosikal yang agak kecil, tidak ramai pemandu yang menyedari akan kehadiran penunggang motosikal ini. Jika ya pun, ada segelintir daripada pemandu yang tidak mengendahkannya. Berhati-hati ketika keluar daripada simpang, anda mungkin terlepas pandang kehadiran penunggang motosikal.

Disebabkan oleh saiznya yang agak kecil, pemandu kenderaan mungkin menganggap bahawa jarak mereka dengan anda adalah jauh. Ia juga agak sukar bagi anda menentukan kelajuan si cilik ini. Oleh itu, jika anda ingin keluar atau masuk simpang, anggaplah kelajuan motosikal itu lebih laju daripada apa yang anda lihat.

Saiznya yang kecil juga membuatkan penunggang motosikal tidak kelihatan di cermin sisi atau mungkin berada di blind spot pada cermin ataupun terlindung di sebalik kenderaan yang lebih besar. Oleh itu, ambil sedikit masa untuk memastikan tiada kehadiran penunggang motosikal apabila anda ingin menukar lorong ataupun memotong.

Antara kelebihan menunggang motosikal ialah saiznya yang kecil serta mampu mencapai kelajuan yang tinggi.

Perkara ini membuatkan penunggang motosikal cenderung untuk menunggang dengan laju. Namun, tidak semua penunggang motosikal cenderung berbuat demikian. Ada yang menunggang dengan laju tetapi masih lagi menunggang dengan cermat.

Apa yang menjengkelkan pemandu lain ialah kehadiran mat rempit yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya. Oleh itu, jangan sesekali anda melabelkan semua penunggang motosikal itu si rempit jalanan.

Di samping itu, kebanyakan penunggang motosikal mungkin mengurangkan kelajuan mereka dengan melepaskan pemulas minyak serta tidak menggunakan brek dan keadaan ini akan menyebabkan lampu brek motosikal mereka tidak menyala. Tambahan pula, kadar motosikal berhenti tidak sama seperti kereta terutama apabila jalan basah/ hujan yang menyebabkan jalan licin dan tayarnya yang kecil tidak dapat mencengkam dengan baik. Oleh yang demikian, demi mengelakkan dari kemalangan berlaku, jaga jarak anda dengan penunggang motosikal lebih kurang jarak masa 3 atau 4 saat (2 ke 3 kereta).

Lampu signal pada kereta merupakan `self-cancelling' (berhenti sendiri mengikut putaran asal stering).

Tidak seperti lampu signal pada kereta, lampu signal yang terdapat pada motosikal kebanyakkannya bukan berhenti secara sendiri.

Kadang-kadang, apabila penunggang motosikal menyalakan lampu signal apabila mengambil simpang, mungkin penunggang itu terlupa untuk menutupnya kembali. Jadi, pastikan lampu signal yang dinyalakan oleh penunggang itu adalah betul-betul untuknya memasuki simpang.

Ketika melalui jalan yang agak tidak sekata, fikirkan kemungkinan penunggang motosikal akan mengelak daripada memasuki lubang atau sebagainya dengan bergerak ke kiri mahupun kanan.

Bagi mengelakkan anda melanggar penunggang motosikal ini, jaga jarak tepi anda dengan motosikal sekurang-kurangnya jarak satu kereta seolah-olah anda sedang memotong kereta jika anda ingin memotong penunggang bersebut.

Apabila anda memandu di jalan raya, anda harus ingat bahawa penunggang motosikal juga adalah pengguna jalan raya seperti anda.

Jadi, jangan pandang penunggang motosikal hanya sebagai motosikal tetapi pandanglah mereka sebagai manusia yang mempunyai nyawa kerana mereka juga mempunyai keluarga dan orang tersayang yang setia menunggu kepulangan mereka dengan selamat. Hormatilah semua pengguna jalan raya tanpa mementingkan diri sendiri.

* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

No comments: