Monday, December 8, 2014

Selami jiwa anak

ANAK pertama hati dan harta paling bernilai dengan kehadirannya menambah keceriaan sesebuah keluarga. Peranan ibu bapa amat penting dalam mencorak dan mewarnakan meniti kedewasaan. Melentur buluh biar dari rebungnya, pepatah Melayu ini tetap relevan sebagai asas kukuh melengkapkan anak menjadi insan terbaik sama ada dari segi tingkah laku, moral, kerjaya serta kemantapan mental dan fizikalnya dan pada masa sama juga berlaku perubahan dalam hubungan mereka dengan keluarga.

Panduan mendidik anak:

* Didik diri anda dengan perkembangan anak sebaik memasuki alam remaja. Pelajari kelakuan dan tindak-tanduk yang biasa bagi remaja, perubahan fizikal, biologi, emosi dan mental yang berlaku serta kesannya dan cara membantu anak remaja anda menangani perubahan itu.

* Kenang semula zaman remaja anda; perasaan yang berubah-ubah (mood swing), kemarahan terhadap pihak yang memegang kuasa (seperti ibu bapa, guru dan sebagainya), kebimbangan dan harapan anda. Lihat pula tingkah-laku anak remaja anda dari sudut memori itu supaya anda dapat memahami perspektif mereka.

* Daftar untuk kursus kemahiran keibubapaan yang berkesan. Keibubapaan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan ia tidak datang sendiri. Belajarlah juga daripada ibu bapa lain yang berpengalaman dalam mendidik remaja yang berjaya.

* Dengarlah dan kurangkan bercakap. Anak remaja menghabiskan sebahagian besar masa kanakkanak mereka sebagai pendengar dalam kebanyakan situasi. Ketika remaja inilah mereka mahu dan perlukan peluang untuk didengar dan berkongsi perasaan dan pendapatnya. Perlu menyemak semula pegangan keluarga, adat tradisi dan agama yang sesuai dengan kehendak identiti mereka.

* Didiklah anak mengenai asam garam kehidupan, kemanisan dan kepahitan menyelesaikan masalah supaya mereka tahu menikmati kegembiraan dan menangani perkara yang buruk.

* Jangan sempitkan ruang lingkup pilihan yang ada. Misalnya, meminta anak belajar dengan rajin jika ingin menjadi seorang doktor. Realitinya ramai juga remaja yang pintar yang tidak mendapat kursus pilihan masing kerana persaingan yang sengit.

* Ada ketikanya ibu bapa berasa kecewa, marah, sedih atau putus asa terhadap anak mereka. Terimalah pe rasaan anda itu. Menjadi ibu bapa yang baik tidak semestinya mesti segala sempurna.

* Didik anak anda bahawa hak dan tanggungjawab berjalan seiringan. Berikan tanggungjawab sedikit demi sedikit kepada anak dengan tujuan melatihnya seperti tanggungjawab menjaga keselamatan dirinya dan ahli keluarga yang lain. Beri peluang kepada remaja untuk membantu kerja di rumah dan terbabit dengan proses perbincangan bagi mencapai sesuatu keputusan dalam keluarga.

* Dapatkan pandangan remaja dan bantu mereka supaya memahami proses bagaimana sesuatu keputusan dicapai. Berikan situasi di mana remaja diuji dengan kemahiran membuat keputusan dengan sokongan orang dewasa di sekelilingnya. Jangan kritik remaja jika keputusan yang  diambilnya tidak tepat atau tidak seperti yang diingini. Sebaliknya tunjukkan bahawa anda memahami dan berikan bantuan yang diperlukan. Dengan ini, remaja akan belajar membuat keputusan yang penting dalam hidup mereka seperti keputusan sama ada hendak merokok atau tidak, hendak belajar atau tidak dan sebagainya.

* Bantu remaja supaya tidak terlalu bergantung kepada orang di sekitarnya seperti ibu bapa atau abang dan kakaknya. Keperluan remaja untuk memanifestasikan `kebebasan' dan kematangan mereka mungkin berlaku pada masa yang berbeza dan melalui wadah yang berbeza. Kadangkala sukar bagi ibu bapa untuk membiarkan remaja melakukan keputusan bersendirian kerana risaukan keselamatan mereka. Walau bagaimanapun, keupayaan remaja menangani tanggungjawab yang semakin bertambah akan meningkat sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan kepada pilihan yang mereka buat dan menjadikan remaja bersedia menghadapi cabaran yang menanti.

* Ambil peluang ketika remaja berada di rumah, sewaktu makan malam, solat berjemaah di rumah atau surau serta menonton te levisyen bersama untuk mengukuh kan hubungan anda dengan remaja. Ambil tahu apakah minatnya dan hobinya serta terbabit dengan minat itu.


Oleh Nor Hatina Shuib
Sumber: Berita Harian

No comments: