Wednesday, December 17, 2014

Awasi pengambilan dedaun

Bukan semua tumbuhan atau buah-buahan tropika di negara ini boleh digunakan sebagai makanan atau dijadikan ubat-ubatan.

Ada tumbuhan, malah sebahagian pokok hiasan mengandungi racun, daripada daun hingga ke buahnya.

Jika tersilap makan atau menyentuh `racun semula jadi' terhasil daripada tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan ini, natijahnya sama ada manusia atau haiwan akan terkesan, malah mampu mengancam nyawa.

Pengetahuan mengenai tumbuhan beracun amat penting bagi mengelak perkara tidak diingini, seperti bahaya Rumpai Miang Mexico atau `partheniumhysterophorus' yang dikesan tumbuh di negara ini.

RUMPAI MIANG MEXICO (PARTHENIUMHYSTEROPHORUS)

Rumpai mirip ulam raja dikategorikan sebagai rumput berbahaya. Ia berasal dari Mexico dan dianggap musuh tanaman, manusia dan haiwan ternakan.

Jika terkena pada kulit manusia, ia boleh menyebabkan kesan demam, sakit pada kulit, asma, ruam pada kulit, kulit menggelupas, mata menjadi bengkak dan lebih teruk, gatal pada mulut dan hidung.

Haiwan pula akan mengalami masalah cirit-birit, malah menyebabkan kualiti daging dan susu haiwan ini merosot.

Pokok ini menyerupai ulam raja, mempunyai batang diselaputi bulu putih halus dan mudah ditemui di ladang sayur. Bunganya berwarna putih krim manakala daunnya bercabang-cabang.

POKOK JELATANG RUSA (CNESMONE JA-VANICA MIQ)

Jelatang rusa diklasifikasikan sebagai tumbuhan beracun yang menyebabkan kulit gatal sekiranya tiada rawatan segera. Bulu halus pada permukaan daun dan batang tumbuhan ini boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan.

Bulu halus ini berwarna putih dan tajam di hujungnya selain mudah tanggal dari permukaan tumbuhan itu jika terkena atau melekat pada kulit.

Selain Jelatang rusa, keluarga tumbuhan ini adalah jelatang gajah, jelatang bulan dan jelatang ular. Jelatang gajah juga berbahaya dan boleh menyebabkan kesakitan kepada mangsa.

POKOK AKAR SAGA (ABRUS PRECATORIUS)

Akar Saga atau Rosary Pea, turut menjadi pilihan sebagai tanaman hiasan di rumah. Tahukah anda, biji merah terhasil daripada pokok ini dikategorikan sebagai racun paling berbahaya di dunia.

Biji saga digunakan sebagai barang perhiasan wanita dan sudah ada kes kematian dilaporkan akibat luka pada jari semasa menebuk biji itu untuk dijadikan manik.

Biji saga berwarna merah terang dan dipercayai mengandungi racun lectin dipanggil abrin. Ia menyebabkan muntah yang teruk, demam yang tinggi, lelehan air liur yang tidak dapat dikawal hingga ke tahap ketegangan saraf, kegagalan hati, kegagalan pundi kencing, pendarahan dari mata dan sawan. Untuk kes lebih teruk, ia menyebabkan kematian.

POKOK IPOH (ANTIARIS TOXICARIA LESCH)

Pokok ipoh atau ipuh terdapat di hutan Malaysia dan di negara ASEAN yang lain. Pokok ini terkenal dengan kandungan getahnya yang mempunyai racun serta digunakan Orang Asli untuk menyumpit haiwan buruan seperti kelawar, burung, monyet, pelanduk dan ayam hutan,

Kesan racun apabila memasuki badan akan menyebabkan anggota badan lumpuh seketika dan jika terkena dos berlebihan, boleh menyebabkan maut.

Daunnya berbentuk tirus dan nipis. Batang pokok mempunyai kulit licin. Nama bandar raya Ipoh, Perak, dikatakan sempena nama pokok ini.

POKOK KECUBUNG (DATURA STRAMONIUM)

Pokok kecubung tumbuh secara renek dan menghasilkan bunga yang cantik di taman. Tumbuhan ini turut digunakan untuk tujuan perubatan herba China dan dijadikan sebagai minuman yang memabukkan sejak dahulu kala.

Bunganya yang berwarna ungu dan putih serta mempunyai buah berduri berwarna hijau ketika muda dan coklat gelap apabila masak.

Pokok kecubung putih dikatakan paling bahaya kerana mengandungi alkaloid iaitu sebatian organik mengandungi nitrogen, yang boleh menyebabkan jantung berhenti secara tiba-tiba, panas badan, kulit menjadi merah, sakit kepala, halusinasi dan kekejangan otot.

POKOK BEBUTA (EXCOECARIA AGALLOCHA LINN)

Pokok bebuta atau buta-buta tumbuh meliar di kawasan bakau dan ada juga yang menanamnya sebagai pokok hiasan.

Pokok ini boleh mencecah ketinggian 14 meter hingga 20 meter. Seluruh bahagian tumbuhan ini mempunyai susu getah yang dikenal pasti beracun. Ia boleh menyebabkan kulit mangsa menjadi pedih, rasa panas, bengkak dan melecur jika tersentuh.

Jika termakan mana-mana bahagian pokok ini, ia menyebabkan kepanasan usus dan kencing berdarah, malah boleh mengakibatkan buta jika terkena mata.

PISANG TANAH (DIEFFENBACHIA)

Pokok hiasan ini dikategorikan sangat beracun dan boleh menyebabkan kematian jika termakan daunnya atau mata akan menjadi buta jika getah pokok ini memasuki mata.

Pokok ini mempunyai daun yang besar dan membujur serta mempunyai tompok putih krim di bahagian atasnya. Pisang tanah biasanya ditemui ditanam di dalam pasu dan diletakkan di ruang depan rumah atau kaki lima perumahan dan taman awam.

Sumber: Berita Harian - Sihat
Oleh Zulhilmi Hat

1 comment:

Joker said...

Mana boleh beli daun jelatang