Wednesday, December 24, 2014

Lebih gula menjejaskan kesihatan individu

Kerosakan gigi

Gula merupakan salah satu daripada penyebab kerosakan gigi. Walaupun gula (sukrosa) adalah penyebab gigi rosak yang utama, tetapi ini tidak maksud ia merupakan satu-satunya punca. Semua gula boleh digunakan sebagai makanan bagi bakteria di dalam plak pada gigi. Bakteria tersebut mengeluarkan asid yang boleh merosakkan enamel gigi. Oleh itu semua jenis gula menjadi satu masalah di bawah keadaan yang sesuai, sama dengan makanan kanji. Kebiasaannya makanan manis atau makanan berkanji yang akan melekat pada gigi. Ini akan mudah mendatangkan kerosakan gigi.

Obesiti

Di Malaysia, terdapat enam juta orang dewasa yang mempunyai berat badan berlebihan dan obes. Demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Kaji Selidik Pemakanan Orang Dewasa Malaysia 2003. Selain daripada lemak dan kolesterol, salah satu faktor utama yang menyebabkan obesiti ialah kalori, contohnya kalori daripada gula. Gula pasir itu menambah tenaga (kalori) tanpa menambah nutrien yang lain ke dalam diet anda. Jika anda makan lebih kalori daripada yang anda guna, lebihan itu akan disimpan sebagai lemak dan anda akan menjadi semakin gemuk. Gula berlebihan dalam badan akan ditukar kepada glikogen untuk kegunaan masa hadapan sebagai sumber tenaga, atau disimpan sebagai lemak.

Kencing manis

Walaupun tiada bukti yang boleh menunjukkan gula ada kaitan langsung dengan kencing manis, namun gula boleh membawa kepada obesiti, yang seterusnya boleh menggalakkan kencing manis. Pengambilan gula yang banyak akan meningkatkan risiko keobesan, dan seterusnya meninggikan risiko kencing manis.

Bagaimana untuk menurunkan paras gula dalam badan?

* Mengurangkan makanan atau minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi. Contohnya: minuman ringan, jus yang mempunyai kandungan gula yang tinggi, kek, aiskrim dan gula-gula.

* Sering mengambil makanan atau minuman yang mempunyai kandungan gula yang rendah atau kurang manis.

* Kurangkan makanan yang diproses. Kebanyakan makanan yang diproses mempunyai kandungan gula yang tinggi.

* Masak makanan sendiri. Anda sukar untuk mengetahui berapa gula yang dimakan jika makan di luar. Makan di rumah merupakan cara yang paling baik untuk mengawal pengambilan gula.

* Kurangkan jumlah gula, susu pekat atau krimer yang ditambah ke dalam kopi.

* Selalu minta untuk mengurangkan manis semasa makan atau minum di luar. Ini dapat membantu anda untuk mengurangkan pengambilan harian gula.

* Baca jumlah kandungan gula pada label makanan. Dengan ini anda boleh mengira jumlah gula yang kita makan dalam hari tersebut.

* Lakukan lebih banyak senaman. Ini dapat membakar gula (dalam kalori) di dalam badan anda.

* Campurkan separuh air minuman ringan biasa dengan separuh air minuman ringan kurang manis. Lakukan ini selama dua minggu. Selepas itu cuba kurangkan lagi kepada rasa manisnya sehingga anda boleh menyesuaikan diri untuk rasa yang tidak manis.

* Gantikan minuman manis seperti minuman tenaga dengan jus buah-buahan yang tidak mempunyai sebarang gula tambahan.

* Gantikan makanan seperti biskut, makanan ringan dengan buah-buahan yang segar.

* Gantikan gula di dalam makanan dengan kemanisan buah-buahan atau madu.

* Kurangkan makanan manis dengan perlahan, contohnya jika anda biasa mengambil dua biji gula-gula dalam sehari, cuba kurangkan kepada satu. Kemudian cuba kurangkan lagi kepada seminggu sekali.

- Buletin Pengguna

No comments: