Saturday, December 6, 2014

Peranan ibubapa dalam membentuk keluarga

SETIAP kelompok masyarakat terdiri daripada unit-unit keluarga yang mana setiap unit keluarga terdiri daripada beberapa individu. Baik atau buruknya setiap kelompok komuniti itu bergantung kepada baik atau buruknya setiap individu dalam sebuah keluarga.

Beberapa artikel Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpu (PKPKL) sebelum ini, ada menyentuh bagaimana ibu bapa menjadi penentu kepada kesejahteraan kehidupan keluarga dalam konteks kepenggunaan.

Namun, untuk melaksanakan tugas itu bukan mudah. Anak-anak dewasa ini mendapat banyak pendedahan dan pengaruh daripada pelbagai sumber seperti internet dan sebagainya.

Timbul persoalan, bagaimana, sebagai ibu bapa, kita mahu bersaing dengan pengaruhpengaruh luaran ini dan seterusnya menanam perkara positif kepada anak-anak? Artikel PKPKL pada kali ini ingin berkongsi beberapa tips dengan anda.

Jadi ketua keluarga yang baik - Pamerkan tingkah laku dan teladan yang baik di depan semua anak-anak. Jangan sesekali berasa segan ataupun cuba mengelak kesalahan anda di depan mereka.

Tidak salah jika anda mengucapkan katakata maaf apabila berbuat silap atau salah anggap terhadap anak-anak. Buang jauh-jauh ego anda dan cuba menerima pandangan anakanak dalm situasi tertentu.

Mesti mengetahui kemampuan anda - Sesetengah bapa mempunyai jawatan tinggi dan mempunyai tanggungjawab besar di tempat kerja. Golongan ini biasanya sentiasa sibuk dan banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah.

Jadi cuba fikirkan prioriti anda terhadap keluarga dan kerja. Biarpun sibuk, namun anda harus meletakkan keluarga sebagai keutamaan anda.

Luangkan masa bersama anak anda - Luangkan dan peruntukkan sebanyak mungkin masa bersama anak-anak. Bapa yang disayangi adalah bapa yang sentiasa ada bersama anakanak ketika mereka sedang membesar.

Anak-anak memerlukan anda untuk bermain dan berbual. Walaupun tidak meminta tetapi setiap anak mahukan bapa mereka memberi perhatian kepada mereka. Jadi jangan sesekali lupa masa bersama mereka.

Uruskan masa anda dengan baik  - Urus masa anda sebaik mungkin, misalnya bila masa bersama keluarga dan bila masa bersama rakanrakan. Tolong jangan sesekali bersikap seperti orang bujang!

Fahami keluarga anda - Cuba faham apa yang keluarga dan anak-anak anda suka. Misalnya, apa aktiviti kegemaran anak-anak, jadi beri mereka sokongan sepenuhnya. Anak-anak akan rasa dihargai dan akan menghargai sokongan anda. Anda juga perlu menghormati minat dan hobi mereka selagi tidak memudaratkan.

Ambil masa untuk temu janji - Luangkan sedikit masa untuk keluar temu janji istimewa bersama isteri. Mungkin sekali dalam seminggu. Wanita walaupun tidak meminta tetapi amat berharap sedikit privasi bersama pasangan. Anak-anak akan memahami dan melihat contoh yang baik.

Jangan sakiti anak-anak -Tolong jangan pukul atau sakiti anak-anak anda setiap kali mereka berbuat salah atau bersikap nakal.

Cuba tenangkan diri anda dan minta supaya mereka tidak mengulangi kesalahan dengan cara yang baik. Ini kerana anak-anak kecil tidak memahami apa-apa, jadi tiada guna anda menyakiti atau melepaskan geram pada mereka.

Awas! Apabila anda memukul, anak-anak anda akan sentiasa ingat apa yang anda lakukan terhadap mereka. Ia boleh menyebabkan mereka berdendam dan hilang rasa kasih terhadap orang yang menyakiti mereka.

Membaca untuk mereka - Luangkan masa membaca buku untuk anak-anak. Ia baik untuk meningkatkan pengetahuan dan bahasa anak-anak. Selain itu, ia cara terbaik mengeratkan hubungan dan bermanja dengan anak-anak.

Malah anak-anak akan sentiasa ingat ia sebagai kenangan manis apabila mereka dewasa kelak.

Jadi pendengar yang baik -Tidak salah jika anda mendengar apa yang ingin diceritakan oleh anak-anak. Kanak-kanak adalah pemerhati dan pendengar yang baik. Jadi mereka akan sentiasa bertanya itu dan ini kepada ibu bapa mereka mereka.

Sentiasa beri perhatian apabila mereka cuba bercakap dengan anda. Walaupun tidak penting dan merimaskan tetapi ianya sangat penting untuk hubungan anda bersama anak-anak.

Jadi lebih bertanggungjawab -Ajar anak-anak menjadi insan yang bertanggungjawab. Mula ajar mereka sejak dari kecil cara mengemas mainan ke dalam kotak, mengemas tempat tidur, membawa pinggan ke singki dan sebagainya.

Paling penting anda perlu menunjukkan contoh sebelum meminta anak-anak melakukannya. Dengan cara itu, dengan izin tuhan, anak-anak anda akan menjadi insan yang yang lebih bertanggungjawab, menghormati dan menyayangi anda sebagai seorang bapa.

Menjadi bapa bukan sekadar bukti kelelakian anda tetapi memerlukan cabaran yang besar untuk mendidik anak-anak.

Sekiranya, anda mendidik keluarga yang bahagia dan ingin menjadi bapa yang disayangi anak-anak, anda perlu memikirkan tentang bagaimana untuk menjaga keluarga anda, tanggungjawab sebagai bapa dan bagaimana untuk memastikan anak-anak anda betul-betul menyayangi diri anda.

-Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

No comments: