Saturday, December 6, 2014

Anak suka melawan


Saya sering tidak sependapat dengan anak sulung yang berusia 15 tahun. Keadaan ini membuatkan hubungan kami sentiasa tegang. Baru-baru ini, saya dapati anak sering mengelak bertembung dengan saya. Apakah cara mengatasi masalah ini.

Ikhwan Johari, Kota Tinggi, Johor

Hakikatnya, ibu bapa akan bersedih jika anaknya suka melawan, degil dan seumpamanya. Sebab itu, agama Islam menekankan adab terhadap ibu bapa semasa berkomunikasi. Sikap anak yang meninggi suara, melawan, mengherdik dan seumpamanya terhadap ibu bapa berdosa besar. Kesan sikap biadap terhadap ibu bapa ialah;

* Hidup ramai musuh.

* Hidup penuh musibah.

* Hidup tidak tenang.

Sehubungan itu, anak mesti sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa. Kasih sayang ibu bapa akan menjadikan individu hidup lebih berkat, murah rezeki dan dikasihi rakan.

Mahir komunikasi

Merujuk kepada masalah komunikasi dengan anak, maka langkah itu boleh dilakukan bagi menanganinya;

* Anda mesti sedar melahirkan anak yang soleh adalah satu proses yang memerlukan kesungguhan, keyakinan, keimanan, ketabahan, kemahiran komunikasi dan kekuatan emosi semangat yang tinggi.

* Setiap kali anda melihat dan mengalami keadaan anak memberontak, cuba memandang anak dengan penuh simpati dan kasihan belas.

* Setiap kali seseorang anak bercakap kasar dan melawan ibu bapa, saat itulah anak menanggung dosa dan sedang menjemput bala buat dirinya sendiri.

* Ibu bapa mesti berjiwa besar dengan melihat anak sebagai amanah.

Anda wajar memiliki sikap dinamik dengan memandang masalah itu sebagai ujian yang datang daripada Allah untuk meningkatkan kualiti kepimpinan anda di rumah.

* Nasihatkan anak dengan lemah lembut dan berhemah.

Sikap mengelakkan diri daripada bertembung muka dengan ibu bapa di rumah jelas membuktikan anak masih belum matang, mempunyai tahap IQ yang lemah dan hakikatnya dia menghina dirinya sendiri.

Anak adalah amanah

Sikap simpati, empati dan kasihan kepada anak dituntut dalam Islam. Ibu bapa yang baik ialah gigih bekerja dan bertanggungjawab terhadap anaknya. Justeru, kecemerlangan akhlak ibu bapa mithali bukan saja berlaku pada saat anak sedang kecundang, malah ia juga berlaku ketika anak mencapai kecemerlangan.

Setiap orang harus sedar, apa yang paling penting dalam hidup adalah kejayaan kita mendapat khusnul khatimah, anda perlu memandang sikap anak itu sebagai;

* Masalah yang sangat kecil yang datang daripada Allah. Bersyukur. Anda lebih baik berbanding orang lain yang ditimpa musibah anak berpenyakit kronik, cacat, hilang dan seumpamanya. Bagaimana pula nasib penduduk yang menderita di Palestin, Syria dan Ethiopia.

* Anak adalah amanah. Setiap amanah apabila dilaksana dengan penuh hemah, tabah dan hikmah pasti akan mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan, kesejahteraan dan kepimpinan kendiri anda.

* Anak adalah asas untuk menilai prestasi kepimpinan anda.

Anda seharusnya melakukannya dengan penuh keyakinan. Bercakap atau berkomunikasi adalah cara terbaik.

Oleh Hushim Salleh
Sumber: Berita Harian

No comments: