Friday, December 5, 2014

Kad kredit & kad debit

Dewasa ini, bagi memudahkan pengurusan kewangan peribadi, ramai daripada kita memilih untuk menggunakan transaksi dalam bentuk selain tunai. Terdapat pelbagai pilihan bagi kita untuk membuat pembayaran dalam setiap transaksi seperti kiriman wang, cek, debit atau kredit.

Seiring dengan perubahan kecenderungan cara pembeli melakukan pembayaran pembelian, kebanyakan peniaga yang sebelum ini hanya menerima wang tunai kini semakin ramai mula menyediakan perkhidmatan yang menerima pembayaran melalui kad kredit dan kad debit.

Penggunaan kad kredit dan kad debit mampu menjadikan kehidupan anda lebih mudah, tetapi adalah penting untuk memahami bagaimana anda membayar pembelian yang akan dilakukan itu.

Namun, sebagai pengguna, anda perlu memahami apa yang itu kad kredit dan kad debit supaya alat yang sepatutnya membantu kehidupan ini tidak bertukar menjadi satu perkara yang menyusahkan serta membebankan.

Justeru itu, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) pada artikel kali ini ingin ingin berkongsi sedikit pengetahuan yang mungkin boleh membantu anda.

Kelebihan Kad Debit

Kad debit membolehkan anda untuk membayar sebarang pembelian tanpa menggunakan wang tunai atau menulis cek di mana wang untuk transaksi berkenaan akan diambil secara terus daripada akaun simpanan anda.

Ini bermakna anda hanya boleh menggunakan kad debit untuk sebarang pembelian sekiranya terdapat jumlah wang yang mencukupi di dalam akaun tersebut.

Kad debit boleh membantu anda melakukan bajet. Jika dibandingkan dengan kad kredit, baki akaun anda akan berkurangan setiap kali pengeluaran dibuat yang mana ia membantu anda mengawal perbelanjaan yang berlebihan.

Kad debit amat berguna jika anda tidak mahu membawa tunai dalam jumlah yang besar atau jika mahu membeli barang melalui pos, dalam talian atau melalui telefon.

Dewasa ini, kebanyakan bank kini menawarkan kad ATM yang juga berfungsi sebagai kad debit (selalunya kad ini mempunyai logo Visa atau Mastercard).

Untuk mendapatkan kad debit, dapatkan maklumat daripada bank anda. Pastikan anda mendapatkan maklumat sama ada terdapat bayaran yuran yang dikenakan. Kebanyakan bank yang menawarkan kad debit tidak mengenakan sebarang bayaran.

Namun begitu ada juga bank yang mengenakan bayaran sekali setahun atau yuran tahunan yang rendah.

Kelebihan Kad Kredit

Baik atau buruknya kad kredit, semuanya bergantung pada cara bagaimana anda menggunakannya. Kad kredit memberikan anda pinjaman yang boleh digunakan untuk membayar sebarang pembelian.

Kebiasaannya kad kredit mengenakan had bagi jumlah kredit yang boleh digunakan. Pihak bank akan menentukan jumlah kredit ini bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan dan sejarah penggunaan kad kredit (sama ada anda mempunyai rekod pembayaran yang baik).

Jumlah kredit tidak bergantung kepada sejauh mana wang yang anda ada, di mana ramai yang berhutang dengan kad kredit. Anda mungkin mempunyai jumlah kredit sebanyak RM500 dan anda boleh berbelanja sehingga jumlah tersebut, tetapi anda hanya mempunyai RM200 dalam simpanan.

Ini bermakna anda akan berhutang dengan syarikat kad kredit pada penghujung bulan.

Semua syarikat kad kredit memerlukan anda untuk membayar sebahagian atau semua bayaran pada penghujung bulan. Kad kredit daripada American Express, contohnya memerlukan anda membayar jumlah penuh atas apa yang anda telah gunakan pada bulan tersebut.

Kad lain seperti Visa dan Mastercard pula hanya meminta sejumlah bayaran kecil tetapi kemudiannya mengenakan bayaran faedah yang tinggi terhadap lebihan bayaran yang anda tidak jelaskan itu.

Kad Kredit Atau Kad Debit?

Jika anda mahu membeli barangan bernilai tinggi seperti TV LCD, keduadua kad ini boleh digunakan. Dengan menggunakan kad kredit, anda boleh menikmati ganjaran daripada pembelian tersebut.

Manakala jika menggunakan kad debit pula, anda tidak perlu risau mengenai pembayaran semula yang lambat, caj bunga dan risiko untuk ditipu.

Tetapi sebelum anda boleh menggunakan kad debit, pastikan baki di dalam akaun anda itu mencukupi bagi menjelaskan bayaran bagi barangan yang dibeli. Persoalannya sekarang, perlukah anda memiliki kedua-dua jenis kad ini?

Sebenarnya segala-galanya bergantung pada diri anda. Walaupun kebanyakan bank menyediakan kad debit apabila anda membuka akaun bank, namun begitu, kad kredit pula perlu dipohon dengan cara yang berlainan. Anda boleh memilki kedua-duanya sekali, tetapi perlulah diingat gunakanlah kad kredit dengan berhemah dan penuh berhati-hati.

Jika anda dapat mengawal perbelanjaan dan mempunyai kapasiti untuk membayar jumlah yang telah ditetapkan pada masa yang ditetapkan, maka kad kredit amat berguna bagi membantu anda terutamanya jika berlaku kes kecemasan.

- Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

No comments: