Wednesday, December 3, 2014

Selamatkan diri dari permasalahan hutang

PARA pembaca yang dihormati, sengaja Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) memulakan arikel kali ini ini dengan petikan kata-kata ahli falsafah barat yang terkemuka ini.

Tujuan kami ialah supaya para pembaca sekalian menyedari betapa buruknya bahana hutang yang tidak terkawal kepada seseorang di mana ia boleh menyebabkan menjadi hamba kepada hutang tersebut.

Lihat sahaja laporan-laporan di media massa mengenai mereka yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesulitan akibat berhutang dengan ah long mahupun dengan institusi kewangan yang lain disebabkan perancangan kewangan yang lemah dan perbelanjaan di luar kemampuan.

Sikap alpa, boros dan tiada perancangan merupakan jerat utama yang membawa kepada perangkap hutang. Kita mungkin berhutang kerana ingin berbelanja mewah atau mendapatkan barangan impian sehingga terlupa akan permasalahan yang bakal menimpa.

Akibatnya, sumber kewangan bukan sahaja semakin merosot, malahan pelbagai konflik akan timbul terutamanya bagi individu yang telah berkeluarga.

Bagi membantu para pembaca menyelamatkan diri daripada terus terperangkap dalam permasalahan hutang ini PKPKL ingin berkongsi sedikit tips yang mungkin boleh membantu.

Guna Tunai Dan Jangan Berhutang - Anda mungkin mempunyai sejumlah wang simpanan yang begitu banyak. Tetapi anda begitu berkira untuk menggunakan wang ini bagi tujuan membeli barangan yang dihajati.

Anda lebih teruja berbelanja secara bayaran ansuran yang pasti lebih tinggi jumlah pembayarannya berbanding secara tunai. Ada juga di antara kita yang gemar menggunakan kad kredit, sedangkan ketika itu mempunyai tunai yang mencukupi.

Jika sikap ini dijadikan amalan, anda pasti akan berdepan dengan situasi yang sukar sekiranya jumlah hutang semakin meningkat.

Elakkan Hutang Remeh - Jangan jadikan rakan-rakan anda bank untuk mendapatkan barangan yang dihajati, segeralah berubah.

Perbuatan gemar meminjam seterusnya berhutang hanya akan menjerat anda kepada masalah kewangan yang lebih serius.

Jika tidak mampu melangsaikannya, anda bukan sahaja kehilangan rakan, malahan tiada siapa lagi yang akan membantu anda.

Elak Hutang - Jadikan hutang sebagai pilihan terakhir anda.

Jika menginginkan sesuatu perkara, cuba cari ikhtiar atau jalan terbaik menjadi sumber kewangan. Namun, jika sumber kewangan yang sedia ada tidak mencukupi, anda mungkin boleh mempertimbangkan semula untuk berhutang.

Bagaimanapun, pilih sumber hutang yang terbaik dan tidak mempunyai kadar faedah yang tinggi.

Tangguhkan Berhutang - Sebelum menandatangani surat perjanjian pinjaman, fikir dengan mendalam. Cuba bayangkan, apa yang akan berlaku pada diri anda dan keluarga sekiranya hutang ini tidak mampu anda langsaikan.

Anda mungkin akan kehilangan rumah, kereta, harta benda dan berkemungkinan akan diisytiharkan muflis. Barangan anda terpaksa digadaikan demi melangsaikan hutang. Jika semua ini anda fikirkan, pasti anda akan menangguhkan pengambilan hutang tersebut.

Elakkan Kad Kredit - Fikirkan secara mendalam jika anda berhasrat untuk memilki kad kredit. Adakah anda benar-benar memerlukannya, apakah tujuannya, adakah anda seorang yang boros, mampukah anda berdisiplin dan bolehkah anda menggunakanya secara bijak?

Jika jawapannya negatif, maka lupakan sahaja niat anda untuk memilki kad kredit. Lebih baik berbelanja secara tunai daripada berhutang menerusi kad kredit.

Tunai Lebih Baik - Tidak perlu rasanya untuk menggunakan kad kredit jika pembelian tersebut dalam jumlah kecil atau sederhana, misalnya membeli barangan keperluan harian.

Jika berhasrat membeli barangan kelengkapan rumah, jangan beli secara serentak jika anda tidak berkemampuan. Berbelanja mengikut tahap kemampuan. Kemampuan membeli seseorang adalah setakat jumlah tunai yang sanggup dibayar.

Menabung - Jangan tergesa-gesa untuk mndapatkan barangan impian anda. Jika anda berhajat untuk memiliki sesuatu barangan seperti kamera SLR tetapi masih belum mempunyai kewangan yang cukup, cubalah untuk bersabar.

Kumpulkan kewangan anda secara bulanan misalnya RM300 sebulan, sehinggalah jumlah tersebut mencukupi untuk membeli kamera yang anda idamkan. Masalah hutang pasti tidak akan timbul.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK

No comments: