Wednesday, August 6, 2014

Tips ketika membeli barang


SALAH satu daripada sampah yang sering dibuang ialah pembungkus barangan seharian yang dibeli. Pembungkusan memainkan pelbagai peranan untuk melindungi, menjaga kesegaran dan kebersihan barang tersebut. Walau bagaimanapun pembungkusan inilah merupakan salah satu daripada punca utama sisa pepejal.

Oleh itu, jadilah pengguna bijak, pilihlah produk anda supaya anda dapat membantu mengurangkan sisa pepejal. Berikut adalah beberapa tip ketika membeli barangan:

* Jika membuat perbandingan di antara dua jenis produk, pilihlah produk dengan kadar pembungkusan yang kurang.

* Jika membeli barangan seperti tomato, bawang putih, bawang merah dan sebagainya, belilah produk yang belum siap dibungkus.

* Pastikan anda benar-benar memerlukan sesuatu produk sebelum membeli untuk mengelakkan pembaziran serta penghasilan sisa yang berlebihan.

* Kenal pasti dan sokonglah kedai yang menjual barangan secara pukal tanpa terlalu banyak pembungkusan. Pastikan anda memberitahu pembantu kedai jika bahan tersebut tidak memerlukan pembungkusan berlebihan.

* Cubalah membeli barangan kegunaan harian seperti syampu, sabun dan tepung secara pukal (saiz besar atau ekonomi). Ini adalah kerana saiz yang lebih besar akan mengurangkan pembungkusan seunit produk.

* Jika anda membeli-belah di pasar raya besar, elakkan penggunaan plastik atau beg. Masukkan terus barangan anda ke dalam but kenderaan.

* Seboleh-boleh elakkan penggunaan sudu, garpu, cawan dan pinggan kertas atau polisteren. Gunakan pinggan kaca atau plastik yang boleh diguna semula.

Selain mengurangkan jumlah pembungkusan dalam barangan yang dibeli, pengurangan kadar penggunaan barangan bersifat toksik juga merupakan penting. Cuba elakkan atau gunakan bahan kimia, pencuci dan sebagainya pada kadar yang sangat sedikit.

Penggunaan lestari bukan sahaja bertumpukan aktiviti kitar semula yang anda lakukan, malah pengurangan sisa pepejal 'at point source' juga amat penting.

Sumber: Berita Harian - 1Klassifieds

No comments: