Monday, May 26, 2014

Ketahui hak kita sebagai pengguna



BEKAS Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy pernah menyatakan bahawa pengguna adalah golongan ekonomi terbesar yang mempengaruhi dan dipengaruhi hampir semua keputusan dibuat pihak awam serta swasta.

Namun pengguna juga satu-satunya golongan penting yang pandangannya jarang didengar.

Begitupun, dalam era serba maju ini, Malaysia tidak ketinggalan mewujudkan badan dan organisasi tertentu yang bertanggungjawab menjaga hak masyarakat sebagai pengguna.

Apa yang harus diperbaiki adalah sikap masyarakat itu sendiri kerana sering mengambil mudah mengenai hak serta kepentingan digariskan kerajaan untuk kemudahan mereka.

Apakah hak pengguna?

Hak untuk mendapat keperluan asas

Pengguna berhak untuk mendapat keperluan asas bagi meneruskan kehidupan yang memuaskan seperti makanan, pakaian, tempat kediaman, kesihatan, pendidikan, kemudahan awam, air dan sanitasi.

Hak untuk mendapat barangan dan perkhidmatan yang selamat

Pengguna berhak untuk dilindungi daripada barangan, proses pengeluaran dan perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan ataupun kehidupan.

Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna berhak untuk diberitahu fakta yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat dan dilindungi daripada pengiklanan serta perlabelan yang tidak jujur atau mengelirukan.

Hak untuk membuat pilihan

Pengguna berhak untuk memilih daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan pada harga yang kompetitif dan jaminan kualiti yang memuaskan.

Hak untuk menyuarakan pendapat

Pengguna berhak untuk bersuara bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan sewajarnya dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan serta dalam pembangunan barangan dan perkhidmatan oleh pengeluar.

Hak untuk mendapat ganti rugi

Pengguna berhak untuk mendapat penyelesaian yang adil termasuk pampasan bagi pembelian barangan yang mempunyai perihal dagangan yang mengelirukan, kurang bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan.

Hak untuk mendapat pendidikan pengguna

Pengguna berhak untuk mendapat pendidikan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang bijak dalam pembelian barangan dan perkhidmatan serta mengamalkan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Hak untuk hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak untuk hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih, sihat dan tidak berbahaya kepada generasi masa kini serta generasi akan datang.

Selain mengenali hak pengguna, seseorang itu juga perlu mengambil kira beberapa perkara sebelum membuat keputusan untuk membeli antaranya:

1. Tempat asal produk seperti nama dan alamat pengilang, pengimport, penjual borong, ejen atau pengedar, kumpulan barangan, nombor model atau stok dan tanda perniagaan.

2. Tarikh produk dikilangkan dan tarikh luput.

3. Berat minimum dan kuantiti.

4. Penerangan umum produk seperti kandungan, kapasiti, panduan penggunaan dan batasannya.

5. Penerangan khusus mengenai kandungan produk seperti senarai, nisbah dan khasiat bahan digunakan.

6. Kualiti atau keupayaan produk misalnya tanda kelulusan, gred dan sebagainya.

7. Terma khusus mengenai jualan termasuk harga cadangan, diskaun dan tawaran istimewa.

8. Maklumat khusus seperti amaran dan peraturan kecemasan kepada golongan tertentu.

Aduan pengguna

Sekiranya tidak berpuas hati dengan sebarang perkhidmatan atau produk, pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi telefon, laman web, surat atau datang sendiri ke Pusat Pengurusan Aduan Pengguna (PPAP).

Setiap aduan diterima akan disalurkan kepada agensi yang terbabit untuk diselesaikan.

Jika aduan itu berkaitan harga atau kualiti barangan dan perkhidmatan, pengguna boleh merujuknya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi talian bebas tol di 1-800-886-800.

PENTING!

Elakkan ditipu menerusi:

1. Penipuan perkhidmatan.

2. Penipuan harga.

3. Cetak rompak.

4. Penipuan jualan langsung.

5. Produk tiruan.

6. Tanda harga mengelirukan.

7. Khidmat bengkel kenderaan bermotor tidak telus.

8. Aktiviti menyorok barang kawalan.

9. Penipuan perjanjian sewa beli.

2 comments:

Cikgu Abah said...

namun apa yang paling penting..pengguna harus bijak dan berani..

sharhanah said...

kebanyakkan pengguna malas untuk membuat aduan walaupun sudah tahu hak sebagai pengguna...
betul tu Fazil Hamid, pengguna kena bijak dan berani...kalau tak, susah la