Wednesday, May 21, 2014

Perkara yang harus dielakkan selepas makan


ORANG bijaksana dahulu kala, bahkan para saintis dewasa ini sering mengatakan dan bersetuju bahawa anda adalah apa yang anda makan. Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa punca kepada segala penyakit adalah dari perut.

Pun begitu, pernahkah kita sebagai pengguna memikirkan mengapa mereka memberikan nasihat yang demikian dan apakah asas kepada pendapat mereka itu.

Jika para pembaca berhenti untuk berfikir, pastinya anda akan memahami dan tutur mengakui kebijaksanaan di sebalik katakata bijak pandai berkenaan.

Organ-organ dalam badan kita terutamanya perut merupakan `kilang pemproses' makanan atau apa sahaja nutrient yang kita ambil untuk mendapatkan khasiat yang diperlukan oleh kita sebagai manusia untuk hidup.

Secara analoginya, perut dan organ dalaman ini boleh disamakan seperti jentera ataupun kilang-kilang pemprosesan.

Ini bermakna, seperti mana kilang dan jentera pemprosesan itu, kadar kecekapannya untuk memproses dan menyaring nutirens yang tubuh kita perlukan bergantung kepada apa yang kita berikan kepadanya.

Justeru, pada artikel kali ini, Persatuan Keselamatan Kuala Lumpur (PKPKL) ingin berkongsi sedikit maklumat mengenai amalan selepas makan yang patut dielakkan demi untuk kebaikan kesihatan para pembaca.

Sebelum meneruskan pembacaan tanya diri anda apakah tabiat yang sering anda lakukan selepas makan? Persoalan ini penting kerana apa yang kita lakukan selepas makan sebenarnya banyak mempengaruhi diet dan sistem pencernaan tubuh kita. Jika anda sering mangamalkan perkara di bawah, cuba hentikannya dari sekarang.

Jangan makan buah selepas makan

Ramai yang menganggap buah dijadikan sebagai pencuci mulut selepas makan.

Tanggapan ini kurang tepat kerana makan buah sebaik sahaja selesai makan akan menyebabkan perut menjadi kembung kerana terlalu banyak air. Justeru, lebih baik makan buah satu jam sebelum makan atau dua jam selepas makan.

Jangan minum teh selepas makan

Asid yang terkandung di dalam daun teh boleh menyebabkan kandungan protein di dalam makanan yang telah dimakan akan segera mengeras yang mana ia akan mengakibatkan makanan tersebut sukar dicernakan. Jadi anda disarankan agar minum air putih sahaja.

Jangan mandi selepas makan

Sekiranya anda mandi selepas makan, ia boleh menyebabkan aliran darah pada tangan, kaki dan tubuh akan meningkat, manakala jumlah darah di bahagian perut dan sekitarnya akan menurun. Keadaan ini akan melemahkan sistem pencernaan perut anda.

Jangan banyak berjalan

Jangan berjalan terlalu banyak selepas anda makan. Ini kerana berjalan terlalu banyak boleh mengakibatkan sistem pencernaan tidak dapat menyerap nutrisi daripada makanan yang telah dimakan. Justeru, ambil masa anda untuk berehat beberapa minit sebelum meneruskan kerja harian anda.

Jangan tidur selepas makan

Amalan tidur sebaik sahaja selesai makan boleh membahayakan sistem pencernaan anda. Ini kerana makanan tersebut tidak dapat dicerna dengan baik oleh sistem penghadaman ketika anda tidur. Justeru, jarakkan masa makan dan tidur anda sekurang-kurangnya satu atau dua jam.

Jangan merokok selepas makan

Berdasarkan penelitian, menghisap sebatang rokok sahaja selepas makan kesannya sama dengan menghisap 10 batang rokok pada waktu lain. Merokok sudah pasti membahayakan kesihatan anda. Justeru, langkah terbaik ialah berhenti merokok.

Jangan bersenam selepas makan

Bersenam baik untuk kesihatan dan diet anda. Namun, jangan sesekali melakukan senaman atau aktiviti riadah lain selepas anda makan. Ini kerana aktiviti fizikal secara drastik selepas makan akan menyebabkan sistem pencernaan tidak boleh berfungsi dengan baik. Oleh itu, jangan bersenam dengan keadaan perut yang penuh dengan makanan.

PKPKL mengharapkan dengan sedikit tips amalan yang perlu dielakkan selepas makan ini dapat membantu anda untuk menjaga kesihatan.

Kesihatan diri merupakan antara aspek utama yang dititik beratkan alam kepenggunaan. Ini kerana dengan kesihatan kita dapar membentuk mental yang baik sekaligus menjamin kelestarian kehidupan individu dan keluarga.

* Oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@ hotmail.com

1 comment:

Cikgu Abah said...

perkara 1,2,3 tu dah macam jadi kebiasaan...kalau dah mandi pula baru makan mesti terus tidur...hehehe..
salah rupenye..