Wednesday, January 8, 2014

Tips untuk pemandu remaja yang baru dapat lesen



Anda baru sahaja mendapat lesen memandu tetapi sebelum anda memasuki kereta untuk memandu, terdapat beberapa perkara yang anda perlu tahu untuk menjadi pemandu yang baik dan bertanggungjawab.

MEMBELI KERETA BARU

Sekadar mengunjungi beberapa pengedar kereta mungkin tidak akan membantu banyak dalam menentukan kereta yang sesuai untuk anda. Sebaliknya, cuba selidik secara online untuk mendapatkan senarai sebut harga kereta yang terbaik, membuat perbandingan harga dan mencari tawaran terbaik daripada ramai pengedar.

Dan jika anda masih tidak pasti tentang apa yang anda lakukan atau bagaimana untuk melakukannya, mintalah bantuan kawan atau orang yang berpengalaman untuk membantu anda.

MEMANDU DALAM KEADAAN HUJAN

Sentiasa ingat untuk mengurangkan kelajuan anda semasa memandu dalam keadaan hujan dan menjarakkan kereta anda dengan kenderaan di hadapan. Ini akan memberikan anda lebih banyak ruang dan masa untuk memperlahankan kereta apabila seseorang di hadapan membrek secara tiba-tiba.

Berhati-hati dengan lopak air dan kemungkinan jalan berlubang di jalan raya. Memandu melalui lubang dalam di jalan raya akan merosakkan kenderaan anda.

Dalam beberapa kes, kereta anda mungkin mengalami "aquaplane" (terlalu banyak air di bawah tayar yang memecah daya geseran dengan jalan). Belajarlah kaedah pemanduan yang selamat apabila di permukaan licin dan dengan keadaan jarak penglihatan terhad.

Dan sentiasa ingat untuk menghidupkan lampu hadapan kereta anda, menggunakan isyarat yang betul. Kebiasaannya, sebelum anda memasang pengelap cermin, pastikan lampu hadapan dinyalakan dahulu.

MENANGANI TAYAR PANCIT

Bagaimana anda mengetahui tayar kereta pancit semasa memandu? Perkara pertama yang anda mungkin sedar jika ada tayar pancit di bahagian hadapan, stereng akan menarik ke arah bersebelah, atau sebaliknya. Jika tayar belakang, kereta akan kelihatan rendah ke satu sisi dan ini sukar kita kenal pasti.

Sekiranya anda menghadapinya, bergerak perlahan ke bahu jalan dengan serta merta. Jika anda boleh menukar tayar sendiri, pastikan kenderaan anda selamat daripada aliran trafik. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk menukar tayar, minta bantuan dan biarkan mereka menukarkannya untuk anda.

KETIDAK SABARAN SEMASA MEMANDU

Sentiasa ingat bahawa sebarang jenis kemarahan semasa memandu adalah sangat tidak digalakkan dan harus dielakkan pada setiap masa. Pastinya anda mahu rekod memandu anda bersih dan tidak terlibat dalam mana-mana pertelingkahan. Apabila seseorang menyinggung anda dalam satu cara atau yang lain, ambil nafas panjang dan biarkan kemarahan reda.

Jangan bertindak balas dengan mengekori rapat atau memotong mereka kerana inilah penyumbang utama kepada kemalangan serius di jalan raya. Jika anda menyebabkan kesusahan kepada pemandu di jalan raya, minta maaf dengan cepat dan teruskan perjalanan.

MENGHADAPI KEMALANGAN KERETA

Tidak kira siapa yang bersalah, sentiasalah bersikap tenang. Jika anda tidak mengalami sebarang kecederaan, keluarlah dari kenderaan anda dengan berhati-hati dan periksa jika terdapat sesiapa yang cedera. Tidak guna bertengkar kerana ianya tidak akan menyelesaikan apa-apa.

Bertenang, bertukar maklumat, cari penyelesaian. Jika anda tidak boleh melakukan ini sendirian atau masih terkejut, panggil seseorang dan minta bantuan. Sentiasa ingat untuk menyimpan telefon bimbit anda pada setiap masa, dan jika boleh, ambil gambar kemalangan dan tulis nombor kenderaan.

Tidak mudah untuk mengalihkan kereta dari lebuh raya yang sibuk selepas kemalangan, oleh itu dapatkan bantuan dan alihkan secara selamat.

Periksa dan lihat kereta anda jika ianya masih boleh dipandu. Jika kereta anda tidak sesuai untuk dipandu, panggil trak tunda.

MENCARI BENGKEL PEMBAIKAN KERETA YANG BETUL

 Jika anda tidak biasa dengan pembaikan kereta, adalah dinasihatkan untuk berjumpa dengan rakan yang arif tentang hal ini. Berhati-hati kerana ada bengkel yang mengambil kesempatan dan menipu semata-mata untuk keuntungan. Anda hendaklah meminta anggaran harga pembaikan daripada mekanik serta memberitahunya yang anda juga mendapat sebut harga daripada bengkel lain.

MENGGUNAKAN TELEFON BIMBIT SEMASA MEMANDU

Di bawah undang-undang Malaysia, anda boleh dikenakan denda maksimum RM300 akibat menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Melainkan panggilan kecemasan yang perlu dijawab segera, gunakan alat bebas tangan, pastikan tangan anda pada stereng dan fokus ke arah jalan raya. Jangan cuba menulis teks semasa memandu kerana ianya akan mengalih perhatian anda daripada memberi tumpuan kepada jalan raya. - Untuk lebih tip dan panduan membeli kereta, layari www.carlist.my

No comments: