My Followers

Bilakah saya perlu mula merancang untuk persaraan?



Perancangan persaraan merupakan matlamat jangka masa panjang yang perlu dilakukan oleh setiap orang. Persiapan persaraan hendaklah meliputi pengurangan hutang, peruntukan perbelanjaan, pelbagaian pelaburan dan menjaga kesihatan tubuh badan dengan mengambil makanan yang seimbang. Berikut adalah maklumat bagaimana anda boleh menggunakan Insurans Hayat untuk merancang persaraan hari tua anda.

BILAKAH SAYA PERLU MULA MERANCANG UNTUK PERSARAAN?

SECEPAT MUNGKIN! Ya, anda perlu bermula sebaik sahaja anda mula bekerja kerana masa adalah emas. Anda mahu menikmati manfaat daripada faedah kompaun dengan memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan anda dan melaburnya setiap bulan. Anda boleh bermula dengan berapa sahaja jumlah yang anda ada dan lama-kelamaan anda mungkin akan terkejut melihat jumlah itu bertambah dengan kuasa faedah kompaun. Seperti kata peribahasa Melayu, "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit!"

TIDAKKAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP) SAYA MENCUKUPI?

Jika anda mengikuti laporan daripada KWSP, anda akan tahu bahawa anda tidak boleh bergantung semata-mata pada wang KWSP. Ia mungkin mencukupi untuk menampung keperluan asas dan untuk masa yang terhad sahaja.

Pernah dilaporkan bahawa pada puratanya seseorang ahli KWSP itu akan membelanjakan semua wang KWSPnya dalam tempoh tiga tahun pertama persaraannya! Walaupun anda menyimpan secara berterusan dalam KWSP, anda juga harus menambahnya dengan simpanan dan pelaburan anda sendiri jika anda mahu memiliki gaya hidup persaraan yang anda idamidamkan.

BAGAIMANAKAH SAYA HENDAK MERANCANG UNTUK PERSARAAN SAYA?

Anda boleh bersara begitu sahaja, iaitu tidak berbuat apa-apa dan berharap yang terbaik, atau bersara dengan perancangan yang teliti dan menikmati gaya hidup persaraan yang anda impikan. Yang mana anda lebih suka? Secara mudahnya, anda boleh mengikuti Perancangan Persaraan dengan tiga "P" yang berikut:

- Place (Tempat) - tentukan di mana anda mahu bersara

- Price (Harga) - anggarkan kos gaya hidup yang anda ingini

- Plan - buat rancangan yang realistik untuk mencapainya

BAGAIMANAKAH INSURANS HAYAT MENOLONG SAYA DALAM PERANCANGAN PERSARAAN SAYA?

Tujuan utama Insurans Hayat ialah untuk melindungi punca pendapatan keluarga anda. Di sini, anda boleh menggunakan Insurans Hayat untuk memastikan kehidupan pasangan anda terjamin pada persaraannya dan merancang jumlah yang diperlukan sekiranya anda tiada lagi.

Selain itu, terdapat juga beberapa pelan yang mengandungi unsur simpanan yang boleh digunakan untuk merancang bagi dana persaraan anda sendiri. Ia seperti pelan dua dalam satu, iaitu jika sesuatu yang tidak diingini menimpa anda, keluarga anda dilindungi. Tetapi jika tiada apa yang berlaku, anda akan dapat mengeluarkan wang daripadanya suatu hari nanti untuk menambahkan dana persaraan anda.

APAKAH JENIS INSURANS HAYAT YANG SESUAI UNTUK PERSARAAN SAYA?

Jenis pelan yang paling biasa untuk tujuan persaraan ialah pelan Anuiti. Pada dasarnya, pelan Anuiti menyediakan anda pendapatan bulanan apabila anda bersara untuk sepanjang hayat anda atau sehingga tempoh masa tertentu. Walau bagaimanapun, produk ini belum banyak ditawarkan di negara ini sekarang tetapi akan bertambah popular pada masa akan datang.

Anda juga boleh memenuhi keperluan tersebut dengan pelan endowmen sertaan yang diubah suai dan pelan seumur hidup sertaan. Pelan ini pada dasarnya memerlukan anda membayar premium bagi bilangan tahun tertentu dan selepas itu akan membayar anda peratusan daripada jumlah diinsuranskan sehingga tamat tempoh pelan itu. Sekiranya sesuatu berlaku di antara tempoh itu, anda atau keluarga anda dijamin mendapat jumlah insurans berserta nilai tunai yang perlu dibayar kepada anda.

Diharapkan maklumat di atas akan memberi anda dorongan untuk mula merancang untuk persaraan anda. Jika anda menyemai impian, iaitu hari tua anda akan membahagiakan, anda perlulah merancang dari sekarang.

Artikel berikut disediakan sebagai nasihat semata-mata. Untuk butir-butir khusus, sila dapatkan nasihat daripada profesional insurans dengan menghubungi mana-mana syarikat insurans hayat yang disenaraikan dalam laman sesawang rasmi Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di www.liam.org.my.

Sumber: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)
Post a Comment