Friday, December 20, 2013

Bagaimana pencuri identiti menggunakan maklumat peribadi anda


Taktik yang digunakan untuk mendapatkan maklumat

Kecurian identiti berlaku apabila pencuri identiti mendapatkan maklumat peribadi menggunakan pelbagai cara dan taktik seperti:

a) Mencuri dompet yang mengandungi kad pengenalan dan kad kredit.

b) Mencuri surat yang mengandungi maklumat tentang bank, kad kredit, slip gaji dan cukai.

c) Memperolehi kad pertukaran alamat agar semua surat dihantar ke alamat lain.

d) Pecah masuk rumah untuk mendapatkan maklumat peribadi.

e) Mencuri maklumat peribadi melalui internet.

f) Menyamar sebagai wakil bank, penyedia perkhidmatan internet atau agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat peribadi melalui telefon atau e-mel.

BAGAIMANA PENCURI IDENTITI MENGGUNAKAN MAKLUMAT PERIBADI YANG DIPEROLEHI

a) Membuka akaun bank menggunakan nama anda dan menulis cek yang tidak sah daripada akaun itu.

b) Menyamar sebagai diri anda di laman web jaringan sosial seperti facebook.

c) Memalsukan cek dan mengeluarkan wang dalam akaun simpanan.

d) Memohon perkhidmatan telefon atau perkhidmatan tanpa wayar atas nama anda.

e) Memohon kad kredit baru menggunakan nama anda.

f) Menambah bil utiliti yang perlu ditanggung oleh anda. Mungkin anda tidak nampak bil perbelanjaan tetapi kegagalan membayarnya akan memberi kesan terhadap reputasi kewangan anda.

Terdapat satu kes kecurian identiti dilaporkan dalam media baru-baru ini, iaitu seorang wanita berasa hairan apabila beliau sering menerima e-mel yang meminta untuk menambah beliau sebagai kawan pada profil di sebuah laman web jaringan sosial. Kebiasaannya, wanita tersebut tidak akan menambah keahlian bagi orang yang tidak dikenali dalam profilnya. Oleh itu beliau berasa terkejut apabila mendapati ramai orang yang tidak dikenali mengatakan bahawa mereka mengenali beliau. Mereka mengatakan bahawa wanita tersebut telah menambah mereka sebagai kawan di laman web jaringan sosial yang lain. Setelah beliau melayari laman web tersebut, beliau mendapati bahawa ada orang lain yang telah membuat satu profil palsu menggunakan gambar serta maklumat peribadinya.

Apabila beliau menghubungi orang tersebut agar menutup akaun profil itu, orang yang menyamar itu telah meletakkan profil palsu kepada `private' - hanya boleh dilihat oleh orang yang dipilih sahaja.

Ini merupakan satu bentuk kecurian identiti yang amat serius. Penyamar boleh menghubungi kawan-kawan anda dan menipu bagi mendapatkan wang daripada mereka. Penyamar juga boleh meletakkan sebarang kenyataan tidak baik untuk memusnahkan reputasi anda atau meletakkan pautan muat turun perisian yang mengandungi virus pada profil kawankawan anda.

Sekiranya keadaan seperti ini berlaku, anda dinasihatkan agar menghubungi Cybersecurity Malaysia (agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan ruang siber) untuk mendapatkan khidmat dengan menghantar emel ke cyber999@cybersecurity.my. Mereka akan membantu mangsa membuktikan bahawa identiti mangsa tersebut telah dicuri dan akan terus menghubungi laman web jaringan sosial yang berkenaan supaya menutup profil palsu tersebut. Cybersecurity juga boleh merujuk kes kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

CARA-CARA MELINDUNGI DATA PERIBADI

a) Memastikan surat-surat penting diuruskan dengan baik. Pastikan surat yang hendak dikirim diletakkan di dalam peti pos dan pastikan surat yang diterima diambil terus daripada peti surat.

b) Menyimpan maklumat peribadi di tempat yang selamat seperti laci yang berkunci.

c) Melindungi maklumat sulit dalam komputer dengan kata laluan yang mengandungi kombinasi nombor dan huruf. Elakkan daripada menggunakan kombinasi kata laluan yang mudah seperti tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan sebagainya.

d) Jangan memberikan maklumat peribadi melalui e-mel atau laman web kecuali jika anda benar-benar pasti bahawa penerima maklumat tersebut boleh dipercayai.

e) Sebelum memberikan data peribadi dalam laman web tertentu, pastikan laman web tersebut adalah selamat iaitu laman web yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang dapat memberi perlindungan maklumat daripada dicuri ketika transmisi. Alamat laman web yang bermula dengan "https" menandakan laman web tersebut dalam kedudukan yang selamat.

f) Sekiranya mempunyai talian internet di rumah, semak dengan penyedia perkhidmatan tentang tahap keselamatan talian tersebut. Selidik apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk melindungi komputer dan data yang terdapat di dalamnya.

g) Sebelum membuang dokumen penting seperti penyata bank dan cek, koyakkan terlebih dahulu. Kad kredit yang telah luput juga perlu dipotong. Ini untuk mengelakkan daripada seseorang mendapatkan maklumat daripada kad kredit tersebut.

Sumber : Berita Harian - 1Klassifieds 

No comments: