Tuesday, April 23, 2013

10 tabiat mudahkan tugas



BEKERJA tapi dalam masa yang sama terpaksa juga menguruskan rumah tangga boleh menyebabkan wanita tertekan. Bagaimanapun, ketahuilah, semua masalah pasti ada penyelesaian. Paling utama, ketahui teknik dan urus masa dengan betul.

1. Bangun awal

Ia kadangkala sukar bagi sesetengah orang tapi percayalah ia berkesan kerana anda mempunyai lebih waktu untuk menyelesaikan bukan hanya perkara untuk hari ini, tapi juga untuk esok.

2. Tidur awal

Jika tidur awal, secara automatik pasti bangun awal. Ramai ibu bapa sukakan waktu bersendiri selepas anak masuk tidur untuk menyelesaikan tugasan peribadi atau kerja rumah. Tidak berjaga sehingga lewat malam membolehkan anda lebih bertenaga dan produktif keesokan harinya.

3. Persiapan awal

Pastikan barangan yang ingin dibawa pada pagi hari disediakan pada waktu malam dan diletakkan di satu tempat. Ajar juga anak tabiat sama selepas mereka mula menerima arahan. Ia akan memudahkan tugas anda.

4. Rangka jadual hidangan

Boleh rangka jadual hidangan untuk sehari bagi sarapan, makan tengah hari dan malam atau terus bagi seminggu. Adanya jadual ini akan memudahkan tugas anda merancang bahan.

5. Satu basuhan satu hari

Jadikan tabiat mengutip baju setiap ahli keluarga selepas mereka selesai mandi, masukkan ke dalam mesin basuh dan sidai sebelum masuk tidur atau awal pagi. Luangkan lima hingga 10 minit sehari untuk melipat pakaian. Ia mengurangkan beban anda pada hujung minggu.

6. Basuh pinggan mangkuk

Cuba basuh pinggan mangkuk pada waktu malam sebelum tidur. Ia memang sukar tambahan jika anda sudah penat seharian dengan kerja dan tugasan rumah. Tapi fikirkan, betapa lapangnya hati melihatkan sinki yang kosong pada waktu pagi sebelum bertolak ke pejabat.

Jika mempunyai anak yang boleh diharapkan untuk membasuh pinggan, suruh mereka lakukannya.

Lima minit untuk tandas

7. Luangkan lima minit sehari untuk mengemop lantai tandas. Kemudian capai berus tandas dan sental mangkuk tandas. Keesokan harinya, gunakan tisu tandas untuk mengelap peralatan bilik mandi termasuk cermin.

8. Pastikan barangan di tempat sepatutnya

Rumahku syurgaku. Tapi jika ruang rumah dipenuhi barangan, semestinya anda terasa tertekan kerana sukar untuk membersihkannya. Jadi, simpan barangan yang bersepah dan pastikan hanya ada barangan yang perlu dan selalu digunakan saja di ruang terbuka.

9. Rutin sebelum tidur

Kemaskan barang permainan, buku, pinggan mangkuk, sampah dan sebagainya. Siapkan pakaian untuk esok.

Melakukan rutin ini sebagai tabiat akan mengajar anak anda erti tanggungjawab. Kita ibu mereka, bukan pembantu rumah.

10. Fikir sebelum berkata `Ya'

Jika ada permintaan segera yang mungkin mengganggu tugasan kerja rumah anda, jangan cepat berkata sanggup. Katakan, anda perlu melihat jadual atau kalendar terlebih dulu. Mana mungkin anda mampu menguruskan semua perkara sendirian.

Sumber: Berita Harian - Famili

No comments: