MANUSIA kita tidak akan dapat lari daripada berhutang terutama dalam zaman yang amat mencabar dan semuanya memerlukan duit. Hutang boleh menyebabkan orang tidak dapat melelapkan mata pada waktu malam, risau pasal bagaimana caranya hendak membayar hutang, bilakah hutangnya akan langsai.
Tetapi, daripada kita berhutang dengan ah long, lebih baik kita berhutang dengan agensi-agensi kewangan yang diiktiraf. Seperti apa yang diutarakan sebelum ini, hidup dalam zaman moden ni, memang tidak boleh nak elak dari berhutang, lainlah jika kita berasal dari keluarga yang berada yang boleh mampu membeli apa saja secara tunai.
Bagaimanapun, jika terpaksa berhutang, anda boleh menggelakkannya daripada menjadi satu beban yang memeningkan kepala. Justeru, pada artikel kali ini, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) akan berkongsi sedikit panduan bagi mengelakkan hutang menjadi satu beban.
Antara lain, anda mugkin oleh mencuba tips-tips di bawah ini:
Beli secara Tunai - Hentikan dan jauhkan segala urusniaga yang berunsurkan hutang yang istilah ansuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah dan sebagainya. Jika tiada duit yang mencukupi, hentikan sahaja niat pembelian tersebut.
Hidup Di Bawah Kemampuan - Beli mengikut keperluan, bukan mengikut kemampuan, apatah lagi mengikut kemahuan. Jika kita hanya mampu memandu kereta Perodua Kancil, gunalah dahulu. Buanglah sifat hendak bergaya dalam hidup itu untuk sementara waktu.
Menyimpan - Inilah yang paling penting sekali. Jika anda hanya mengamalkan dua tips diatas, sedangkan anda tidak lakukan tips ini, maka hutang anda itu pastnya tidak kurang. Simpanlah di dalam tabung amanah yang dapat menjanjikan pulangan seperti ASN, ASB dan sebagainya. Bila sampai waktu terima bonus dan faedah, anda boleh menggunakannya untuk melangsaikan hutanghutang anda.
Bina Pendapatan - Sumber pendapatan sampingan atau kedua adalah penting sebagai `backup' kepada pendapatan utama dan untuk menambahkan simpanan. Bermacam-macam cara kita boleh lakukan untuk mendapatkan pendapatan sampingan ini, misalnya kerja separuh masa di stesyen minyak, menjual e-book, menjadi ejen insurans dan bermacam-macam lagi.
Pun begitu tips di atas merupakan kaedah bagaimana anda boleh mengelak daripada berhutang, namun, jika terpaksa juga berhutang, panduan di bawah mungkin boleh digunapakai.
Jangan Tambah Hutang - Selagi kita boleh hidup tanpa hutang, jangan sekali-kali berhutang. Beli apa sahaja secara tunai. Jika terpaksa berhutang, itu bermaksud anda belum mampu. Jadi kumpulkan duit dahulu.
Bayar Kadar Faedahnya Yang Paling Tinggi Dahulu - Contohnya, hutang kad kredit (18% setahun) harus dilangsaikan dahulu sebelum hutang pinjaman kereta (3% - 5% setahun). Jadi, cuba senaraikan semua hutanghutang yang ada mengikut kadar faedahnya. Kadar faedah paling tinggi itulah yang harus anda selesaikan dahulu.
Hutang seperti pinjaman rumah perlu dilangsaikan paling akhir sekali kerana ia dikategorikan sebagai "hutang baik" iaitu baik dari segi konsep pelaburan walaupun jika dikira dari aspek hutang ia masih negatif.
Buat Tabungan Langsai Hutang - Dana ini penting sebab anda dapat berjimat jika boleh membuat bayaran hutang secara full-settlement berbanding dengan membayar ansuran bulanan. Full-settlement maksudnya anda bayar nilai pokok sahaja, ansuran bulanan maksudnya anda bayar nilai pokok dan faedah!
Jangan Bazirkan Duit Durian Runtuh - Dalam tempoh tiga tahun, anda mungkin perlu menggunakan sebahagian besar duit bonus untuk membayar hutang. Memang anda tidak merasa sangat akan duit bonus tersebut tapi anda perlu berkorban sedikit.
Potongan Gaji - Buat potongan gaji atau `standing instruction' di bank supaya anda tidak lupa membayar hutang atau ansuran bulanan anda. Apabila anda terlupa bayar, ia yang akan menjadikannya tertunggak. Ini bagi mereka yang bilangan hutangnya lebih dari tiga.
Seperti yang kami nyatakan pada permulaan artikel ini, kehidupan moden dewasa ini membuatkan sukar bagi kita untuk tidak berhutang. Tetapi dicelah-celah kehidupan ini masih ada di antara kita hidup bahagia tanpa hutang.
Bila berhadapan dengan masalah yang berkaitan dengan kewangan, setiap orang mempunyai strategi untuk menyelesaikannya. Tidak ada yang salah selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan agama. Cuma semakin jelas dan yakin kita lihat jalan penyelesaian itu semakin cepat kita sampai ke puncak impian.
Pertimbangkanlah panduan yang kami berikan ini, moga anda dapat menguruskan hutang dengan baik dan tidak berhutang dengan ah long.
* Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com
No comments:
Post a Comment