LUKA, lebam dan melecur antara kecederaan yang paling kerap berlaku di rumah. Ramai panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan apabila berlaku kemalangan, terutama jika ia membabitkan kanak-kanak dan menyebabkan banyak pendarahan.
Kemalangan di rumah boleh berlaku kepada sesiapa saja walaupun risikonya lebih tinggi di kalangan kanak-kanak dan orang tua. Antara jenis kecederaan yang paling banyak dirujukkan ke unit kecemasan hospital ialah luka, kecederaan mata dan kepala serta luka terbakar.
Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) ingin berkongsi pengetahuan dengan anda mengenai kemalangan di rumah dan cara-cara menghadapinya.
1. Luka - Perkara ini kerap terjadi pada kanak-kanak dan ramai ibu bapa panik apabila melihat anak mereka berdarah. Jangan risau, periksa dulu saiz luka anak.
Jika kecil, segera letak anggota yang berdarah di bawah air paip dan siram hingga pendarahan berhenti. Ia juga bertujuan menyingkir objek asing (yang mungkin ada) pada luka. Selepas pendarahan berhenti, lap luka hingga kering dan balut dengan kain kasa yang steril (bebas kuman). Namun kaedah ini hanya untuk luka kecil yang tidak menyebabkan terlalu banyak pendarahan.
Bagi luka besar atau ada objek tertusuk ke dalam luka, segera bawa anak ke klinik atau hospital berhampiran.
2. Kecederaan mata - Apabila berlaku kecederaan membabitkan mata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah cuci tangan anda hingga bersih dan lalukan air paip pada mata selama 15 minit (mata perlu dibuka).
Teknik ini dipanggil pencucian mata (flushing). Ini adalah kaedah biasa yang digunakan di klinik dan hospital. Kaedah ini boleh digunakan jika mata berasa pedih akibat terkena wasap bahan kimia seperti asid pencuci lantai atau longkang.
Jika mata terkena bendasing, jangan cuba mengeluarkannya walaupun ia boleh diambil dengan tangan kerana kita tidak tahu berapa dalam kaca itu tertusuk ke dalam mata. Dibimbangi jika luka itu dalam, ia boleh menyebabkan pendarahan dan ada serpihan kecil tertinggal dalam luka andai serpihan itu dikeluarkan sendiri.
Sebaliknya, basuh tangan dan ambil cawan atau gelas plastik yang bersih dan tekap pada mata berkenaan. Ia bertujuan melindungi mata daripada terkena benda lain dan segera ke hospital.
3. Jatuh - Bengkak dan luka adalah kecederaan luaran, namun yang lebih dikhuatiri ialah berlaku kecederaan dalaman, terutama apabila seseorang itu jatuh dan kepalanya terhentak. Seseorang yang jatuh perlu segera dibawa ke hospital apabila pengsan (walaupun hanya untuk dua atau tiga saat), muntah-muntah (ini menandakan ada pendarahan dalaman atau otaknya bengkak) dan pening.
Kebanyakan dari kita tidak mahu ke hospital kerana menganggap pening sedikit atau muntah sebagai perkara biasa. Jika ia berlaku selepas anda jatuh dan kepala terhentak, ia bukan perkara biasa, sebaliknya petanda penting menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan otak anda.
4. Lecur Atau Lepuh - Mengikut istilah, luka terbakar ada dalam dua bentuk iaitu lecur (disebabkan haba kering, kesejukan melampau, bahan mengkakis, radiasi dan cahaya matahari) manakala lepuh pula diakibatkan haba basah seperti cecair dan wap panas.
Jenis luka terbakar dan punca yang berkemungkinan:
* Luka terbakar yang kering - Disebabkan api, tersentuh objek panas, contohnya perkakas di rumah, khususnya alat elektrik, periuk panas.
* Lepuh - Disebabkan wap atau cecair panas (termasuk minyak panas).
* Luka terbakar akibat arus elektrik - Arus voltan rendah seperti digunakan dalam alat elektrik di rumah.
* Luka terbakar akibat bahan kimia - Bahan kimia dan agen kimia yang biasa untuk kegunaan domestik, termasuk pengikis cat, soda kaustik, racun rumpai, peluntur dan sebarang asid atau alkali yang kuat.
Luka kebakaran boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:
* Darjah pertama - Kulit menjadi merah, berasa sakit dan kesannya hilang dalam masa seminggu.
* Darjah kedua - Jenis luka yang paling sakit, menyebabkan kulit melepuh dan berair. Jangan cucuk gelembung berair ini kerana ia memberi laluan kepada jangkitan bakteria atau virus. Gelembung berair ini adalah tindakan semula jadi kulit terhadap kebakaran untuk melindungi sel lain.
* Darjah ketiga - Jenis luka kebakaran paling teruk tetapi kurang sakit berbanding jenis kedua kerana semua saraf pada bahagian yang luka termusnah dan mangsa tidak lagi berasa sakit. Kesakitan hanya dirasakan pada keliling bahagian yang terbakar.
Rawatan untuk luka jenis kedua dan ketiga tidak boleh dibuat di rumah, sebaliknya mangsa perlu segera dibawa ke hospital. Mangsa akan diberi rawatan sesuai bagi menyembuhkan luka dan mengelak jangkitan. Untuk luka kebakaran jenis ketiga, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan penggantian kulit.
Ibu bapa perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan di rumah dan beritahu anak mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dan terangkan mengapa ia berbahaya.
Selain itu, sentiasa peka terhadap peralatan di rumah dan dapatkan khidmat orang berpengetahuan jika berlaku masalah membabitkan pendawaian mahupun peralatan elektrik. Tidak mengapa berbelanja sedikit, asalkan kita sekeluarga selamat.
- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com
No comments:
Post a Comment