Friday, February 1, 2013

Gangguan kesihatan ketika dalam penerbangan


SEMASA kapal terbang berada di atas paras air laut, tekanan udara dan paras oksigen di dalamnya adalah lebih rendah daripada semasa di paras air laut. Udara dalam kabin adalah lebih kering daripada biasa kerana ia mempunyai pembekalan udara yang terhad. Ruang juga adalah terhad dalam kapal terbang.

Penumpang terpaksa duduk di tempat duduk yang sempit dengan laluan yang kecil. Selain itu, penumpang juga akan berada di tempat yang zon masanya berbeza dengan tempat asalnya. Semua faktor ini akan menjejaskan kesihatan dan emosi penumpang terutamanya dalam penerbangan yang panjang.

Tekanan udara

Semakin tinggi kapal terbang itu terbang, maka semakin rendah tekanan udara dan paras oksigen di dalamnya. Perubahan dalam tekanan udara mempunyai tiga implikasi yang utama.

Kadar oksigen

Kapal terbang komersil menyediakan oksigen yang secukupnya untuk orang yang sihat. Tetapi bagi pesakit yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru yang tenat perlulah berhati-hati. Jika anda berasa tidak sesak nafas selepas menjalankan aktiviti biasa seperti naik tangga, anda sepatutnya tidak mempunyai sebarang masalah menaiki kapal terbang.

Jika anda tidak pasti keadaan kesihatan anda, sila semak dengan doktor sebelum membeli tiket. Doktor mungkin akan menasihati anda untuk menjalankan ujian untuk memeriksa kadar kepekatan oksigen dalam darah (SaO2). Kadar SaO2 yang di atas 92% ialah dianggap selamat untuk penerbangan yang normal, tetapi untuk orang yang mempunyai kadar kepekatan oksigen yang rendah dalam darah perlu menyediakan oksigen sampingan untuk mereka.

Sinus dan telinga

Telinga tengah dan sinus anda dipenuhi dengan udara ketika dalam penerbangan. Sepatutnya tekanan udara di dalam kapal terbang adalah sama dengan tekanan udara luar.

Dalam penerbangan, tekanan luar berubah dengan lebih ketara berbanding dengan tekanan dalam. Ini disebabkan udara perlu menembusi salur yang sempit dalam hidung dan kerongkong untuk sampai ke sinus dan telinga. Jika salur itu dikecilkan lagi oleh alergi atau jangkitan respirasi, perbezaan tekanan akan berterusan dan menyebabkan kesakitan, kepeningan, kabur pendengaran, atau jangkitan kuman di sinus dan telinga.

Keadaan ini dapat dicegah dengan mengunyah gula-gula getah dan sering menelan air liur. Satu lagi cara yang mudah ialah menutup lubang hidung dan bernafas dengan perlahan-lahan dengan mulut separa tutup.

Selain itu, anda juga boleh mengambil satu pil dekongestan 30 minit sebelum anda menaiki kapal terbang, dan gunakan penyembur hidung dekongestan seperti oxymetazoline semasa kapal terbang berlepas. Untuk penerbangan melebihi 3 atau 4 jam, ulangi penggunaan kedua-dua ubat tersebut semasa kapal terbang mendarat.

Gas dalam usus

Usus anda juga mengandungi gas yang akan mengembang sebanyak 20-30% semasa tekanan dalam kabin menurun. Biasanya anda hanya akan berasa bahawa perut anda kembung sedikit. Tetapi gas akan menjadi satu masalah jika anda baru menjalani pembedahan di bahagian abdomen dalam masa seminggu atau dua minggu. Dapatkan nasihat doctor sebelum terbang.

Pembekuan darah

Ini juga merupakan sindrom penerbangan kelas ekonomi. Duduk yang agak lama, ditambah dengan ruangan yang sempit serta udara yang kering dalam kapal terbang akan menyebabkan darah menjadi lebih `pekat' dan `melekit'.

Darah tidak dapat beredar tanpa pengerakan dan duduk dalam masa yang panjang akan menjadikan keadaan itu lebih serius lagi. Pembekuan darah di kaki (deep venous thromboses (DVTs)) akan menyebabkan kaki bengkak dan kesakitan. Darah yang terbeku itu akan berpecah dan bergerak ke paru-paru (pulmonary embolism (PE)), dan ini mungkin akan mengancam kesihatan.

Pergerakan merupakan penyelesaian bagi masalah ini. Jika boleh, dapatkan tempat duduk yang berdekatan dengan pintu keluar atau di tepi laluan yang memberikan ruang yang lebih besar untuk melegakan kaki. Jangan membengkokkan kaki anda. Sentiasa regang dan urutkan kaki.

Cuba berjalan-jalan dalam kapal terbang setiap jam. Minum cecair dengan banyak; air dengan jus adalah lebih baik daripada minuman beralkohol atau yang mengandungi kafeina. Risiko pembekuan darah adalah lebih tinggi bagi mereka yang baru menjalani pembedahan, terutamanya pembedahan pada kaki dan pinggul, serta orang yang mempunyai kanser, kaki bengkak yang kronik, atau sakit jantung.  Faktor risiko yang lain termasuk obesiti dan merokok.

Orang yang mempunyai sistem pembekuan darah yang terlalu aktif dan orang yang pernah mengalami DVT menghadapi risiko yang lebih tinggi. Risiko itu berterusan walaupun selepas anda mendarat.

Sarung kaki tekanan dapat membantu dengan menekan urat kaki secara perlahanlahan. Ini dapat membantu darah beredar ke jantung, dan sarung kaki ini boleh didapati di mana-mana kedai farmasi.

Dehidrasi

Udara dalam kabin adalah ditapis dan diselaraskan tekanannya. Oleh kerana kelembapannya hanya 5% hingga 10%, anda akan kehilangan air setiap kali anda menghembus nafas. Untuk menggelakkan dehidrasi, minum dengan banyak. Jangan minum minuman yang berkafein dan beralkohol kerana ia akan meningkatkan pengaliran air kencing. Dalam penerbangan yang panjang, pelembap badan dan bibir dapat membantu kulit anda selesa.

Gangguan ritma harian

Ini akan menjadi masalah jika tempat destinasi anda mempunyai zon masa yang berbeza sebanyak tiga atau lebih daripada tempat asal anda. Tanda-tanda termasuk keletihan, mengantuk pada waktu siang, tidur yang tidak nyenyak, cepat marah, kemurungan, kehilangan tumpuan, sakit kepala, hilang selera makan dan fungsi abnormal usus. Ia adalah lebih ketara pada orang yang berusia dan orang yang melalui perbezaan zon masa yang banyak. Bagi sesetengah orang, anjakan masa tidur atau pendedahan kepada cahaya yang terang secara beransur-ansur adalah berkesan untuk mereka. Selain itu, ada juga sesetengah orang yang mendapati menggunakan pil tidur adalah lebih berkesan. Dapatkan tempoh berehat dengan secukupnya sebelum penerbangan.

Masalah kesihatan

Pesakit yang mempunyai masalah kesihatan yang serius perlu mendapat nasihat daripada doktor masing-masing sebelum terbang. Kebanyakan doktor akan menasihati pesakit yang didapati menghidapi penyakit sakit jantung, strok, pembedahan besar atau masalah kardiovaskular yang tidak stabil.

Jika anda bergantung kepada ubat, bawa dalam jumlah yang lebih dalam beg yang dibawa sendiri sebagai langkah keselamatan sekiranya kehilangan beg kiriman atau penerbangan tertangguh. Pesakit jantung dan pesakit asma patut menyimpan ubat mereka di tempat yang senang dicapai. Jika anda mempunyai masalah kesihatan yang kompleks, bawa sebarang informasi yang berkaitan dengan penyakit anda dan kaedah mengubatnya.

Jika anda berasa badan kurang sihat, dapatkan pertolongan. Kapal terbang mempunyai kotak perubatan kecemasan. Petugas kapal terbang biasanya telah diberikan pengetahuan perubatan yang minimum. Jika berlaku kes kecemasan, petugas akan meminta pertolongan daripada penumpang yang menjadi doctor atau jururawat. - Buletin Pengguna, Julai 2008

No comments: