SERING terjadi senario ketika di pusat beli-belah, seorang ibu terpaksa membawa anaknya keluar dari kedai permainan semata-mata tidak mahu membelikan kereta kawalan jauh berharga RM300.
Mungkin bagi si ibu, daripada dia membelikan permainan mahal, lebih baik wang itu digunakan untuk keperluan anak seperti susu, pakaian serta perubatannya. Namun adakah si kecil yang baru mencecah usia empat tahun itu memahaminya?
Ramai pakar psikologi berpendapat, kanak-kanak akan melalui satu peringkat yang menyebabkan mereka ingin memiliki pelbagai jenis benda terutama permainan yang sering dilihat di kaca televisyen atau di rumah rakan. Mereka mahukan pelbagai perkara yang dilihat dan berada di sekeliling mereka namun langsung tidak tahu untuk memiliki sesuatu barang itu, ibu bapa perlu bekerja keras mendapatkannya. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat ini, tiba masanya ibu bapa mendedahkan mereka mengenai nilai wang dan tidak semua yang dihajati akan menjadi milik mereka.
Menurut jutawan Internet dan perunding kewangan, Irfan Khairi, mendidik anak-anak mengenai wang sama pentingnya mengajar mereka mengenai perkara asas seperti memberus gigi, menghormati orang tua dan mencuci tangan sebelum makan.
Ini kerana, sangat penting ibu bapa mendidik anak menilai wang ketika mereka masih kecil, seawal mereka tahu mengira dan menggunakan wang sesuai dengan pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan ibu bapa bagi memastikan anak- anak tahu menghargai wang. Antaranya:
1. Ajar nilai harga barang
Pada usia tiga hingga lima tahun, anakanak biasanya mengetahui mengenai wang menerusi pemerhatian dan perlakuan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak bersama-sama ketika membeli-belah dan menerangkan mengenai wang dengan menunjukkan harga barang.
Katakan pada anak, beza barang untuk RM50 dengan RM10 dan sebab ibu bapa tidak boleh membelikan barang yang berharga melebihi RM50 kerana nilainya sangat banyak. Mungkin pada mulanya mereka kurang faham namun lama- kelamaan apabila terbiasa mereka akan memahami mengenai nilai duit dan akan mencari barang yang nilainya mengikut kemampuan ibu bapa.
2. Latih anak membayar makanan atau ketika di pusat beli-belah
Selepas makan atau membeli barang, berikan wang kepada anak dan minta dia membayar di kaunter dengan ditemani ibu bapa. Dengan cara ini, anak akan tahu untuk mendapatkan barangan harus menggunakan wang.
Cara ini juga membolehkan mereka terus menghargai duit dan menilai proses pertukaran wang menerusi pemberian baki yang diberikan ke tangan mereka sendiri. Selepas itu terangkan kepada anak situasi yang berlaku - tempat makan dan jenis makanan menentukan jumlah perbelanjaan yang akan dikeluarkan. Perkara ini mungkin akan nampak seperti berilmiah, namun gunakan gaya bahasa mudah supaya si kecil yang belum bersekolah akan lebih memahami.
3. Perkenalkan sistem elaun
Bagi anak yang akan memasuki sekolah rendah, berikan elaun setiap hari atau secara mingguan supaya mereka berpeluang menggunakan wang dengan bijak dan menyimpan baki yang ada di tangan mereka.
Selain itu, perjelaskan juga perbezaan elaun yang diberikan kepada mereka berdasarkan usia dan keperluan perbelanjaan. Biarpun elaun tidak sama mengikut kemampuan ibu bapa namun apa yang penting, pemberian elaun itu boleh mendidik mereka menggunakan sumber kewangan secara bijak serta berwaspada ketika membeli supaya dapat berjimat cermat.
4. Babitkan anak dalam merancang percutian
Sebelum memilih destinasi pelancongan, pastikan anak-anak turut terbabit dalam pemilihan lokasi serta aktiviti yang akan diadakan. Katakan kepada mereka sekiranya tempat itu jauh bermakna perbelanjaan untuk bahagian lain akan berkurang.
Begitu juga sekiranya destinasi memerlukan anda dan keluarga bermalam, sudah tentu ia memerlukan belanja yang banyak untuk penginapan dan makanan. Berbeza dengan pilihan misalnya ke pusat belibelah atau ke taman permainan yang tidak memerlukan perbelanjaan banyak dan boleh digunakan untuk makan di restoran atau membeli barangan kesukaan mereka.
Beri peluang mereka membuat keputusan kerana daripada situ, mereka akan belajar mengenai perbelanjaan yang akan ditanggung ibu bapa serta jumlah duit yang akan dikeluarkan. Katakan juga kepada anak setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya.
5. Pastikan anak terbabit ketika membuat bajet keluarga
Pembabitan ahli keluarga adalah sangat penting ketika membuat bajet keluarga. Misalnya sekiranya ingin ke pusat beli-belah ibu bapa akan membuat senarai barang yang akan dibeli dan pada masa sama katakan kepada anak yang mereka hanya boleh membeli barangan bernilai RM50. Tidak lebih daripada itu.
Ini bagi memastikan anak lebih tahu mengenai nilai wang dan bertanya harga sesuatu barang. Mereka juga tidak akan meminta dibelikan barangan di luar kemampuan ibu bapa kerana sejak awal penjaga sudah menetapkan bajet yang harus diikuti.
Katakan juga ibu bapa sendiri mengikut bajet yang sudah ditulis dan hanya membeli barang mengikut nilai ditetapkan.
6. Elak mengajar anak mengenai barangan berjenama
Ada sesetengah ibu bapa kasihan dengan anak dan berupaya memenuhi permintaan mereka dengan membelikan barangan mahal atau berjenama. Sebenarnya sejak kecil anak langsung tidak tahu apa itu jenama dan harga barang sekiranya ibu bapa tidak mengajarnya.
Jadi sekiranya tidak mahu anak membesar menjadi remaja yang meminta- minta dibelikan barangan mahal dan mewah, sebaiknya sejak kecil latih untuk menghargai wang dan betapa susah untuk mendapatkannya.
7. Galakkan menabung
Mengajar anak menabung untuk mendapatkan sesuatu barang adalah cara terbaik mendidik mereka menghargai wang. Misalnya, untuk mendapatkan hadiah hari jadi bernilai RM50 atau RM100, ibu bapa boleh menetapkan tabungan setiap hari kemudian apabila sudah cukup nilai, wang itu digunakan untuk membeli hadiah diinginkan. Cara ini membantu mereka untuk lebih memahami kaedah mendapatkan sesuatu barang dengan berusaha dan bukan meminta daripada ibu bapa sematamata.
8. Bekerja sendiri
Bagi anak yang sudah bersekolah dan menunggu keputusan peperiksaan, bantu anak menjadi lebih berdikari dengan menggalakkan mereka menambahkan simpanan dengan bekerja sambilan terutama pada cuti persekolahan. Ajar mereka cara mengendalikan rekod kewangan yang boleh memantau pendapatan dan perbelanjaan.
9. Ibu bapa contoh terbaik
Ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Misalnya sebelum keluar membeli-belah, penting menyenaraikan barangan yang ingin dibeli. Ini menjadikan anak tahu adanya had dalam perbelanjaan. Tonjolkan teladan yang baik seperti tunduk untuk mengutip wang yang jatuh atau mengira balik wang baki yang diterima selepas membayar dan tidak terus memasukkan ke dalam dompet. Biarpun tindakan sebegini agak kecil, ia memberi impak yang besar kepada anak untuk menilai harga wang.
Ibu bapa juga boleh meluangkan masa lapang secara berkualiti dengan bermain permainan seperti Saidina atau Monopoly kerana permainan ini boleh melatih anak memahami konsep melabur.
Akhir sekali sentiasa berbincang dengan anak mengenai aspek praktikal pengurusan kewangan seperti menabung dan membuat pembelian bijak. Ini kerana pengurusan wang yang bermanfaat boleh membantu anak menetapkan matlamat dalam hidup mereka.
Sumber: Metro Ahad - Majalah Metro - Oleh Siti Zarinah Sahib
No comments:
Post a Comment