Amalkan bajet bulanan
SABAN bulan Hafiz pasti pening kepala memikirkan perbelanjaan hariannya. Masuk pertengahan bulan tetapi duit di kocek sudah tinggal separuh.
Bagaimana mahu diagihkan untuk makan dan minum, belanja dapur serta keperluan kedua-dua anak yang masih kecil? Tambah pula pada hujung bulan dia perlu pulang ke kampung menghadiri perkahwinan sepupunya. Itu juga memerlukan kos yang banyak termasuk membelikan hadiah perkahwinan mereka.
Walaupun isteri Hafiz bekerja namun dia tidak tahu bagaimana boleh kehabisan wang sebelum tiba waktunya.
Bajet yang tidak mencukupi pada pertengahan atau akhir bulan menjadi lumrah bagi kebanyakan pasangan yang sudah berkahwin mahupun bujang. Ini berlaku kerana mereka tidak membuat bajet bulanan yang akan menentukan belanjawan pada setiap bulan.
Membuat bajet juga bermakna individu hanya membeli barang keperluan dan membayar apa yang sudah disenaraikan saja.
Paling penting sebelum membuat pembayaran atau pembelian, simpanan harus didahulukan bagi memastikan tabungan anda mencukupi apabila tiba waktu kecemasan. Terdapat pelbagai panduan dalam membuat bajet bulanan antaranya:
* Sediakan bajet kewangan keluarga
Dengan cara ini anda tahu bagaimana corak perbelanjaan anda. Wujudkan satu kalendar aliran tunai untuk perbelanjaan bulanan. Sewa rumah, kereta dan barang-barang keperluan boleh dibuat jangkaan kerana bersifat statik.
Ukurlah baju di badan sendiri. Elakkan berbelanja di luar kemampuan. Melalui bajet, perbelanjaan dapat dikawal. Utamakan keperluan keluarga seperti:
- Perbelanjaan dapur termasuk makan dan minum keluarga.
- Belanja persekolahan anak-anak termasuk yuran kelas tambahan, buku latihan, bayaran kenderaan ke sekolah dan wang saku.
- Pakaian termasuk pakaian sekolah, pakaian seragam dan persatuan, pakaian harian dan musim perayaan.
- Rawatan perubatan.
- Susu formula dan lampin sekiranya anak masih kecil.
- Bayaran bulanan untuk pembantu rumah, taska dan pengasuh.
* Buat simpanan tetap
Sediakan payung sebelum hujan. Wujudkan simpanan tetap atau tabungan untuk masa depan atau kecemasan. Boleh juga membuat simpanan dalam skim insurans yang memberikan manfaat perlindungan yang tidak boleh didapati dalam simpanan biasa.
Bagi mereka yang berminat dengan amanah saham, pilihlah yang terbaik untuk membuat pelaburan.
* Masak sendiri
Sediakan bajet makanan pada setiap bulan. Makan di luar akan menyebabkan perbelanjaan meningkat terutama bagi keluarga yang ramai. Selain menjimatkan, memasak sendiri akan mengikat kasih sayang keluarga serta lebih terjamin kebersihannya. Secara tidak langsung keluarga yang sihat akan mengurangkan kos perubatan yang tidak kurang mahalnya.
* Bawa bekal ke pejabat atau sekolah
Jangan malu untuk membawa bekal ke pejabat malah anak-anak juga perlu diajar membawa bekal ke sekolah. Dengan cara ini ibu bapa dapat berjimat dan duit itu dapat dijadikan simpanan untuk masa hadapan dan kecemasan.
* Berkongsi kenderaan
Memandu kenderaan sendiri turut meningkatkan perbelanjaan harian. Ini kerana kos minyak, tol dan pakir turut menyumbang kepada pertambahan kewangan setiap bulan. Sekiranya pekerjaan anda memerlukan anda berada di pejabat sepanjang masa, anda boleh memulakannya dengan berkongsi kenderaan atau menggunakan hanya satu kenderaan bersama suami atau isteri.
Anda juga boleh mencuba menaiki kenderaan awam seperti bas, komuter atau sistem transit aliran ringan (LRT) sebagai alternatif.
* Jimatkan penggunaan air, elektrik dan gas
Keluarga perlu dididik supaya menghargai alam sekitar dan mengelak daripada pembaziran. Kurangkan penggunaan penyaman udara dan gunakan kipas, kumpulkan pakaian kotor dan basuh serentak serta matikan suis terutama televisyen, radio dan komputer sekiranya tidak digunakan.
* Elakkan membawa anak-anak ketika membeli-belah
Ini satu langkah yang baik kerana kehadiran anak-anak biasanya mendorong kita membeli barang-barang yang tidak sepatutnya dibeli. Ini kerana anak- anak mempunyai pelbagai kerenah dan kemahuan mereka biasanya perlu dituruti ibu bapa.
Meninggalkan anak-anak bukan bermakna anda langsung tidak membeli barang keperluan mereka. Tanya anak-anak apa yang mereka inginkan dan berbincang sama ada ia penting atau tidak. Seelok-eloknya senaraikan barang-barang yang ingin dibeli sebelum keluar membeli-belah. Cara ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan tabiat boros berbelanja.
* Membabitkan anak dalam pengurusan kewangan keluarga
Kadangkala ibu bapa menghadapi kesukaran melarang anak mereka membeli sesuatu barang. Jadi anda hendaklah menerangkan kepada mereka kedudukan kewangan keluarga dengan memberitahu pendapatan isi rumah dan perbelanjaan bulanan.
Dengan cara ini mereka dapat memahami situasi kewangan dan tidak membazirkan duit sesuka hati. Babitkan mereka dalam membuat keputusan membeli sesuatu barangan seperti televisyen bagi memastikan mereka berasa sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab menjaga kewangan keluarga.
* Beli secara pukal
Ini jauh lebih murah berbanding sekiranya dibeli secara sedikit demi sedikit. Begitu juga dengan saiznya. Beli barang-barang sama ada untuk kegunaan seminggu atau sebulan. Ini akan menjimatkan wang dan masa.
* Lakukan perbandingan harga
Amalan ini amat penting kerana kadangkala terdapat perbezaan harga antara kedai dan pasar raya walaupun barang-barang yang dijual sama daripada segi jenis dan kualitinya. Amalan ini membantu untuk berjimat cermat.
* Kurangkan pembelian barangan berjenama
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ini kita tidak perlu terlalu berkira mengenai jenama barangan yang ingin dibeli. Jika barangan itu mempunyai kualiti yang baik setanding dengan barangan berjenama, sebagai pengguna kita harus bijak memilihnya.
* Kurangkan penggunaan kad kredit
Ramai tidak tahu kad kredit adalah penyebab utama masalah kewangan sekiranya tidak bijak menggunakannya. Ini berlaku bagi penggunaan kad kredit yang tidak menentu dan digunakan untuk membeli barang yang tidak diperlukan. Sebaiknya, pantau kegunaan kad kredit anda dan elak menggunakan ketika membeli-belah.
* Berhabis duit ke salun dan spa
Bagi wanita, ada yang menetapkan perbelanjaan bulanan ke salun dan spa. Tidak salah menjaga kecantikan tetapi anda perlu bijak memilih salun atau spa yang menawarkan tawaran harga murah dengan perkhidmatan berkualiti.
Kadang-kadang salun dan spa murah juga berkualiti cuma anda harus tahu potongan rambut sesuai serta rawatan diinginkan. Bagi mengelak pembaziran, anda boleh melakukan rawatan wajah sendiri di rumah menggunakan bahan semula jadi seperti telur, betik, tomato dan pisang yang tidak kurang khasiatnya. Tanya dulu harga rawatan sebelum melakukannya.
Sumber: Metro Ahad - Majalah Metro - Oleh Siti Zarinah Sahib
1 comment:
Memang pening dok fikir hal duit !
Post a Comment