KEPUTUSAN berkahwin bukan boleh dibuat dalam masa yang singkat tetapi ia perlu difikirkan secara mendalam terutama membabitkan latar belakang pasangan supaya kehidupan di kemudian hari tidak merana.
Perkahwinan perlu dibina atas dasar keikhlasan dan kejujuran bagi memastikan rumah tangga yang didirikan sentiasa aman, harmoni dan penuh kebahagiaan sehingga ke akhir hayat.
Golongan wanita tidak seharusnya mengambil mudah perkara itu atau menyerah kepada nasib apabila hendak berkahwin dengan mengatakan ia adalah takdir atau sudah ada jodoh.
Sebaliknya latar belakang pasangan perlu diketahui dan dikaji supaya mereka tidak tertipu dan akhirnya merana sepanjang hidup. Apalagi pada zaman ini, pelbagai laporan berita yang mendedahkan sikap sesetengah lelaki yang pandai berlakon atau bersikap `alim-alim kucing' kerana ingin memikat hati wanita.
Antara panduan yang boleh digunakan wanita bagi mengenali pasangan lebih mendalam supaya mereka mendapat pasangan yang terbaik, adalah seperti berikut:
1. Ambil masa untuk mengenali pasangan dan jangan terburu-buru membuat keputusan berkahwin hanya kerana cinta atau mahu bergelar suami-isteri. Gunakan akal apabila mengkaji pasangan, bukan perasaan semata-mata. Tanamkan dalam hati bahawa hidup berumahtangga memberi pelbagai cabaran dan anda hanya mahukan lelaki yang terbaik.
2. Sayangi diri sendiri dan berikan terbaik pada diri. Jangan terlalu mudah termakan pujuk rayu atau menerima pasangan kerana perasan kasihan atau `terpaksa' menerimanya kerana memikirkan dia adalah jodoh yang sudah ditentukan.
3. Tanya orang sekeliling terutama mereka yang rapat dengan pasangan, seperti kawan sekerja, rakan baik atau keluarga mengenai sifat baik buruk pasangan supaya anda boleh mempertimbangkan karakter sebenar lelaki berkenaan.
4. Sekiranya ada yang mengatakan perkara negatif mengenai bakal suami, kaji sendiri dengan mendalam dan cari sehingga ke punca sama ada perkara berkenaan benar. Sekiranya benar tetapi anda masih memerlukan penjelasan, bertanya sendiri kepada pasangan mengenainya.
5. Sekiranya timbul perasaan ragu-ragu, senaraikan kebaikan dan keburukan diri pasangan yang diketahui dan bandingkannya. Jika anda tetap mahu mengambil risiko, tiada siapa yang dapat menghalangnya tetapi perlu ditanam dalam pemikiran, kesusahan yang akan datang hanya akan ditanggung diri sendiri.
6. Bertemu dan berkenalan dengan keluarga pasangan termasuk ibu bapa dan adikberadiknya untuk mendapat gambaran sebenar hubungan kekeluargaan pasangan. Selalunya lelaki yang bertanggungjawab mempunyai hubungan yang baik dengan keluarganya.
7. Bawa pasangan bertemu keluarga anda untuk berkenal-kenalan dan dapatkan pandangan ibu bapa dan adik-beradik. Jangan menolak pandangan orang lain mengenai insan yang dicintai kerana kadangkala perkara negatif hanya boleh dilihat oleh orang luar tetapi bukan anda yang dilamun cinta.
8. Tidak menilai pasangan berdasarkan harta, rupa atau pangkat tetapi menilainya dari segi agama dan sikap pada orang sekeliling. Hubungan yang baik dengan orang sekeliling menunjukkan lelaki berkenaan seorang yang baik serta disenangi ramai.
9. Apabila timbul keraguan yang mendalam, lebih baik batalkan saja niat berkahwin daripada menanggung kesengsaraan bertahun-tahun. Ingatlah, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Jika tersilap memilih pasangan, cinta yang dipupuk boleh terbang melayang.
Sumber: Metro Ahad - Majalah Metro - Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
No comments:
Post a Comment