MENDIRIKAN rumah tangga bukanlah semudah seperti membina istana pasir di pantai. Sekali ombak datang menghempas istana pasir musnah berderai. Namun begitu bagi yang sudah membuat persediaan membina mahligai bahagia tidaklah sesukar seperti digambarkan.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran namun dengan kekuatan mental, fizikal, emosi, sosial dan ekonomi pasti semua halangan ini dapat diatasi. Apa yang penting adalah persefahaman di antara suami isteri bagi menjadikan rumah tangga dalam keadaan aman dan bahagia.
Selain itu kekuatan mental persediaan daripada segi rohani amatlah diperlukan. Di antara panduan yang boleh diikuti ialah:
1. Kekuatan emosi dan minda
Pasangan yang ingin berkahwin perlu memperkuatkan emosi supaya cekal memikul tanggungjawab suami isteri. Setiap pasangan perlu bersikap matang serta mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan menyediakan keperluan suami. Ilmu agama sangat penting dalam menempuh kehidupan harian. Begitu juga kemahiran berkomunikasi, menguruskan kewangan, tenaga, masa dan kemahiran mengatasi tekanan.
2. Persediaan fizikal
Bakal pengantin perlu menjaga diri dan sebolehbolehnya bebas daripada sebarang penyakit berjangkit. Kesihatan yang baik membolehkan pasangan hidup bahagia dan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Kematangan fizikal pula penting terutama bakal isteri yang inginkan zuriat yang baik.
Bagi wanita, mengandung pada usia kurang daripada 18 tahun adalah tidak digalakkan kerana pada umur ini, tubuh wanita belum bersedia mengalami perubahan fizikal dan fisiologi semasa mengandung. Bahkan mengandung pada usia yang sangat muda boleh mengundang pelbagai risiko. Umur yang sesuai bagi wanita bergelar ibu adalah di antara 20 hingga 35 tahun.
3. Persediaan ekonomi
Tugas dan tanggungjawab utama suami ialah memberi nafkah kepada isteri mengikut kadar kemampuannya. Sebarang sumbangan isteri berhubung dengan perbelanjaan rumah tangga adalah sedekah daripada isteri. Namun dalam rumah tangga perlu ada persefahaman dan tolak ansur supaya tidak wujud salah faham atau perasaan yang isteri terpaksa mengeluarkan belanja lebih dalam rumah tangga.
Persediaan ekonomi juga amat penting dalam merancang saiz keluarga iaitu jumlah anak dan jarak umur anak-anak, supaya tiada yang terabai khususnya dalam aspek pendidikan dan kesihatan.
4. Persediaan sosial
Perkahwinan membawa kepada perubahan peranan bagi kedua-dua belah pihak. Contohnya mereka yang berumahtangga mempunyai jaringan hubungan sosial dengan mentua dan saudara-mara pasangan masing-masing. Ada isteri tidak dapat menerima apabila suami melebihkan ibu bapa atau saudara-mara terutama dalam memberikan belanja. Selain itu suami isteri perlu memastikan mereka bersedia menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada keluarga masing-masing bagi mengelak bermasam muka.
5. Terima pasangan seadanya
Perkahwinan adalah masa sesuai mengenali pasangan dengan lebih dekat. Ada sesetengah pasangan berasa terkejut apabila mengetahui perangai sebenar kekasih hati mereka selepas berkahwin walaupun sudah berkawan hampir 10 tahun. Justeru bagi mengelak salah faham atau pertengkaran terima pasangan seadanya dan tidak membandingkan ketika berkawan dan selepas berkahwin. Ini kerana apa yang ditunjukkan ketika berkawan hanya 10 peratus saja dan selebihnya akan terserlah selepas berkahwin.
6. Tingkatkan komunikasi
Masalah rumah tangga biasanya bermula daripada kelemahan komunikasi. Ini berlaku disebabkan kurangnya masa berbual akibat kesibukan bekerja. Walau sesibuk mana sekalipun suami isteri harus meluangkan masa untuk lebih mengenali pasangan. Jadikan masa yang singkat ketika makan, menonton televisyen atau keluar bersiar-siar sebagai waktu paling bermakna terutama bagi mereka yang baru melangsungkan perkahwinan.
Pun begitu, aktiviti ini perlu diteruskan sepanjang perkahwinan bagi menyemarakkan rasa cinta dan menambah kefahaman anda terhadap perasaan dan keperluan pasangan.
Sumber: Metro Ahad - Majalah Metro - Oleh Siti Zarinah Sahib
No comments:
Post a Comment