Wednesday, December 26, 2012

Duit pencen


KITA sering menyimpan duit untuk membeli kereta, membeli rumah, bercuti, pendidikan anak-anak dan pelbagai tujuan lain. Namun kita sering lupa menyimpan duit untuk diri sendiri apabila pencen kelak.

Pasti ada yang terbaca kenyataan ini akan mengatakan, wang pencen sememangnya disimpan melalui potongan gaji Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tetapi hakikatnya, dengan hanya bergantung kepada simpanan KWSP, ia tidak mencukupi.

Kebanyakan kita bergantung kepada KWSP akan mendapat kurang daripada RM300 sebulan sekiranya dikira jangka hayat yang meningkat kepada 75 tahun. Adakah RM300 mencukupi untuk tanggungan sebulan? Kali terakhir saya ke pasar raya pun jumlah belian melebihi RM300. Itu juga tidak kira bayaran untuk perkara kecemasan, perubatan dan perbelanjaan lain apabila tua kelak.

Bersedia untuk pencen amat penting kerana untuk membeli kereta, rumah atau pendidikan anak-anak, sememangnya terdapat kemudahan pinjaman untuk tujuan ini. Namun, tiada pinjaman untuk membiayai hari tua anda. Oleh itu, wang pencen menjadi tanggungjawab kita sendiri.

Jadi, apakah nombor ajaib disimpan untuk simpanan hari tua? Jawapannya ialah 15 peratus daripada pendapatan bulanan. Ini juga bergantung kepada waktu anda mula menyimpan. Sekiranya anda mula menyimpan pada usia muda dalam lingkungan 30 tahun, 15 peratus setiap bulan ialah sasaran yang baik.

Namun sekiranya simpanan anda bermula lebih awal misalnya ketika berumur 20 hingga 25 tahun, 10 peratus simpanan daripada pendapatan bulanan memang baik. Tetapi harus ingat, lebih lewat anda menyedari kepentingan menyimpan untuk hari tua, maka lebih tinggi simpanan bulanan perlu dilakukan. Kemungkinan, ia lebih sukar dengan pelbagai tanggungan yang perlu dibuat hari ini.

Bagaimana pula sekiranya pendapatan sekarang cukup-cukup makan dan tiada ruang menyimpan untuk hari tua?

Periksa semula kedudukan kewangan anda. Adakah anda meletakkan keutamaan kewangan di tempat yang betul? Adakah tanggungan besar iaitu kereta dan rumah seperti dibincangkan dalam ruangan Wang Anda sebelum ini mengikuti saranan 50 peratus pendapatan? Adakah kita mengelakkan pembaziran dan meletakkan bajet perbelanjaan bulanan yang terbaik?

Sekiranya semua sudah dilakukan dengan betul tetapi masih tiada ruang untuk menyimpan, mungkin masanya untuk memikirkan cara menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan. Tidak semestinya hendak menjadi jutawan atau pendapatan berpuluh ribu ringgit bila berniaga tetapi pendapatan tambahan beratus atau seribu dua sebulan untuk simpanan hari tua boleh dijadikan langkah pertama bukan?

Soalan pembaca: Berinteraksi mengenai kewangan, perniagaan dan motivasi di Facebook Irfan Khairi di www.facebook.com/irfankhairi.fb. Tanyakan soalan anda di sana! Saya dan isteri berbincang untuk simpanan pendidikan anak-anak tetapi masalahnya, perbelanjaan bulanan pula cukup-cukup setiap bulan dan tiada ruang. Apakah nasihat saudara Irfan?

Abdul Munif, Kajang, Selangor.

Lumrahnya pasangan suami isteri akan mementingkan perihal anak-anak melebihi kepentingan mereka terutama hal kesejahteraan, kesihatan dan kewangan. Namun adakalanya perlu sedikit pengecualian terutama apabila tidak cukup wang untuk suami dan isteri sendiri di hari tua.

Perlu diingat terdapat pelbagai kemudahan pinjaman dan biasiswa untuk pembelajaran anak-anak. Tetapi tiada kemudahan pinjaman dan kurangnya kemudahan kewangan apabila pencen kelak.

Utamakan simpanan hari tua terlebih dulu kerana sekiranya tiada simpanan hari tua, bayangkan tekanan yang akan dialami oleh anak-anak sekiranya tidak mampu menanggung anda.

Pada masa sama, ini juga peluang untuk mendidik anak-anak mengenai pentingnya berjimat cermat di samping mendidik dan menjelaskan kepada mereka bahawa pendidikan amat penting. Lebih baik keputusan mereka di sekolah, lebih banyak peluang kemudahan kewangan dan biasiswa pendidikan diberikan.

Saya kini sudah pencen dan ingin memulakan perniagaan. Saya mempunyai wang pencen untuk dijadikan modal perniagaan. Di manakah harus saya bermula?

Mohd Helmi, Kuala Terengganu, Terengganu.

Pertama, jangan gunakan semua wang pencen untuk berniaga. Kebanyakan perniagaan gagal terutama bagi mereka yang belum berpengalaman memulakan perniagaan, lebih tinggi risiko kegagalan.

Terdapat pelbagai perniagaan yang boleh dilakukan. Nasihat saya untuk meminimumkan modal perniagaan anda dengan mendalami perniagaan Internet. Ramai yang pencen ingin meluangkan lebih banyak masa di rumah dan berehat justeru, perniagaan Internet satu pilihan yang agak baik.

Zaman ini, perniagaan boleh dilakukan dari rumah dengan hanya menggunakan Internet, namun seperti semua jenis perniagaan, ilmu amat penting. Anda harus terlebih dulu mendalami ilmu perniagaan yang anda ingin mulakan, ambil masa beberapa bulan untuk selidik dan fahami jenis perniagaan yang terbaik untuk anda lakukan sebelum melabur sebarang wang pencen anda sebagai modal.

Sumber: Metro Ahad - Majalah Metro - Oleh Irfan Khairi

No comments: