Wednesday, August 1, 2012

Hilang kuasa akibat sistem klac

SISTEM klac antara komponen penting pada kenderaan. Sesebuah kenderaan mungkin akan kehilangan kuasa akibat sistem klac yang gagal berfungsi dengan baik. Sebagai pemilik kenderaan, kita haruslah sekurang-kurangnya dapat mengenal pasti tanda-tanda kerosakan klac pada kenderaan bagi mengelakkan kenderaan hilang kuasa dan mengganggu kelancaran pemanduan.

Sistem klac berperanan memutuskan tenaga daripada enjin kepada gearbox iaitu dalam kebiasaannya berlaku setiap kali penukaran gear kenderaan.

Klac plate yang berputar bersamasama pressure plate dan flywheel akan terbebas dan memutuskan tenaga daripada enjin kepada gearbox semasa pressure plate ditekan.

Terdapat dua jenis sistem klac yang ada pada kenderaan iaitu jenis hidraulik dan mekanikal. Klac dengan sistem hidraulik menggunakan sistem tekanan hidraulik melalui cecair hidraulik sebagai perantara.

Manakala jenis mekanikal pula menggunakan dawai kabel sebagai pengantara bagi mewujudkan tekanan pada klac.

Antara kerosakan yang sering berlaku pada sistem klac ialah klac plate haus, spring pada klac plate cushion spring longgar, gigi pressure plate patah, release bearing rosak, kabel klac putus (klac jenis mekanikal) serta kebocoran pada paip hidraulik (klac jenis hidraulik).

Kerosakan-kerosakan pada sistem klac ini mempunyai kesan yang tinggi pada kenderaan. Sebelum ia semakin parah anda harus mengenal pasti sama ada kenderaan anda sedang atau bakal mengalami masalah pada sistem klac ini.

Tanda-tanda klac hampir habis ialah wujud ruang kosong yang banyak pada pedal klac semasa kita menekan pedal klac serta kenderaan mengalami kesukaran apabila setiap kali anda ingin menukar gear berikutnya.

Klac plate haus akan menyebabkan kurangnya kuasa pecutan pada kenderaan seperti kenderaan anda dinaiki ramai penumpang.

Keadaan RPM (revolution per minute) menjadi tinggi sehingga ke satu tahap kenderaan tidak mampu lagi untuk bergerak.

Sekiranya pemandu tidak tahu ada masalah klac, lama kelamaan ia akan memberi kesan seperti pelapik klac serta pressure plate terbakar dan bearing pecah sehingga boleh menyebabkan kenderaan gagal berfungsi.

Kenderaan yang mengalami masalah klac juga akan menyebabkan penggunaan petrol meningkat daripada penggunaan petrol pada kadar yang sebelumnya.

Sekiranya pemandu gemar meletakkan kaki pada pedal klac dengan rapat semasa memandu ia akan mempercepatkan lagi klac plate haus menyebabkan kemungkinan jangka hayat klac menjadi lebih pendek daripada kebiasaan dan perlu diselenggara.

Oleh itu periksalah kenderaan anda agar sistem klac berada dalam keadaan yang baik agar kenderaan dapat bergerak dalam keadaan yang sebenar. Bawalah kenderaan anda di pusat-pusat servis terdekat jika wujud tanda-tanda kerosakan klac seperti yang dinyatakan untuk mengelakkan kenderaan anda tersadai di jalan raya.

Sumber: Harian Metro - Wed, Aug 1, 2012 - 1Klassifieds 

No comments: