Friday, July 6, 2012

Masalah kelemumur


KELEMUMUR sebenarnya adalah masalah kulit kepala yang boleh dialami oleh sesiapa saja termasuk bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Kebanyakan kes kelemumur tidak memerlukan rawatan doktor, tetapi jika selepas beberapa minggu menggunakan syampu berubat, kelemumur tidak hilang atau kulit kepala menjadi merah dan bengkak, anda mungkin perlu berjumpa pakar kulit.

Ramai orang beranggapan bahawa kelemumur mempunyai kaitan dengan masalah kebersihan dan kekerapan anda membasuh rambut. Sebenarnya anggapan ini tidak benar. Kelemumur tetap akan berlaku walaupun anda bersyampu atau sebaliknya. Kelemumur sebenarnya sebahagian daripada proses normal pertumbuhan sel kulit kepala yang baru. Ia selalunya dikaitkan dengan proses sel kulit tumbuh dan mati lebih cepat berbanding masa yang sepatutnya.

Punca sebenar kelemumur terjadi tidak diketahui. Secara umumnya, ia dikaitkan dengan kewujudan kulat (fungus) dikenali sebagai `pityrosporum ovale'. Kulat itu menyebabkan seseorang mengalami kelemumur. Kulat ini tinggal pada kulit kepala. Bagi mereka yang sihat ia tidak akan menyebabkan sebarang masalah. Adakalanya apabila jumlahnya terlalu banyak ia menyebabkan kegatalan dan sel kulit gugur.

Golongan berisiko alami kelemumur

* Ia bermula pada peringkat usia dewasa dan berterusan sehingga pertengahan usia. Namun, ada juga mereka yang berhadapan dengan kelemumur sepanjang hayat.

* Lelaki lebih kerap berhadapan dengan kelemumur. Dipercayai hormon lelaki memainkan peranan utama dalam hal ini. Lelaki juga mempunyai kelenjar penghasilan minyak pada kulit kepala yang lebih besar berbanding wanita. Justeru, ia menyumbang kepada berlakunya masalah kelemumur.

* Rambut dan kulit kepala yang berminyak

* Diet pemakanan yang kurang zink, vitamin B dan sesetengah jenis lemak.

* Masalah penyakit berkaitan neurologi.

Punca

* Kulit kering - punca biasa yang menyebabkan kegatalan dan kulit berkeruping.

* Kulit gatal dan berminyak - menyebabkan kulit bertanda kemerahan dan berminyak.

* Kurang bersyampu

* Masalah kulit seperti psoriasis

* Ekzema pada kulit kepala

* Sensitif pada bahan kimia yang digunakan dalam syampu rambut

* Perubahan hormon

* Tekanan

* Masalah neurologi

Secara umumnya, kelemumur boleh ditangani dengan syampu berubat dan kekerapan bersyampu. Namun, jika syampu tidak banyak membantu, anda mungkin perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kulit. - Mayo Clinic

No comments: