Friday, June 22, 2012

Cara solat jamak, qasar

KETIKA bermusafir, Islam membenarkan umatnya menghimpun atau memendek sembahyang bagi memudahkan perjalanan yang dilakukan bagi tujuan kebaikan.

Islam mengharuskan qasar atau memendekkan sembahyang fardu empat rakaat menjadi dua rakaat dengan menjamak atau menghimpun dua waktu.

Sembahyang itu dilakukan pada satu waktu itu sama ada jamak takdim atau jamak takhir.

Sembahyang boleh diqasar ialah Zuhur, Asar dan Isyak sedangkan fardu Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasar, manakala sembahyang yang boleh dihimpun iaitu Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak.

Islam mengharuskan umatnya mengqasar sembahyang disebabkan:

* Musafir untuk tujuan kebaikan dan bukan kerana maksiat.

* Jarak perjalanan dua marhalah (perjalanan dua hari iaitu sekira 98 kilometer).

* Perjalanan tertentu arah tujuannya.

* Tidak berimam kepada orang yang tidak mengqasar.

* Meneruskan perjalanan apabila selesai sembahyangnya.

Berniat mengqasar seperti berikut: "Sahaja aku sembahyang fardu Zuhur dua rakat qasar kerana Allah Taala."

Jamak (Menghimpun) sembahyang itu ada dua cara iaitu:

1. Jamak takdim iaitu sembahyang Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur.

Manakala Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib.

Syarat jamak takdim ialah:

* Lima syarat sebagaimana yang ada pada syarat dibolehkan qasar.

* Dimulai dengan sembahyang yang terdahulu waktunya.

* Berturut-turut dilakukan antara kedua fardu itu.

* Berniat jamak atau menghimpun pada fardu yang pertama.

2. Jamak takhir iaitu menghimpunkan fardu Zuhur dengan Asar pada waktu Asar atau menghimpunkan sembahyang Maghrib pada waktu Isyak.

Semua syarat yang ada pada syarat Jamak takdim dengan tambahan berniat jamak takhir sebelum luput waktu yang pertama. Umpamanya, pada waktu Zuhur berniat pada waktu itu bahawa kita akan mengerjakan Zuhur pada waktu Asar.


Sumber: Harian Metro 

No comments: