Penyediaan persekitaran dalaman yang selesa dikatakan berupaya meningkatkan keupayaan penghuninya berfikir. Melalui elemen seperti hak milik selain kegunaannya, anak-anak mampu dilatih soal kebersihan, disiplin serta apresiasi terhadap keindahan serta aspek penyelenggaraan supaya persekitaran dalaman kekal tersusun.
Kebiasaan ini, selain aktiviti harian dilakukan di bilik tidur diharap ia berupaya membentuk insan yang lebih teratur hidupnya pada masa depan sekali gus mengurangkan masalah sosial yang semakin kronik di kalangan remaja kini.
Saiz dan ruang
Masalah ruang terhad ketika menyediakan persekitaran dalaman serba lengkap buat anak-anak dianggap halangan nombor satu dan ia sering membabitkan kediaman teres.
Kelazimannya, bilik tidur utama menampilkan pelan lantai secara besar berbanding bilik tidur lain yang sesetengahnya amat sempit sekali gus gagal menyediakan keperluan asas diperlukan anak bujang lelaki atau perempuan.
Justeru, bilik yang secara idealnya hanya mampu memuatkan seorang individu terpaksa dikongsi berdua atau lebih, menjadikan mustahil menghasilkan reka bentuk dalaman selesa lagi menyenangkan. Bagi pemilik kediaman banglo, masalah ini mungkin tidak timbul tetapi mungkin berlaku susun atur tidak sesuai di ruang terlalu luas itu. Dalam pada itu, keperluan anak remaja bukan bertumpu kepada tempat tidur, almari pakaian serta barangan keperluan peribadi saja, malah mereka juga memerlukan tempat belajar yang kondusif untuk motivasi pembelajaran.
Komputer serta kelengkapan lain sudah menjadi sebahagian keperluan harian serta pembelajaran mereka. Namun masalah timbul jika tiada ruang bagi menempatkannya. Masalah makin kronik apabila membabitkan rumah pangsa kos rendah yang mana bilangan ahli keluarga secara puratanya lebih daripada tiga orang.
Selain itu, pemilihan warna perlu dititikberatkan kerana ia berperanan menghangatkan suasana bilik, mempengaruhi emosi, merangsang deria dan mencipta suasana santai. Elak menggunakan warna garang seperti merah, oren dan kuning terang tetapi cuba rona lembut dan redup seperti biru muda atau pekat untuk menerbitkan suasana tenang, selesa dan santai.
Penggunaan berbilang warna menjadikan suasana bilik bertambah kompleks. Maka, elak warna pelangi yang menyebabkan sukar merehatkan badan serta fikiran. Namun, anda tidak semestinya bergantung penuh kepada pilihan warna lembut dan suram. Sebaliknya, bertujuan menambah keanggunan, gaya serta kreativiti, disyorkan tumpuan diberikan kepada hiasan dinding menerusi gabungan cat warna kontras.
Sementara, bagi merangsangkan lagi hiasan dinding, disyorkan ditambah hiasan stensil atau kumai. Serasa seperti memandang langit luas apabila berbaring dan melangut ke siling yang dirias indah stensil berbentuk bulan dan bintang.
Pengudaraan semula jadi
Udara semula jadi nyaman dan terbaik untuk tubuh, bukan seperti pendingin hawa yang udaranya dikitar berulang kali dan biarpun nyaman, tidak membantu kesihatan badan.
Paling ideal bagi tubuh adalah udara yang mengalir bebas dengan rongga- rongga ventilasi yang membolehkan udara keluar-masuk secara semula jadi tanpa bantuan kaedah mekanikal atau elektrikal. Sebab itu, bilik tidur selesa harus menyediakan banyak bukaan dan tingkap bagi membawa udara luar masuk.
Keperluan bilik tidur remaja
* Rak penyimpanan secukupnya bagi menghindari barang keperluan berselerak dan tidak tersusun.
* Rak tinggi dari lantai ke siling untuk menempatkan cenderahati, buku serta kotak simpanan hiasan kecil. Jangan `menyemakkan' bilik tidur dengan terlalu banyak hiasan.
* Tempatkan katil sama ada di tengah ruang atau rapat ke dinding. Bagi dua orang berkongsi satu bilik, dicadangkan menggunakan katil dua tingkat atau katil berlapis yang boleh ditarik di bawahnya. Ia menjimatkan ruang.
* Kedudukan meja belajar dan membaca perlu strategik dan sepatutnya melahirkan suasana segar dan cerah dibantu cahaya semula jadi. Wujudkan sudut membaca dan menulis di tepi tingkap.
* Pilihan warna kemasan dinding yang ceria yang menggambarkan kesan dinamik dan progresif sekali gus sesuai dengan umur remaja. Namun, hati- hati menonjolkannya kerana jika tidak dikawal akan memberi tekanan secara tidak langsung kepada penghuni ruang.
* Disebabkan remaja cepat terpengaruh dengan perkembangan semasa khususnya dari segi perkembangan muzik, filem dan sukan, sebaiknya, ditampal poster idola mereka pada dinding. Anda boleh menyediakan papan lembut atau papan putih untuk tujuan menampal poster atau bagi mereka membuat catatan.
* Pencahayaan perlu mencukupi terutama lampu am di siling serta lampu khas untuk membaca di meja belajar. Kipas siling perlu diletakkan di ketinggian sesuai manakala soket kuasa elektrik selain mencukupi, disaran diletak berdekatan meja belajar bagi tujuan penyambungan peralatan komputer dan perkakasan elektrik yang lain.
Sumber: Berita Minggu - Sun, May 20, 2012 - Rona - Oleh Hamidon Abdullah
No comments:
Post a Comment