Thursday, May 10, 2012

Bilik air cermin diri

KETIKA merancang pelan hiasan bilik air, objektif utama tentulah menjadikannya `cermin' atau gaya hidup peribadi. Fungsi serta keselesaan diiringi sentuhan mewah mampu menjadi penentu aliran terkini dekorasi bilik air.

Biar apapun, analisis tema penataan bilik air mengambil sedikit masa. Cara terbaik ialah dengan menyediakan sehelai kertas yang tercatat tema, kegunaan selain elemen menyeronokkan yang boleh ditonjolkan dalam bilik air. Ini membantu anda memahami, mengenal pasti dan merancang skim hiasan ruang terbabit.

Pengezonan adalah trend terkini dalam membina dan mengemaskini bilik air. Langkah ini berupaya membahagikan ruang terhad kepada beberapa bahagian - misalnya tandas, bidet, tab mandi, ruang pancur, berdandan dan sebagainya.

Hakikatnya, pengezonan ruang bukan saja menjadikannya lebih mesra pengguna, malah membuatkan anda lebih selamat serta kurang terdedah. Di sini, ada beberapa idea jika ingin mewujudkan ruang tersendiri di bilik air iaitu menggunakan:

* Skrin pengadang dengan motif menarik

* Langsir

* Pengadang separuh dinding

* malah pintu bagi mengasingkan ruang kering serta basah

Keistimewaan lain ialah membahagikan kawasan bagi membolehkan dua atau lebih penghuni berkongsi menggunakan bilik air pada waktu sama. Ia bermanfaat bagi keluarga besar terutama pada waktu kritikal iaitu pada pagi hari, ketika semua orang bergegas ingin ke tempat kerja atau sekolah.

Sesuai perkembangan teknologi hari ini, pelbagai kelengkapan tercanggih dengan pembelian berbaloi mampu dilakukan. Ia membolehkan anda menyediakan kemudahan spa di bilik air sendiri menggunakan kemudahan atau produk di pasaran.

* Sauna

* Mandian stim

* Tab panas

* Bidet

Penggunaan salah satu kelengkapan ini berupaya memberi sentuhan mewah penataan bilik air. Ini boleh ditambah dengan beberapa produk lagi misalnya aromaterapi, koleksi mandian berjenama, pemegang tuala panas dan sebagainya.

PENATAAN TERBAIK BAGI BILIK AIR KECIL CARA termudah menyediakan kesan luas secara ilusi adalah melalui penggunaan cermin. Menerusi pantulan, imej kawasan luar bilik air dan dinding sekitarnya menjadi sekali ganda lebih luas.

Namun, bagi jendela mengadap dinding bata, pemandangan tidak enak dipandang atau sisi gelap kediaman, atasi kekurangan itu dengan menempatkan cermin berwarna atau lukisan motif menarik sebelum menggantung cermin di ruang bertentangan bagi mendapatkan impak mengujakan.

Ruang mandi pancur kemasan kaca menyajikan suasana terbuka bilik air sempit. Manakala sinki yang ditempatkan di ceruk dinding dikatakan mampu menjimatkan ruang. Malah, supaya nampak lebih lapang, disyorkan membina rak serta kabinet dalam dinding berbanding memilih jenis lekap di dinding.

Penggunaan cat dan kemasan jubin warna terang turut menyebabkan ruang nampak lain. Jika membabitkan bilik air di kamar tidur utama, pastikan permukaan dinding serta kelengkapan di dalamnya menyajikan tema sedondon dengan kemasan dinding kamar tidur berkenaan.

Ruang penyimpanan sistematik sepatutnya disenaraikan sebagai sebahagian pelan pembentukan bilik air. Menangani kabinet ubat serta sinki berselerak, bina kabinet serta ruang penyimpanan berpintu di bahagian bawah sinki.

Belajar membuang perkakasan tidak memenuhi keperluan seperti botol minyak wangi, losyen serta krim mandian kosong. Begitu juga ubat-ubatan lama dan syampu yang tidak mahu digunakan lagi.

Selesai menyempurnakan seperti disarankan, anda pasti lega kerana berjaya menyingkirkan sebahagian perkakasan tidak digunakan.

Selanjutnya, boleh merancang ruang penyimpanan secara terperinci seperti:

* Simpan perkakasan kecil mengikut jenis serta fungsinya.

* Letak penyangkut baju di belakang pintu bilik air.

* Tempatkan bakul di birai tandas bagi menyimpan sabun dan perkakasan kecil.

* Tempatkan bakul dan rak logam di kawasan bawah sinki untuk ruang penyimpanan sistematik.

* Sediakan rak terbuka di dinding menempatkan tandas untuk menyimpan tuala dan kapas muka.

* Bakul besar yang diletak di lantai berupaya menyimpan tuala mandi, tuala serta span mandi.

TIADA BATASAN PILIH KELENGKAPAN

JANGAN hadkan pilihan dengan membeli-belah di kedai menawarkan produk seumpamanya. Sebaliknya, disyorkan di gedung sehenti bagi mendapatkan rak buku, rak buluh serta meja berlaci untuk dijadikan ruang penyimpanan.

Bilik air tidak semestinya perlu luas bagi mencipta suasana santai dan mengalu-alukan. Tetapi perincian serta penjagaan berterusan menjadikan ruang itu istimewa selain menyediakan suasana damai dan tenang untuk berehat sambil membersihkan tubuh.

ILHAM DARI BUKU, MAJALAH SERTA INTERNET

ADA pelbagai buku dan majalah yang memberikan ilham bernas hiasan dalaman. Ketika melihat gambarnya, jangan lihat keseluruhan tata hias saja tetapi beri penekanan kepada sesuatu aksesori.

Misalnya, bekas sesuai untuk menyimpan berus solekan; cara tuala dilipat dan disimpan serta teliti kaedah menggantung cermin ikut ketinggian bagi menampakkan ruang lebih luas selain memanfaat pencahayaan.

TUMBUHAN, BUNGA HIDUPKAN SUASANA

TUMBUHAN hijau mengindahkan lagi suasana bilik mandi. Paku-pakis berupaya hidup subur dalam suhu lembap bilik air, begitu juga philodendrons, coleus, pothos, and begonias.

Bagi bilik air luas, dicadangkan meletakkan bangku selesa siap upholsteri untuk berehat berdekatan dengan tumbuhan hijau berkenaan. Ia menjadi tempat anda berehat sementara menunggu air penuh di tab atau ketika menantikan topeng muka kering.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Apr 15, 2012 - 010 - Rona - Oleh Bennie Zie Fauzi

No comments: