Monday, May 14, 2012

Kasut untuk si comel




Panduan ringkas pilih kasut



BARANGKALI kasut sihat itu, rupanya hodoh. Kasut yang menutupi tulang mata kaki anak dan hujung kasut berbentuk tidak tajam atau agak bulat membolehkan jemari si kecil mudah bergerak. Kasut runcing pada bahagian depannya membataskan pergerakan kaki.



Bangsawan China membuktikan kasut dan amalan mengikat kaki boleh mempengaruhi bentuk kawasan berkenaan. Beberapa maklumat didapati menerusi laman internet berhubung pemilihan kasut tepat untuk kanak dapat dirumuskan sebagai kasut yang baik dapat mengalihkan berat badan ke lantai secara efektif, seharusnya ia menjadi asas baik untuk pertumbuhan tubuh badan dan ia tidak seharusnya terlalu ketat atau longgar, sebaliknya mempunyai sedikit ruang untuk pertumbuhan kaki.



Ini bererti, walaupun kanak-kanak perempuan sukakan kasut tinggi seperti ibunya, hindari daripada membelinya kerana ia membuatkan kaki cenderung ke depan, sekali gus mengganggu pertumbuhan bahagian berkenaan.



Kasut kanak-kanak sepatutnya diperbuat daripada bahan yang lembut dan fleksibel, namun tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Bahan kulit yang lentur, adalah pilihan tepat.



Kasut yang diperbuat daripada bahan keras kerana ia berisiko mengganggu perkembangan tulang kaki, mengakibatkan bentuk kaki tidak berkembang dengan baik.



Bahan plastik tidak baik kerana menghalang pengewapan apatah lagi kerana bahagian dalam kasut cenderung lembap memudahkan kaki anak anda mudah terkena jangkitan kulat.



INFO



KAKI SI COMEL



* Pertumbuhan kaki sempurna diukur pada usia 18 tahun kerana sebelum itu kaki perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tubuh badan.



* Selama tumbuh berkembang, ukuran kasut boleh berubah 34 kali sehingga dia berusia 10 tahun. Setidaknya enam bulan sekali ukuran kaki anak berubah.



* Saat anak mulai belajar berjalan, anak harus memakai alas kaki yang ideal. Alas kaki itu harus dapat mengatur jatuhnya titik berat badan pada posisi yang benar.



* Alas kaki tepat untuk bayi yang masih merangkak (6 hingga 10 bulan) adalah yang lentur dan kuat, terutama pada bahagian hujung dan tumit. Sedangkan untuk bayi usia bertatih (10 hingga 14 bulan), sepatu yang ideal adalah dengan sisi yang berfungsi sebagai penyeimbang.



* Ukuran kasut yang sesuai adalah tidak terlalu sempit dan tidak terlalu longgar. Caranya mudah, buat ukuran panjang kaki anak anda daripada tumit hingga hujung jari terpanjang ditambah satu ruas jari orang dewasa. Ini penting kerana kaki kanak-kanak cepat berubah dan perlu diukur beberapa kali dalam setahun.



* Sebelum membeli kasut, cuba dulu kasut itu di kaki anak anda dalam keadaan anak anda berdiri dan anak anda memakai sarung kaki. Biasanya kaki kiri dan kanan tidak semestinya sama besar. Pilihlah kasut yang sesuai dengan ukuran kaki yang lebih besar.



* Bahagian dalam kasut dilapisi pengalas yang lembut dan selesa untuk menyerap hentakan saat si kecil berjalan atau berlari di permukaan yang keras.



* Pastikan tumit kasut tidak terlalu tinggi, maksimum hanya satu sentimeter. Pastikan juga bahan untuk membuat kasut ini adalah terdiri daripada bahan yang ringan dan empuk, tidak keras, sehingga anak anda mudah melangkahkan kaki dengan nyaman.



Sumber: Berita Harian - Tue, Apr 7, 2009 - Hip - Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof - 1036

No comments: