Wednesday, May 9, 2012

Manfaat ruang


MELALUI susunan dalam gubahan, pokok yang kurang menarik sebahagiannya boleh disorok di belakang pokok lain yang lebih menarik.

Untuk hiasan di ruang sempit seperti balkoni, sudut ruang tamu dan sebagainya, anda hanya perlu menggunakan beberapa bekas tanaman atau pasu besar yang siap digubah cantik bagi mengindahkan lagi ruang.

Sebagai pilihan, anda juga boleh menggunakan gubahan berkenaan yang dicampur bersama dengan beberapa pasu pokok gantung dan aksesori hiasan taman yang lain seperti pagar hiasan, batubatu semula jadi dan set air terjun buatan bagi mengindahkan lagi ruang.

Gubahan tanaman dalam bekas tanaman besar seperti ini bukan saja sesuai untuk hiasan dalam kediaman, malah cantik untuk ruang luaran seperti balkoni, patio, laman, taman dan sebagainya.

Selamat mencuba!

PENGHUNI rumah pangsa dan apartmen mungkin menganggap ruang sempit mengehadkan keinginan menghiasi kediaman dengan tanaman hiasan.

Anggapan ini mungkin kurang tepat kerana aktiviti menanam tumbuhan hiasan masih boleh dilakukan dengan menanam menggunakan pasu atau raga gantung.

Satu lagi kaedah menanam pokok untuk ruang yang sempit ini ialah dengan menggunakan bekas tanaman bersaiz besar.

Kebaikan atau faedah yang boleh diperoleh dari penanaman begini adalah:

1. Menjimatkan ruang penanaman

2. Memudahkan kerja penanaman dan penjagaan pokok

3. Lebih cantik dan menarik lagi berbanding pokok yang ditanam secara solo terutama jika digubah atau disusun kemas dan menarik dalam pasu atau bekas tanaman yang unik dan cantik bentuknya.

Tanaman hiasan dalam kumpulan juga akan membina satu ekosistem tersendiri.

Ini bermaksud tahap kelembapan medium tanaman dan keadaan persekitarannya akan menjadi lebih tinggi. Ini kerana daun pokok akan melindungi antara satu sama lain dari dedahan kepada cahaya matahari yang terik dan hasilnya pokok akan tumbuh lebih subur dan menarik penampilannya.

Minggu ini saya akan paparkan teknik menggubah tanaman hiasan dalam bekas tanaman bersaiz besar.

1 Pemilihan bekas tanaman

Untuk tujuan ini, pelbagai jenis bekas tanaman boleh digunakan termasuk pasu, kotak tanaman, mangkuk tanaman, tempayan antik, bekas kitar semula seperti sinki atau mangkuk tandas retak dan sebagainya. Sehubungan itu, pilih bekas tanaman yang sesuai dengan tanaman untuk laman kediaman.

2 Pemilihan tanaman untuk gubahan

Tanaman hiasan yang dipilih mestilah mempunyai persamaan dari segi keperluan semula jadinya untuk tumbuh subur seperti keperluan air siraman, dedahan kepada cahaya matahari dan sesuai tumbuh subur dalam campuran medium tanaman sama.

Jika tidak sama keperluannya, tanaman mungkin tidak akan dapat hidup sihat dan membesar. Sebagai panduan dari segi keperluan cahaya, pokok berdaun tidak memerlukan banyak cahaya berbanding pokok berbunga.

Sehubungan itu, pamerkan di ruang yang sesuai dengan keperluan tanaman dalam gubahan anda. Selain tanaman hiasan, boleh juga menggunakan tanaman untuk makanan atau dikenali sebagai tanaman edibel.

Contohnya, pelbagai sayuran yang mudah ditanam seperti sawi, kangkung dan kucai atau tanaman penyedap rasa masakan seperti halia, serai, kunyit, selasih dan sebagainya. Selain berfungsi untuk tanaman hiasan, ia juga boleh menjimatkan perbelanjaan dapur anda.

3 Teknik gubahan

Gunakanlah idea kreativiti atau bakat semula jadi anda untuk menggubahnya. Pokok janganlah ditanam sehingga melindungi di antara satu sama lain.


TIP
Gubahan bekas tanaman yang berpermukaan bulat adalah seperti berikut:

Tanam pokok yang paling tinggi di tengah bekas tanaman.

Pokok rendah ditanam di sekeliling pokok yang tinggi.

Seterusnya pokok yang rendah ditanam di bahagian tepi dan sekeliling bekas tanaman. Sebagai pilihan, anda juga boleh menanam pokok menjalar yang dibiarkan berjuntai ke bawah bagi menutupi sebahagian dari bekas tanaman berkenaan supaya tampak semula jadi dan lebih menarik.


Sumber: Berita Minggu - Sun, Apr 22, 2012 - 014 - Rona - Oleh Abu Bakr As-Siddiq

No comments: