Friday, December 2, 2011

Pedih perut

Ihsan: Google

PERNAHKAH anda berasa tidak selesa selepas makan hidangan yang berat, loya serta sering pedih ulu hati pada waktu malam? Andai itulah masalah yang sering dialami, anda berkemungkinan mengalami gejala penyakit gastroesophaegal reflux atau GERD.

Dianggarkan, 50 peratus jumlah penduduk dewasa menghidap sekurang- kurangnya satu masalah usus di Malaysia. Kesilapan atau kegagalan mengenal pasti GERD ini boleh menyebabkan rawatan salah dan tidak berkesan.

Namun apa sebenarnya masalah GERD ini? Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi Universiti Malaya, (UM) Prof Datuk Dr Goh Khean Lee, menjelaskan apabila kita makan, makanan melalui tekak ke perut melalui esofagus (saluran makanan). Sebaik makanan di perut, gegelung serat-serat otot menghalang makanan tertolak semula ke esofagus.

"Serat otot ini dipanggil lower esophaegal sphichter atau LES. Kalau otot ini tidak tertutup dengan betul, maka makanan, cecair dan asid perut boleh meleleh atau tertolak masuk semula ke esofagus. Keadaan ini dikenali GERD yang boleh menyebabkan pelbagai gejala dan merosakkan esofagus," katanya pada bengkel `Cegah GERD Daripada Menyerang Perut' anjuran syarikat farmaseutikal AstraZeneca, di ibu negara, baru-baru ini.

GERD boleh menyerang semua tanpa mengira usia tetapi lazimnya dialami golongan muda pada peringkat paling produktif hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Apa yang pasti, kata Dr Goh, penyakit ini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti masalah sukar bernafas, pendarahan dan kecederaan esofagus, serta barah esofagus bagi sekumpulan kecil pesakit.

"Ramai pesakit yang tidak sedar mereka ada gejala GERD dan juga penyakit ini boleh mendatangkan kesan yang serius jika tidak dirawat."

Katanya, ramai keliru gejala GERD dengan masalah gastroenenterologi lain yang boleh membawa kepada kesilapan diagnosis. Oleh kerana gejala tidak difahami dengan jelas, ramai menganggap gejala GERD adalah sakit biasa termasuk masalah ringan seperti ketidakcernaan sehinggalah gejala lebih serius seperti serangan jantung. Orang ramai perlu pandai membaca tanda- tanda GERD supaya mereka boleh mendapat rawatan sewajarnya.

Gejala yang biasa berlaku antaranya berasa seperti makanan tersangkut di rangka atau tulang dada, pedih hulu hati (di bawah tulang dada), rasa pedih makin menjadi ketika melutut, membongkok, berbaring atau makan, rasa lebih teruk di waktu malam dan hanya berasa reda dengan pengambilan ubatan antasid dan loya selepas makan.

Mereka yang percaya bahawa ketidakcernaan adalah penyebab kepada ketidakselesaan mereka selalunya akan merawat masalah mereka dengan antasid tanpa memeriksa terlebih dulu jika ada masalah asas lain. Sesetengah ubat dijual menerusi kaunter boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk. Oleh itu mintalah nasihat doktor sebelum cuba mengubati diri sendiri.

Selain itu, ketidakselesaan akibat pedih hulu hati dapat dirasakan di sekitar kawasan dada, dan ada percaya bahawa serangan jantung akan pasti berlaku. Jika ini bukan masalahnya, GERD boleh dipertimbangkan sebagai diagnosis kerana kebanyakan penghidap GERD mengalami apa yang dipanggil sakit dada bukan kardium. Keadaan ini mungkin berbahaya dan kami menggalakkan pesakit menyedari kesamaan dan perbezaan antara gejala serangan jantung dan gejala GERD.

Mengikut kajian kesan GERD terhadap mutu kehidupan di Asia baru-baru ini, dianggarkan 60 peratus pesakit GERD merasa tidak sihat, mengelak makanan dan minuman tertentu, letih dan khuatir disebabkan gejala GERD, manakala 50 peratus terjaga dari tidur sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan akibat gejala penyakit.

Gangguan tidur mengganggu produktiviti dan waktu santai pesakit dengan 67 peratus melaporkan kesan besar dan sederhana terhadap produktiviti kerja mereka. Sebanyak 63 peratus responden pula melaporkan kesan yang sama terhadap waktu santai mereka.

Apa yang membimbangkan, kajian ini mendedahkan penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit terhadap mutu kehidupan mereka dan tidak menyedari bahawa ini boleh mendatangkan kesan kesihatan jangka panjang yang serius.

Mereka hanya mendapatkan rawatan apabila rasa sakit dan ketidakselesaan semakin kerap. hampir separuh pesakit menanggung gejala sekurangkurangnya enam bulan sebelum berjumpa doktor.

Pesakit GERD yang teruk mungkin diberikan ubat seperti esomeprazole yang menghalang pengeluaran asid dan pengaliran ke esofagus.

Asid perut adalah kasar dan lapisan esofagus pula lembut dan andai masalah ini berterusan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu pada lapisan esofagus sehingga menyebabkan hakisan yang dipanggil esofagitis. Walaupun ada rawatan bersesuaian dan antasid ia sekadar meredakan dan kurang berkesan.

Seperti ditegaskan Dr Goh: "Mereka tidak perlu menderita dalam diam, dapatkan nasihat doktor bagi mengetahui lebih jelas tahap penyakit anda.

Hanya selepas itu anda boleh mendapat rawatan yang khusus untuk masalah GERD."

Kerap bisa ulu hati, sukar tidur

EPISOD penyakit Gastroesophaegal Reflux (GERD) dialami pesara yang pernah bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ini bermula 13 tahun lalu. Ia bermula dengan rasa tidak selesa selepas makan hidangan yang berat dan seakan ada sesuatu yang tidak dicerna dengan baik dan `tersangkut' di belakang tulang dada, angin serta pedih hulu hati.

Susainathan Arokiasamy, 63, bukan saja sukar untuk menjalankan tugasnya dengan sempurna malah ia turut mengganggu waktu tidur akibat sering terjaga kerana gangguan GERD.

"Kadangkala selepas terjaga, untuk tidur semula sangat sukar. Saya perlu duduk sebentar untuk meredakan rasa tidak selesa dan pedih hulu hati sebelum boleh berbaring semula. Kerja di pejabat juga turut terganggu kerana saya menjadi letih akibat kurang tidur dan tidak mampu membongkok atau melutut akibat rasa sakit.

Pada mulanya, dia menyangka sekadar mengalami masalah angin di perut akibat tersalah makan, lalu cuba mengelak daripada makan makanan dan minuman tertentu yang difikirkan akan menyebabkan masalah itu.

Ternyata diet bukanlah punca masalah yang dialaminya itu. Susainathan tetap diserang loya, pedih hulu hati lebih malang lagi dia mula rasa tertekan dan dihantui rasa bimbang apabila segala ubat jenis antasid yang dibeli di kaunter sekadar meredakan dan tidak berkesan merawat masalahnya.

Hanya selepas enam bulan menderita dalam diam, bapa kepada seorang anak perempuan ini merasa sudah sampai masa untuk berjumpa dengan pakar bagi mengesan masalah sebenar.

"Saya berjumpa doktor pakar di PPUM dan perkara pertama yang dilakukan ialah soal selidik mengenai latar belakang aktiviti kehidupan yang dilalui selama ini sebelum melakukan endoskopi untuk melihat dengan lebih dekat keadaan di dalam esofagus saya. Doktor menjelaskan akibat GERD, asid perut yang agak kasar sifatnya tertolak ke lapisan esofagus yang lembut. Ia merosakkan tisu pada lapisan esofagus sehingga menjadi kemerah-merahan," katanya.

Itulah kali pertama dia sedar kewujudan GERD dan antara punca mengapa ia menyerangnya dipercayai kerana amalan merokok yang menjejaskan kesihatan. Namun, Susainathan agak bertuah kerana masalahnya itu dikesan awal dan tidak dibiarkan melarat. Selepas mendapatkan rawatan, penyakitnya sembuh hanya dengan mengambil ubatan seperti esomeprazole dan tidak perlu dibedah.

"Saya gembira kerana bukan saja merasa semakin sihat malah berjaya kembali menikmati kualiti hidup berkeluarga dan bermasyarakat yang lebih baik malah berjaya berhenti merokok," katanya.

Nasihat Susainathan, selain daripada mengambil ubat secara teratur, mengubah kepada amalan gaya hidup yang baik juga akan membantu proses penyembuhan segera.

Info

GERD boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat seperti:

* Kekalkan berat badan yang ideal. Mengurangkan 10 peratus berat badan mampu menjauhi GERD

* Makan sedikit tetapi kerap.

* Tinggikan bahagian kepala katil anda enam ke lapan inci bagi membantu graviti memastikan asid gastrik kekal di dalam perut

* Jangan berbaring sekurang-kurangnya tiga jam selepas makan

Elakkan:

* Makanan berlemak, pedas, berasid, berangin, coklat, bawang, kopi dan minuman berkarbonat

* Merokok

* Minum alkohol

* Memakai pakaian yang ketat

Sumber: Berita Minggu - Sun, Nov 27, 2011 - Rona - Oleh Suzan Ahmad

2 comments:

Unknown said...

Saya mengalami simpton gerd..yg peliknya walaupun sakit perut kurang tetapi air liur keluar tidak dapat dikawal dan kerap meludah..sudah berjumpa pakar tetapi masalah masih blm selesai..sesiapa yg tahu jln penyelesaiannya llese inform..tq

Unknown said...

mcM mna pla klaw mglmi pedih perut.....cma rsa pedih shja....itu dsbbkn oleh ap ya???pless inform.....