Saturday, December 3, 2011

Hidupkan ruang


KONSEP suai padan merangkumi skop yang luas. Bukan hanya tertumpu kepada menyuai padan rekaan ruang, tetapi meliputi pilihan bahan kemasan. Tujuan utama melakukan konsep suai padan ini adalah untuk menghasilkan ruang yang lebih menarik. Dengan adanya variasi dalam semua aspek, maka ruang akan menjadi lebih hidup dan tidak kaku. Konsep suai padan pada kemasan adalah antara usaha yang dilakukan kerana kepelbagaian kemasan dapat memberi impak kepada keluasan ruang, keceriaan ruang, identiti dan konsep yang hendak ditonjolkan.

Kemasan dinding kerap digunakan adalah cat kerana apabila digabungkan dengan bahan lain, ia akan menjadi lebih menarik. Kertas dinding pula adalah antara bahan yang sesuai untuk dipadankan dengan cat. Konsep suai padan antara kertas dinding berlainan corak dan cat berbeza warna dalam satu ruang tidak boleh dilakukan sembarangan, sebaliknya memerlukan kaedah jalinan yang tepat bagi mengelak ruang kelihatan `berat', seterusnya menjadikan bilik kecil bertambah sempit.

Kemasan Kertas Dinding

Memandangkan kertas dinding berasal dari negara Eropah, maka penggunaannya tentulah lebih sesuai bagi rekaan dalaman bergaya Eropah dan moden. Bagaimanapun, peredaran zaman membawa kepada penggunaan kertas dinding bercorak moden seperti jalur dan geometri. Ada pelbagai jenis kertas dinding yang direka merujuk kepada sesuatu zaman seperti jenis timbul (embosed) yang hanya sesuai digunakan untuk hiasan dalaman berkonsep klasik. Bagaimanapun, tidak semua gaya hiasan dalaman sesuai menggunakan kertas dinding kerana dipengaruhi faktor budaya dan cuaca. Bagi rekaan dalaman berkonsepkan Inggeris seperti kedesaan dan klasik, kertas dinding memang sesuai digunakan.

Impak corak kertas dinding terhadap ruang

* Kesan ilusi garisan menegak akan menaikkan paras dinding

* Kesan ilusi garisan melintang akan memperbesarkan ruang

* Kesan ilusi terhadap corak geometri tiga dimensi menggambarkan kedalaman

* Rekaan corak kecil memperlihatkan ruang lebih lapang dan selesa

* Rekaan corak besar mengurangkan ukuran permukaan

Kemasan cat

Kemasan yang mudah diperoleh, mudah digunakan dan mudah ditukar. Cat tidak memerlukan bahan lain untuk digunakan sebagai kemasan berbanding kertas dinding. Cat terbahagi kepada dua jenis iaitu polos dan bercorak. Jenis polos ini banyak digunakan berbanding jenis bercorak kerana lebih mudah dan menjimatkan masa. Cat juga boleh menghasilkan corak tersendiri menerusi teknik span, stensil dan raging. Teknik ini memerlukan masa dan kepakaran bagi mendapatkan hasil terbaik.

Hasil suai padan

Suai padan antara kemasan kertas dinding dan cat memerlukan kreativiti kerana ia membabitkan soal warna serta corak yang bersesuaian supaya ruang kelihatan selesa dan lapang. Jika digabungkan secara sempurna, kertas dinding dan cat mampu menghasilkan corak pemandangan menarik.

Ciri asas bagi membantu kesesuaian padanan kertas dinding dan cat yang dipilih

Apakah cita rasa yang ada pada pemilik kediaman, bagaimana gaya rekaan dalaman, keluasan ruang, perabot, pemilihan kertas dinding atau cat sebagai titik tumpu, skima warna, pilihan warna utama dan kos perbelanjaan.

Langkah pertama memilih warna pilihan yang mahu diterapkan dalam sesuatu ruang. Apabila pilihan sudah dibuat, barulah corak kertas dinding dan cat yang sesuai dipadankan di sesuatu ruang dapat ditentukan. Bagi mendapatkan hasil baik dan menepati cita rasa, kita perlu memahami bahan buatan, tekstur dan warna pada kertas dinding serta cat. Sebaiknya buat perancangan rapi sebelum dinding dicat atau ditampalkan dengan kertas dinding kerana ia membabitkan soal penyelenggaraan di kemudian hari. Cat hanya memberikan kesan rata dan kasar manakala kertas dinding mengandungi tekstur (jalinan) yang boleh melembutkan suasana dalam ruang. Jadi, kedua- dua ciri ini membolehkan suai padan kertas dinding dan cat dibuat secara harmoni.

INFO

Tip ringkas suai padan kertas dinding dan cat

* Elak guna dua corak bunga pada satu dinding.

* Elak gunakan terlalu banyak corak pada sesuatu ruang.

* Elak gabungkan corak bunga dan geometri.

* Pilih warna lembut kerana ia akan menimbulkan suasana lebih terang apabila digunakan pada dinding yang luas.

* Tentukan jenis rekaan perabot yang bersesuaian untuk gaya hiasan dalaman yang ingin diterapkan, sebelum memilih kertas dinding dan cat.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Nov 27, 2011 - Rona - Oleh Hamidon Abdullah

No comments: