Saturday, October 22, 2011

Kasut punca kaki sakit



SECARA purata, setiap orang akan berjalan sejauh 184,000 kilometer sepanjang hayatnya. Setiap langkah yang diambil ketika berjalan akan menghasilkan tekanan sebanyak tiga kali ganda berat badan kepada kaki kita.

Ketika berlari pula, tekanan akan bertambah menjadi 10 kali berat badan kita. Pemakaian kasut yang ketat dan keras, kasut tumit tinggi, pemakaian stokin dan kasut yang kedap udara dan berdiri berjam-jam akan menyebabkan kulit dan 26 tulang, otot kecil dan ligamen pada setiap kaki kita tidak mampu menanggung beban tekanan itu.

Banyak penyakit atau masalah kaki bersangkut paut dengan pemilihan kasut, terutama di kalangan wanita. Menurut kajian Persatuan Kaki dan Sendi Buku Lali Amerika (AOFAS), 80 peratus mempunyai masalah sakit pada kaki.

Ini tidak menghairankan kerana lebih 88 peratus daripada mereka memakai kasut bersaiz lebih kecil daripada saiz kaki. Kasut yang terlalu ketat, terlalu longgar, terlalu kedap udara dan bentuk kasut yang tidak semula jadi boleh menyebabkan atau menggalakkan masalah kaki seperti berikut:

Sakit kaki pada wanita (a woman's aching feet)

Hampir separuh daripada wanita mempunyai pengalaman sakit berdenyut-denyut pada kaki. Mungkin ia disebabkan terlalu lama berdiri atau berjalan, tetapi punca utama disebabkan pemakaian kasut yang tidak sesuai. Masalah ini akan bertambah kerap dialami wanita lebih tua kerana ketebalan lapisan lemak pada tapak kaki yang bertindak sebagai kusyen semakin menipis mengikut usia.

Kaki atlet (athlete's foot)

Walaupun namanya begitu, keadaan ini tidak terhad hanya kepada golongan pelari jarak jauh atau atlet lain. Rasa gatal, sakit seperti terbakar dan kulit menggelupas yang selalu terjadi pada celah jari atau tapak kaki ialah gejala Kaki Atlet. Ini berpunca daripada jangkitan mikroskopi kulat yang dipanggil Trichophyton mentagrophytes.

Organisma ini membiak pada permukaan bilik air yang hangat dan lembab, stokin yang menyebabkan peluh yang banyak dan kasut yang ketat.

Kulit melepuh (blisters)

Kasut yang terlalu longgar atau terlalu ketat atau permukaan kasut atau stokin yang kasar akan menyebabkan kulit bergesel dan cedera. Kulit yang sensitif akan bertindak balas dengan pembentukan kusyen berair pada kulit iaitu melepuh. Kawasan kulit ini radang dan menyakitkan ketika berjalan. Kulit melepuh akan sembuh jika dijaga dengan bersih dan geselan pada kulit dihentikan.

Bunion

Bunion ialah bengkak yang menyakitkan pada pangkal ibu jari kaki. Ini terjadi disebabkan oleh ibu jari tertolak keluar daripada kedudukan normal. Geselan bengkak pada kasut menyebabkan kulit mendapat radang dan menyakitkan. Satu kajian AOFAS menunjukkan 71 peratus wanita mempunyai masalah bunion. Pemakaian kasut yang ketat selalu dikaitkan dengan masalah bunion.

Corn dan calluses

Kulit kita akan melindungi dirinya daripada geseran dan tekanan berulang dengan membentuk lapisan keras daripada sel kulit pada bahagian di mana gangguan berlaku. Bila ini berlaku pada kulit di atas atau celah jari kaki, sel kulit membentuk bengkak bulat keras dipanggil 'corn' sementara sel kulit keras dan tebal yang terbentuk pada tapak kaki dipanggil 'calluses'. Secara purata, calluses ditemui pada 14 peratus orang dewasa dan 'corn' pada sembilan peratus orang dewasa, terutama wanita.

Jari kaki tukul (hammertoes)

Apabila satu jari kaki yang lebih kecil membentuk seperti sepit, ia dipanggil 'hammertoe'. Ketidakjajaran sendi kaki atau masalah otot atau saraf di kaki menyebabkan jari kaki melengkuk dan bukan lurus. 'Hammertoes' cenderung untuk berlaku pada mereka yang menghidap diabetes. Memakai kasut yang terlalu pendek atau kecil juga boleh menyebabkan masalah ini.

Sakit tumit (heel pain)

Tapak kaki rata, tapak kaki terlalu melengkuk atau aktiviti fizikal seperti berlari boleh mencetuskan radang dan kesakitan pada ligamen fascia plantar pada tapak kaki, iaitu keadaan yang dipanggil Plantar Faciitis.

Sakit fasciitis plantar biasanya dicirikan oleh sakit pada langkah pertama berjalan pada hari berkenaan atau selepas tempoh lama tidak berpijak. Peregangan otot kaki dan memakai kasut yang padan saiznya boleh membantu untuk mengelak masalah ini. Fasciitis Plantar juga boleh membawa kepada klasifikasi seterusnya pembentukan taji tumit pada titik di mana fascia melekat ke tumit.

Kedua-dua fasciitis plantar dan taji tumit terjadi mungkin kerana kasut yang kurang sesuai, peningkatan dalam aktiviti fizikal secara tiba-tiba, atau tekanan pada kaki disebabkan pertambahan berat badan secara tiba-tiba.

Gabungan kasut ortotik, regangan dan urutan serta mengambil ubat anti-keradangan seperti ibuprofen mampu untuk merawat masalah ini.

Membeli kasut

Kasut bertumit tinggi dan hujung runcing ialah musuh semula jadi kaki anda. Walaupun kasut tumit tinggi boleh membuatkan kaki anda kelihatan panjang dan anggun, ia juga meningkatkan tekanan pada jari kaki dan mengganggu keseimbangan badan ketika berjalan. Pastikan anda menggunakan kasut tumit tinggi pada tahap minimum, dan memilih memakai kasut yang lebih rendah tumitnya.

Minimumkan kecederaan kaki berkaitan aktiviti yang kita lakukan dengan memakai kasut tertentu. Kasut latihan (cross trainers) yang baik memadai untuk aktiviti sukan yang kita sertai.

Kasut sukan boleh dipakai setiap hari untuk keselesaan. Bagaimanapun, kasut akan kehilangan kesan kusyen dari semasa ke semasa dan ia perlu diganti jika lapisan kusyen tidak lagi melantun kembali apabila kita menekan di atasnya.

Kasut harus mempunyai pengaliran udara yang baik, kain yang poros atau kasut yang berlubang untuk pengudaraan supaya kaki kita tidak kepanasan. Hujung kasut hendaklah lebih lebar dan membulat, bukan meruncing kerana ia lebih mengikut bentuk semula jadi kaki kita.

Tapak kasut juga hendaklah lebih fleksibel untuk memudahkan kaki melangkah dan tapak hendaklah mempunyai rekaan yang dapat mencengkam dengan baik pada setiap permukaan untuk mengelak tergelincir dan terjatuh.

Bila kita mahu mengukur panjang kaki untuk menentukan saiz kasut, pastikan ia dilakukan pada waktu lewat petang kerana kaki kita lima hingga lapan peratus lebih besar berbanding awal pagi.

Kedua-dua kaki hendaklah diukur kerana panjang kaki mungkin berbeza antara kaki kanan dan kaki kiri. Saiz kasut mestilah mengikut kaki paling besar dan ruangan jari hendaklah lebih kurang 1/2 inci antara hujung jari dan hujung kasut.

Pastikan anda mencuba dulu kasut itu sebelum membelinya dengan berjalan-jalan dan kedua-dua kasut dipakai untuk merasai keselesaannya.

Pastikan kasut yang hendak dibeli selesa kerana adalah merugikan jika fesyen kasut itu hebat tetapi kaki anda menderita kesakitan dan anda berjalan terhencut-hencut.

Kasihanilah kaki anda kerana ia yang akan membawa anda ke tempat yang anda hendak pergi.

Sumber: Metro Ahad - Sun, Oct 2, 2011 - Sihat - Oleh Dr Bazam Abdul Rani

No comments: