Tuesday, November 1, 2011

Risiko tak bayar insurans

ANDA berdepan kesempitan kewangan? Apakah pilihan yang ada atau boleh dipertimbangkan supaya anda dapat terus membayar premium? Adakala, sesetengah perkara di luar kawalan kita, terutama ketika ketidaktentuan ekonomi. Apabila ekonomi meleset dan ada hilang kerja, antara perkara pertama yang dikurangkan adalah premium insurans mereka. Adakah tindakan ini bijak?

Apakah akibatnya tidak membayar premium anda dalam tempoh tangguh? Kontrak polisi memperuntukkan `Tempoh Tangguh' (biasanya sehingga 30 hari) yang memberi anda tempoh masa tambahan selepas tarikh genap tempoh bayaran premium. Dalam tempoh ini, anda masih boleh membayar premium dan polisi hayat anda masih berkuat kuasa. Bagaimanapun, jika anda masih tidak membayar premium selepas tempoh itu, bergantung sama ada polisi anda mempunyai nilai tunai mencukupi atau tidak, anda akan menerima makluman daripada penanggung insurans mengenai akibat berikut:

1. Polisi Luput, jika nilai tunai tidak mencukupi (biasanya dalam tahun polisi pertama). Jika ini berlaku, anda tidak lagi menikmati sebarang perlindungan dan menyebabkan anda seisi keluarga terdedah kepada risiko kewangan.

2. Pinjaman Premium Automatik (APL) sudah digunakan menurut polisi hayat supaya polisi anda terus berkuat kuasa jika nilai tunai tidak mencukupi. Bagaimanapun, anda haruslah peka terma dan syarat pilihan itu serta pilihan lain yang ada.

Apakah pilihan yang ada?

Fasal ini dimasukkan dalam polisi insurans hayat anda yang dinamakan fasal Opsyen Tidak Lucut Hak (NFO) yang bermaksud anda dibenarkan berhenti membayar premium dan tidak kehilangan sebarang ekuiti/nilai dalam polisi. Fasal ini dimasukkan untuk melindungi anda sebagai pemegang polisi, jadi jika polisi anda berdepan risiko luput, syarikat insurans dikehendaki memberikan anda empat pilihan berikut:

1. Memilih Pinjaman Premium Automatik (APL) jika tiada arahan lanjut

2. Menukar polisi anda kepada Insurans Berbayar Terkurang (RPU)

3. Menukar polisi anda kepada Insurans Sementara Lanjutan (ETI)

4. Menyerah polisi anda untuk nilai tunainya tetapi anda tiada perlindungan lagi (tidak digalakkan)

Apakah akibatnya membenarkan polisi saya menggunakan Pinjaman Premium Automatik (APL)?

Ini pilihan yang ditetapkan jika anda tidak memilih manamana NFO. APL ialah apabila syarikat insurans memberikan pinjaman daripada nilai tunai anda untuk terus membayar polisi anda bagi memastikan terus `hidup.' Ini mungkin memberi anda sedikit kelegaan tetapi perlu ingat bahawa pinjaman yang diberikan kepada anda itu dikenakan faedah. Kadar faedahnya ditentukan penanggung insurans (biasanya di antara 68 peratus) tetapi boleh berubah dari setahun ke setahun. Walaupun anda boleh terus menikmati perlindungan sepenuhnya daripada semua manfaat polisi semasa anda, manfaat itu akan dikurangkan oleh jumlah atau amaun pinjaman tertunggak berserta semua caj faedah yang dikenakan kemudian jika ia masih tertunggak. Ini akan mengurangkan amaun manfaat kepada ahli keluarga anda dan oleh itu lebih baik jika anda membayar balik pinjaman polisi anda sebaik saja kedudukan kewangan anda mengizinkan.

Apakah kesan menukar polisi anda kepada Insurans Berbayar Terkurang (RPU)?

Ia merujuk tindakan anda melepaskan nilai muka semasa (jumlah asas diinsuranskan) polisi dan menggunakan nilai tunai membeli amaun muka lebih rendah tanpa perlu lagi membayar premium masa depan.


Jika anda mengambil pilihan ini:

* Semua rider yang dilampirkan pada polisi asal anda seperti perubatan dan kesihatan, penyakit kritikal, kemalangan diri dan sebagainya akan dibatalkan;

* Anda tidak layak menerima sebarang dividen/bonus yang mungkin diisytiharkan oleh syarikat insurans;

* Anda mungkin dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan jika anda berhasrat untuk menukar polisi kepada terma dan syarat asalnya dan membayar semua premium yang tertunggak;

* Anda mungkin tidak dapat mengembalikan semula atau berbalik kepada pelan insurans hayat anda yang asal.

Apakah akibat menukar polisi anda kepada Insurans Sementara Lanjutan (ETI)?

Ia merujuk keadaan yang mana amaun muka atau jumlah asas diinsuranskan dalam polisi anda tetap sama, tetapi anda menggunakan nilai tunai anda untuk membeli polisi sementara. Tempoh insurans bergantung pada amaun Nilai Tunai yang akan digunakan untuk membeli insurans sementara pada umur tercapai anda berdasarkan tarikh genap tempoh premium yang gagal dibayar. Kesannya sama seperti pilihan RPU.

Apakah akibat menyerah polisi anda untuk nilai tunainya?

Ini jalan terakhir kerana menyebabkan anda kehilangan perlindungan. Amaun yang mungkin anda terima apabila anda menyerah polisi anda sebelum masanya adalah jauh kurang daripada premium yang anda bayar dan seelok-eloknya anda mempertimbangkan tiga pilihan yang dinyatakan di atas.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Oct 30, 2011 - 008 - Rona

No comments: