Friday, October 21, 2011

Bila bayi banyak ragam

SIANG si kecil sihat, tidak banyak kerenah dan sesekali mengukir senyuman ketika diagah-agah. Namun demikian, menjelang malam hingga menjengah dinihari, lain pula halnya. Dia mula menangis tanpa henti, seolah-olah menahan kesakitan dengan perutnya tegang dan sedikit buncit.

Puas dipujuk dan perutnya disapu ubat tetapi semua itu tidak mampu menghentikan tangisan si bayi, malah sesekali kedengaran semakin kuat hingga membuatkan ibu pening kepala. Jika gejala itu berlaku pada bayi anda, ia mungkin disebabkan kembung perut.

Perunding pakar kanak-kanak Hospital Pantai Cheras, Dr Yeoh Seen Hun, berkata masalah kembung perut berpunca pelbagai sebab bergantung usia sama ada bayi atau kanak-kanak.

Ibu menyusu bayi harus mengelak pengambilan makanan tertentu kerana boleh menyebabkan bayi kembung perut. Antara makanan yang boleh menyebabkan masalah itu ialah yang terlalu pedas, minuman mengandungi kafein seperti kopi dan teh, makanan menghasilkan gas seperti brokoli, kubis dan kubis bunga serta bahan tenusu seperti keju, susu dan yogurt.

"Susu ibu terhasil daripada makanan yang diambil. Oleh itu, ibu harus mengambil makanan berkhasiat dan tidak memberi kesan sampingan kepada bayi," katanya.

Menurutnya, gejala kembung perut boleh dikesan jika bayi menangis berterusan dan lebih keras hingga kadangkala mengangkat kedua-dua kaki ke perut serta muka kemerahan.

Apapun, perlu dipastikan bayi menangis bukan disebabkan perkara lain seperti panas, sejuk, lapar, ketidakselesaan kerana lampin kotor atau sekadar inginkan perhatian.

"Kolik ialah sebahagian masalah kembung perut yang biasa terjadi pada bayi baru lahir hingga dua bulan. Ia sakit perut disebabkan pengecutan otot perut, iaitu sistem penghadaman bayi belum matang serta mengeluarkan banyak gas yang mengakibatkan kembung perut," katanya.

Masalah kolik juga disebabkan susu formula tidak sesuai dengan bayi, kerana alahan kepada susu lembu boleh mengakibatkan timbul ruam, muntah, cirit-birit atau kembung perut.

Bagi mengatasi masalah alahan, ibu perlu menukar kepada susu formula lain.

"Sebilangan ibu risau jika anak mereka mengalami ketidakselesaan seperti mengerang atau merengek, manakala perutnya buncit seolah-olah mengalami kembung. Penyakit ini biasanya sembuh sendiri tanpa rawatan tetapi sangat mengganggu. Keadaan lazim menyebabkan kembung perut dan kolik di kalangan bayi ialah ibu tidak sendawakan bayi selepas menyusu.

"Bayi akan turut menelan udara ketika menyusu, sebab itu menepuk belakang badan bayi untuk mengeluarkan angin amalan penting.

"Selain itu, kedudukan botol susu yang tidak betul ketika bayi menyusu serta lubang puting terlalu kecil akan menyebabkan bayi menelan banyak udara disebabkan menghisap dengan kuat kerana tidak sabar," katanya.

Daripada 10 bayi, tiga mungkin mengalami masalah kembung perut. Kebanyakan kes dianggap ringan dan tidak memerlukan rawatan khas, manakala sebahagian pesakit perlu menukar susu atau mengambil sirap mengatasi kolik.

Sementara itu, bagi kanak-kanak, perkara paling lazim menyebabkan kembung perut ialah sembelit. Ini berpunca daripada kurang pengambilan serat dalam diet mereka serta kurang minum air.

Pengambilan buahan seperti betik dan prun selain roti dan biskut serat tinggi baik untuk mengatasi masalah sembelit. Berikan juga jus serta buah yang dikisar kepada kanak-kanak untuk diminum bagi melawaskan pembuangan air besar.

Masalah ini berlaku pada kanak-kanak usia satu hingga empat tahun disebabkan cuma makan makanan tertentu serta terlalu banyak mengambil makanan ringan mengandungi banyak garam dan bahan perasa hingga tidak gemar makanan sihat tetapi kurang enak.

Makanan berlemak dan berminyak juga menyebabkan proses penghadaman perlahan, manakala makanan tertentu boleh mengeluarkan banyak gas yang mengakibatkan kembung perut seperti kacang, bahan tenusu dan aiskrim.

Gula getah dan gula kenyal turut mengakibatkan seseorang menelan banyak udara yang mengakibatkan kembung perut.

Sumber: Metro Ahad - Sun, Oct 9, 2011 - 003 - Sihat - Oleh Norainon Othman

No comments: