Tuesday, October 18, 2011

Gazebo polikarbonat

ANDA pasti tidak akan menyesal jika membina gazebo atau wakaf untuk laman kediaman kerana ia akan meningkatkan nilai rumah. Jika anda terfikir mahu menjual atau menyewakan kediaman pada masa depan, gazebo mungkin menjadi sebab untuk meningkatkan kadar sewa atau harga jualan.

Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kebijaksanaan anda menyesuaikan lokasi struktur itu di laman. andai tersilap atau kedudukannya tidak sesuai, ia tidak akan memberi nilai tambah atau impak estetika pada laman kediaman anda.

Jadi untuk mendapatkan pulangan maksimum daripada pelaburan membina gazebo itu, sewajarnya anda mendapatkan pandangan pakar supaya struktur yang dibina itu nampak secocok dan berfungsi, bukan saja menambah keindahan kediaman tetapi juga menjadi tempat teduhan dan ruang berehat kala senggang dan hujung minggu.

Boleh didapati dalam pelbagai saiz, reka bentuk dan penggunaan material yang bergantung pada pilihan pemilik kediaman, gazebo juga kini boleh digabungkan dengan beberapa jenis bumbung atau atap yang sesuai dengan jenis rumah.

Terbaru di pasaran, gazebo bumbung polikarbonat yang mendapat permintaan ramai dan boleh diperoleh dalam pelbagai warna menarik.

Apakah bumbung polikarbonat? Sebelum memahami bumbung jenis ini, kita perlu tahu dulu apa itu polikarbonat. Ia adalah sebatian bahan plastik yang diperbuat daripada resin atau biji plastik yang diproses menjadi pelbagai produk, termasuk bumbung.

Polikarbonat yang dijadikan bumbung biasanya daripada jenis plastik nipis yang lazim digunakan sebagai bahan binaan untuk perumahan. Selain bumbung, bahan ini juga digunakan sebagai cermin kediaman, sengkuap dan lantai, namun masih tidak dieksploitasi sepenuhnya .

Walaupun dihasilkan melalui bahan sintetik, bumbung polikarbonat mesra pengguna dan alam kerana teknologi memantulkan habanya membenarkan cahaya melalui plat di samping menghalang masuk cahaya infra merah sehingga 99.9 peratus yang boleh membahayakan kesihatan.

Dengan itu, ia menjimatkan tenaga elektrik kerana tidak perlukan bantuan lampu untuk menerangkan ruang di bawah gazebo pada waktu siang.

Bumbung jenis ini juga menjanjikan pemandangan lebih menarik sepanjang hari, tidak menghalang pandangan ke arah awan dan langit biru manakala ketika hujan, boleh melihat titisan air yang jatuh `cantik' menimpanya.

Gabungan bumbung polikarbonat boleh disesuaikan dengan pelbagai bahan binaan seperti kayu, besi, keluli dan konkrit. Selain mudah dipasang, bumbung jenis ini juga murah, sekali gus mampu dimiliki semua orang.

Menariknya, bumbung polikarbonat selamat kerana tidak mudah pecah apabila terkena batu, bola lisut atau bahan berat lain berbanding bumbung kaca yang berisiko lebih tinggi.

Bagi kawasan kediaman dengan laman luas, pembinaan gazebo boleh dipadankan dengan manamana ruang, sama ada di belakang, tepi atau depan kediaman. Pada asasnya, kawasan yang dipilih perlu menyerlahkan gazebo sebagai tarikan atau titik tumpu laman sesuai dengan konsep laman dan gaya hidup pemilik kediaman.

INFO

Pilihan bahan

* Sebelum mengambil keputusan meletakkan gazebo atau wakaf di laman, tetapkan dulu bahan binaan yang mahu digunakan sama ada kayu sepenuhnya, gabungan besi keluli, gabungan konkrit dan kayu atau besi dan konkrit.

* Biasanya bagi gazebo, kontraktor akan menggunakan kayu tradisional jika tidak boleh menggunakan keluli.

* Walaupun kayu mempunyai nilai estetika yang bagus, perlu diingat jika dibandingkan dengan keluli, kayu memerlukan lebih banyak penyelenggaraan.

Jika anda mahukan gazebo kayu, jangan harap ia mampu bertahan sepanjang hayat.

* Keluli jenis zincalume boleh didapati dalam pelbagai warna. Dapatkan bantuan kedai pembinaan untuk memilih keluli yang sesuai. Namun jika memilih zincalume, ia bukan saja menambah kecantikan struktur gazebo, malah tahan lama, selamat dan kuat.

* Zincalume juga ringan, memberikan kekuatan dan fleksibiliti yang diperlukan untuk membina gazebo dalam semua saiz. Ada 20 jenis keluli jenis ini yang boleh disesuaikan dengan rumah serta persekitaran kediaman dan ia biasanya dijamin berdaya tahan 10 hingga 25 tahun, tertakluk kepada penggunaan dan pengaruh unsur semula jadi.

* Selain polikarbonat, atap jenis lalang, rumbia, genting dan zink juga boleh digunakan sebagai bumbung gazebo, bergantung kepada pilihan, konsep laman dan kesesuaiannya dengan jenis kediaman.

Sumber: Berita Minggu - Sun, Oct 9, 2011 - Rona - Oleh Rohaniza Idris

No comments: