Friday, September 16, 2011

Gabungan moden, tradisional


MENARA Petronas atau Menara Berkembar Petronas adalah ikon baru Malaysia dan simbol generasi masa hadapan.

Bangunan itu mempunyai ciri moden selain seni tradisional dan keindahan kraf yang diselitkan menjadikannya sebuah bangunan yang mempunyai personaliti Malaysia.

Bangunan antara tertinggi di dunia itu direka arkitek Argentina, Cesar Pelli dan Djay Cerico.

Pembinaan menara 88 tingkat itu dianggap bandar dalam bandar yang dibangunkan di atas 26 hektar tanah. Ia menyediakan 560,000 meter persegi ruang pejabat manakala di bawah menara terletaknya pusat beli-belah Suria KLCC dan Dewan Filharmonik Petronas.

Suria KLCC

Suria KLCC di Menara Berkembar Petronas adalah sebuah pusat beli-belah ternama di Kuala Lumpur.

Mempunyai enam tingkat berbentuk bulan sabit dengan penyewa utama seperti Isetan, Parkson Grand, Cold Storage, Tanjong Golden Village dan Marks & Spencer.

Taman KLCC

Ia dibuka untuk orang awam memberi kehijauan kepada Menara Berkembar Petronas dan kawasan sekitarnya menerusi kolam air pancut, kolam randuk, taman permainan kanak-kanak, Masjid As-Syakirin dan trek joging sepanjang 1.3 kilometer.

Reka bentuk diilhamkan Roberto Burle Marx untuk mempamerkan warisan kehijauan tropika dengan menyepadukan ciptaan manusia dan alam semula jadi.

Sebagai pemuliharaan dan kepelbagaian benda hidup di taman ini, 23 spesimen jarang ditemui diselamatkan daripada bekas Kelab Lumba Kuda Selangor lalu dipindahkan ke taman. Ia memiliki 1,900 pokok asal dan 66 spesies palma.

Tasik Simponi berukuran 10,000 meter persegi adalah tasik buatan manusia yang dibina di tengah taman berhadapan pusat beli-belah Menara Petronas direntasi sebuah jambatan berukuran 43 meter.

Skybridge (Jejantas udara dua tingkat)

Menara Petronas mempunyai 'skybridge' yang menghubungkan dua menara di aras 41 dan 42 (ruang legar udara).

Jejantas udara itu mempunyai ketinggian 170 meter dari aras tanah, 58.4 meter panjang dan beratnya mencapai 750 tan.

Hanya aras 41 dan 86 dibuka kepada pengunjung melalui tiket yang diedarkan setiap hari dari jam 8.30 pagi tetapi terhad antara 1,000 ke 1,500 dan diberikan atas dasar pelawat yang cepat didahulukan. Untuk pakej 1 (Skybridge), tiket berharga RM3 manakala pakej 2 (Skybridge dan Dek Pemerhatian) tiketnya berharga RM20.

Dek Pemerhatian di aras 86 pula membolehkan pelancong melihat keseluruhan wajah Kuala Lumpur menerusi teropong yang disediakan.

Petrosains

Terletak di aras empat Suria KLCC, Petrosains adalah sebuah galeri penerokaan sains interaktif bagi semua lapisan umur.

Bagi membolehkan pelajar memahami penggunaan sains dalam kehidupan seharian, interaksi sains dengan pancaindera (lihat, dengar, sentuh dan hidu) digunakan sepenuhnya sewaktu lawatan.

Jumlah 1,500 ke 2,000 tiket diedarkan sehari. Harga tiket dijual mengikut umur dari RM15 hingga RM5 manakala pakej keluarga berharga RM30.

Aquaria

Terletak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Aquaria adalah akuarium bertaraf dunia yang mempamerkan pelbagai hidupan marin yang berbeza dari seluruh dunia.

Aquaria menyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya Piranha Tank iaitu pameran ikan karnivor dari Sungai Amazon dan DNA Touch Pool yang memberi peluang kepada pengunjung menyentuh makhluk unik seperti yu pasir, belangkas, tapak sulaiman dan gamat.

Dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam, Aquaria menawarkan tiket berharga RM68 (dewasa) dan RM45 (kanak-kanak) bagi pakej Aquaria + Aquazone (Fish Spa).

Bagaimana ke sini

Menara Petronas boleh diakses dari KL Sentral dengan Kelana Jaya LRT di Stesen KLCC.

Diakses dari tiga jalan utama iaitu Jalan Ampang, Jalan P Ramlee dan Jalan Kia Peng.

Mempunyai perhentian teksi, perhentian bas dan lebih 5,000 tempat letak kereta berbumbung.

Juga dihubungkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur melalui KL Sentral.

Lokasi

Menara Berkembar Petronas

50088 Kuala Lumpur

Malaysia

Tel: +603-23315000

Web: www.petronastwintowers.com.my


Info

* Perancangan projek bermula pada Januari 1992 dan dirasmikan pada 31 Ogos 1999 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

* Menara Petronas adalah bangunan tertinggi di dunia pada 1998 hingga 2004 apabila terdirinya bangunan Taipei 101 di Taiwan.

* Menara 1 dibina konsortium Jepun yang diketuai Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina

Samsung C&T dan Pembinaan & Kejuruteraan Kukdong, kedua-duanya kontraktor Korea Selatan.

* Mengikut statistik, Menara Petronas menerima hampir 26,000 kunjungan pelancong dalam dan luar negara setiap bulan.


Harian Metro - Thu, Sep 15, 2011 - 002 - A-All - Variasi - Oleh Siti Salmiah A Hamid - 629

No comments: