Friday, September 16, 2011

Khasiat menu durian

Fuh! isi kuning tuuu...

DURIAN, buah tropika yang berasal dari Asia Tenggara yang isinya manis, lembut dan aromanya yang enak. Ia menjadi kegilaan peminat buah-buahan tempatan yang sentiasa menantikan kedatangan musimnya saban tahun.

Raja buah ini juga dikatakan sedap dan berkhasiat dimakan sebaik saja buahnya gugur sehingga empat hari kerana itu menandakan buahnya sudah masak dan tidak perlu dijolok, manakala kualiti rasanya akan berkurangan seminggu selepas gugur.

Selain rasanya yang sedap, durian juga antara buah-buahan tempatan yang memiliki banyak khasiatnya. Ia mengandungi phytonutrien dan antioksidan tinggi yang dapat menurunkan kadar kolesterol dan membersihkan darah.

Kajian mendapati durian berpotensi mengelakkan jangkitan kulat kerana kandungan zat besi yang tinggi membantu sel darah putih menghasilkan kimia semula jadi untuk membunuh jangkitan.

Tidak hairanlah ramai peminat durian tidak mahu melepaskan peluang menikmati sepuas-puasnya kerana ia lengkap dari segi rasa dan khasiatnya.

Menurut Chef Shamsul Rizal dari The Royal Chulan Kuala Lumpur, beliau berkata isi durian ini boleh dipelbagaikan untuk dijadikan suatu jenis juadah menu yang sedap dan lazat. Ia juga boleh dijadikan tempoyak sebagai pes.

Selain itu, isi durian ini boleh juga diubah untuk dijadikan bubur, wafle durian, kek durian, krim kek, jemput-jemput durian, aiskrim durian, roti durian dan sebagainya yang sesuai dengan cita rasa ramai.

Namun, keistimewaan berbanding dengan buahan tempatan yang lain kerana ia tidak boleh dimasak atau dicampur bersama buah lain disebabkan aromanya mampu menenggelamkan rasa sebenar buah berkenaan.

Oleh itu, menu yang diberikan ini sesuai disediakan untuk juadah minum petang dan memenuhi cita rasa pelbagai masyarakat di negara ini. Selamat mencuba!

Panduan memilih durian yang baik 

* Tengok luaran kulit durian. Jangan pilih kulit yang ada kesan gigitan tupai, merekah atau kulitnya ada tompokan hitam kerana ia sudah busuk.

* Tengok duri durian. Cari buah yang berduri tumpul dan jarang.

* Cuba rasa berat buah durian. Kalau terlalu ringan dibandingkan dengan saiznya, mungkin itu durian lama. Cari durian yang mampat dan dirasakan beratnya sepadan dengan saiznya.

* Tengok tangkai durian. Jika tangkai berwarna coklat, kecut, kering berkemungkinan ia sudah lama gugur. Cari yang berlendir dan berwarna hijau. Ada juga durian yang tangkainya jenis liat dan teguh. Biasanya isi buahnya memang lebih sedap dan manis daripada biasa.

* Cium bau durian. Selalunya kalau durian yang cukup matang dan sedap, baunya pasti harum semerbak dan rasa begitu menyelerakan.

Khasiat durian 

* Mengatasi sembelit kerana ia mengandungi banyak serat.

* Mengatasi anemia kerana mengandungi folat atau Vitamin B9 yang boleh menghasilkan sel darah merah.

* Menjaga kesihatan kulit kerana mengandungi Vitamin C yang berfungsi sebagai antioksidan dan antipenuaan.

* Mengandungi banyak potasium atau kalsium sehingga baik untuk kesihatan tulang dan sendi.

* Mengatasi migrain kerana mengandungi riboflavin atau Vitamin B2.

* Meredakan tekanan kerana mengandungi Vitamin B6 atau piridoksin.

* Menjaga kesihatan gigi dan mulut kerana mengandungi posphor.

Resipi 
 
Durian tart lembut 
Bahan:

* 120gm gula icing
* 120gm tepung gandum
* 30gm badam hancur
* 1 biji telur
* 50gm butter

Cara menyediakannya:

1. Campurkan butter bersama gula icing ke dalam mesin pemutar doh sehinggakembang,kemudian masukkan telurdan putarsehingga sebati.
2. Masukkan tepung dan badam hancur, gaul sehingga menjadi doh.
3. Tekap ke dalam acuan tart, simpan di dalam peti sejuk.
4. Keluar dan bakar dengan suhu 180 darjah selama 15 minit dan sejukkan.

Inti durian

Bahan:

* 350gm isi durian
* 250gm susu
* 200gm krim
* 50gm gula pasir
* 5 biji kuning telur
* 5gm esen vanila

Cara menyediakannya:

1. Masak isi durian sehingga menjadi paste.
2. Kemudian masukkan susu dan krim, didihkan dengan api yang perlahan.
3. Masukkan kuning telur dan esen vanila. Gaul sehingga sebati dan menjadi inti.
4. Tuang inti ke dalam kulit tart tadi, bakar dengan suhu 180 darjah selama 15 minit.
5. Sejukkan dan keluarkan dari acuan dan sedia untuk dihidang.

Resipi 

Serawa durian santan kelapa muda bersagu 
Bahan-bahan

* 500gm isi durian (dua biji durian seberat 3kg)
* 110gm gula pasir
* 150gm gula melaka
* 1 liter santan kelapa
* 10gm garam bukit
* 230gm sagu mata ikan
* 500gm air
* 4 helai daun pandan

Cara menyediakannya:

1. Masak sagu bersama air sehingga kembang dan toskan.

2. Masukkan setengah santan ke dalam periuk tanah bersama 150gm air, masak dengan api yang perlahan sehingga mendidih.

3. Kemudian masukkan isi durian ke dalam santan tadi dan masak sehingga pekat.

4. Selepas itu masukkan sagu yang direbus tadi ke dalam bersama garam, daun pandan dan masukkan setengah lagi santan sehingga habis.

5. Masak sehingga menjadi pekat dan sedia dihidangkan bersama pulut lemak atau pulut tawar dan roti banggali.

Nota: Jangan menggunakan api yang kuat kerana ia boleh menyebabkan pecah minyak.
Bubur kacang hijau bersama durian

Bahan-bahan

* 500gm isi durian (dua biji durian seberat 3kg)

* 510gm kacang hijau

* 250gm gula kabung

* 100gm gula merah hancur

* 200gm sagu mata ikan

* 1.5 liter santan kelapa

* 1 liter air

* 4 helai daun pandan

* 15gm garam bukit

* 100gm halia muda

Cara menyediakannya

1. Rebus kacang hijau bersama air sehingga kembang dan masukkan daun pandan.

2. Kemudian rendam sagu bersama air sehingga kembang, masukkan sekali ke dalam kacang yang sudah direbus tadi.

3. Kemudian masukkan gula kabung dan gula merah tadi bersama. Masak sehingga gula tadi hancur.

4. Seterusnya masukkan isi durian bersama bijinya sekali. Didihkan sehingga pekat.

5. Kemudian masukkan santan, didih sehingga betulbetul masak dengan api yang perlahan.

6. Buang biji tadi dan sedia dihidang.


Sumber: Berita Harian - Hip
Oleh Saadiah Ismail

No comments: