Friday, July 1, 2011

Kerusi zon kediaman

SATU kesilapan besar meletakkan kerusi bersaiz besar di pangsapuri kecil kerana menyebabkan ruang nampak sempit. Lagipun, anda pasti kekok dan kurang selesa duduk di kerusi berkenaan yang berkemungkinan besar di ceruk ruang atau berhimpit dengan perabot lain.

Namun, tidak dinafikan kerusi itu memberi keselesaan kerana berfungsi menyokong bahagian leher serta tulang belakang dan sebaiknya disertai dengan bangku ottoman buat melapik kaki. Yang nyata, kerusi itu menyerlahkan cita rasa klasik lagi eksklusif.

Apapun, di pasaran ditawarkan pelbagai reka bentuk dan jenis kerusi merujuk fungsi dan keperluan.

Antaranya direka khas bagi:

* Wanita mengandung dan menyusukan anak

Bangku berukuran lebar sesuai kegunaan dijamin memberi keselesaan buat wanita berkenaan terutama ketika memangku bayi.

Disyorkan juga membeli kerusi goyang kerana dikatakan berupaya membantu ibu menidurkan bayi. Hayunan kerusi membuatkan bayi seolah berada di dalam buaian bergoncang.

* Kemesraan pasangan berkahwin

Tiada yang lebih romantik dan membahagiakan melainkan bersantai bersama di sofa bersaiz dempak.

Sebaiknya pilih dalam kalangan tiga tempat duduk yang lasak material dan kukuh dari segi pembuatan.

* Kanak-kanak

Memadai disediakan bangku kekacang dan sebarang bangku menawarkan tempat duduk rata.

Namun, yang lelaki mungkin dibelikan bangku menampilkan reka bentuk serta corak kereta dan bola sepak manakala anak perempuan menggemari warna merah jambu bertemakan dunia fantasi seperti pari-pari, kuda terbang dan sebagainya.

* Jenis kerusi besar

Masalah timbul sekiranya ada kalangan keluarga dan rakan mempunyai berat badan berlebihan. Arahan melarang duduk mudah dikeluarkan apabila membabitkan keluarga namun tidak manis dituturkan kepada tetamu. Cara menanganinya adalah dengan menyediakan kerusi bersaiz besar serta selesa yang boleh menampung berat tubuh mereka.

Sekiranya, tidak berhadapan isu ruang terhad, jangan hadkan pilihan kepada yang bersaiz besar saja sebaliknya kenal pasti rekaan sesuai dengan tema kediaman. Disyorkan dibeli sepasang untuk menyediakan kemudahan istirahat selesa bagi anda serta pasangan.

Bangku berlengan, kerusi malas dan cleopatra antara dikategorikan sebagai kerusi bersaiz besar. Ukurannya saja memenuhi penjuru serta mengambil separuh ruang sebab itu sebelum membeli sebarang kerusi seumpamanya disarankan kenal pasti dulu karakter dan keperluan ruang, misalnya;

Bangku kekacang saiz XXL misalnya, lebih sesuai ditempatkan di bilik anak remaja untuk mereka duduk sambil membaca, menonton televisyen, bermain permainan video dan berbual di telefon. Kelebihannya ialah ia mudah dialihkan ke sebarang tempat mengikut keselesaan dan kesukaan mereka.

Kebanyakan kerusi antik direka dengan saiz besar namun diakui memberi kelegaan duduk sebaik pulang kerja, membaca novel bahkan pada waktu pagi, duduk sebentar di situ menyarungkan kasut.

Apabila tiba ketika mengganti upholsteri (kain dan perkakasan), mereka yang menyukai gaya feminin, rekaan dengan rumbai mungkin memenuhi cita rasa.

Kerusi Queen Anne pula mampu mengubah wajah ruang dan lama-kelamaan bakal menjadi kerusi kesayangan anda.

Apapun, kenal pasti watak serta kemampuan ruang sebelum membuat keputusan menggunakan kerusi besar. Ini penting bagi mengelakkan ruang menjadi sesak dan melemaskan terutama kediaman kecil yang pastinya memerlukan perancangan teliti dari segi pilihan perabot, kemasan dan aksesori.

Sumber: Berita Minggu - Sun, May 1, 2011 - BM Dua
Oleh Bennie Zie Fauzi

No comments: