Tuesday, July 5, 2011

Istilah pergigian:

* Plak (plaque): selaput lembut pada gigi yang terbentuk pada permukaan gig setiap hari

* Karang gigi (calculus/tartar): plak yang menjadi keras akibat tidak dibersihkan setiap hari

* Cuci gigi (scaling): Pembersihan karang dan plak dari permukaan gigi dengan satu alat yang bergetar dan mengeluarkan banyak air

* Karies (caries): permukaan gigi yang berlubang atau bertukar warna akibat rembesan asid daripada kuman yang bertindak balas dengan makanan

* Amalgam: tampalan berwarna perak

* Komposit (composite): tampalan yang berwarna seperti gigi anda

* Dressing: tampalan sementara yang dibuat jika karies terlampau dalam dan gigi anda sakit

* Rawatan saraf atau akar (Root canal treatment): Pembuangan seluruh saraf di dalam akar gigi yang dijangkiti kuman atau mati

* Rawatan saraf separuh (pulpotomy): Pembuangan bahagian atas saraf anda yang dijangkiti kuman tanpa membuang semua saraf gigi

* Korona gigi (crown): Sarung gigi diperbuat daripada porselin yang disimen pada gigi yang dikecilkan

* Jambatan gigi (bridge): tiga atau lebih korona gigi bersambung yang digunakan untuk menggantikan gigi yang hilang

* Pendakap gigi (braces): sejenis peralatan besi kecil yang dilekatkan pada gigi untuk memperbetulkan kedudukan gigi supaya menjadi teratur

* Tanam gigi (implant): skru yang dipasang pada tulang rahang bagi menggantikan akar gigi yang hilang supaya korona gigi (crown) boleh diletak bagi menggantikan gigi yang hilang

* Halitosis: Bau mulut yang terhasil apabila gigi dan lidah tidak dibersihkan dengan sempurna. Ia juga boleh terjadi jika seseorang mengalami kekurangan air liur

SOALAN LAZIM:

Mengapakah masih ada gigi rosak walaupun berus gigi setiap hari?

Kemungkinan besar cara memberus gigi tidak betul dan plak tidak dibersihkan dengan sempurna, menyebabkan kuman merembeskan asid yang membuat gigi berlubang

Kenapa gigi saya sensitif apabila minum air sejuk atau terkena angin?

Ada beberapa sebab gigi menjadi sensitif. Antaranya:

* Wujud hakisan pada gigi akibat teknik berus gigi yang kuat menggunakan berus gigi keras

* Akar gigi terdedah akibat gusi menurun

* Tampalan pada gigi bocor

* Gigi mempunyai karies (berlubang)

Adakah gigi menjadi nipis jika melakukan cucian gigi kerap?

Tidak. Cucian gigi hanya membuang plak dan karang gigi yang melekat di permukaan gigi dengan cara getaran dan gigi tidak boleh terhakis dengan cara ini

Mengapa perlu berjumpa doktor walau tidak sakit gigi?

Berjumpa doktor gigi bukan hanya apabila bermasalah tetapi untuk mengelak masalah gigi. Jika patuhi saranan, pasti gigi bertahan sampai bila-bila

Berapa kerap perlu berjumpa doktor gigi?

Tempoh disaran ialah sekali setiap enam bulan tetapi seeloknya bergantung kepada keadaan gigi. Jika tiada masalah gigi yang teruk, tempoh itu memadai

Bolehkah gigi yang bergoyang kuat semula?

Tidak boleh. Gigi bergoyang kerana tulang yang mencengkam gigi diserap dan hilang sedikit demi sedikit. Tulang gigi tidak boleh tumbuh semula apabila diserap, sama seperti gusi

Adakah gigi yang sakit perlu dicabut?

Tidak semestinya. Ada pelbagai pilihan lain untuk rawatan gigi sakit seperti tampalan sementara, tampalan kekal, rawatan saraf separa, rawatan saraf penuh atau cucian gigi, bergantung kepada keadaan gigi

Bolehkah berjumpa doktor gigi sewaktu mengandung?

Wanita hamil sewajarnya berjumpa doktor gigi kerana berikutan perubahan hormon, gusi ibu mengandung terdedah kepada radang gusi (gingivitis) yang menyebabkan gusi mudah berdarah dan bengkak. Masalah ini dapat diatasi jika penjagaan gigi dan pembersihan mulut dilakukan doktor

Bolehkah mencabut gigi ketika mengandung?

Boleh tetapi hanya pada usia kandungan empat hingga enam bulan. Pada awal dan akhir kandungan, tidak digalakkan mencabut kerana berisiko tinggi kepada kandungan

Kenapa mulut atau nafas berbau?

Sebab utama mulut seseorang berbau ialah banyak karang gigi dan plak pada permukaan gigi. Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah. Antara sebab lain ialah seseorang yang mempunyai air liur sedikit akibat penyakit atau pemakanan ubat. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus betul, selain penggunaan ubat kumur. Bagi yang ada masalah kekurangan air liur, mengunyah gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah ini

Kenapa gigi tidak putih?

Kebanyakan warna gigi asli ialah putih kekuningan. Biasanya gigi berwarna sedikit kekuningan pada leher berdekatan gusi kerana lapisan luar di situ lebih nipis berbanding bahagian lain.

Ada beberapa sebab mengapa sesetengah orang mempunyai gigi yang sangat kuning atau coklat seperti:

* Kesan sampingan ubat antibiotik tetracycline yang diambil oleh ibu sewaktu mengandung

* Kesan flurosis (terlebih florida)

* Kesan kerap menghisap rokok

* Kesan kerap meminum teh dan kopi atau minuman seumpamanya

Adakah selamat menggunakan pemutih gigi?

Sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor gigi sebelum menggunakan ubat pemutih gigi. Ada pelbagai jenis pemutih gigi di pasaran dan antara kesan sampingannya ialah gigi menjadi sensitif

No comments: