Saturday, June 25, 2011

Derita tarik mengkarung

HANYA mereka yang pernah merasai pengalaman mengalami Simpul Biawak atau Tarik Mengkarung tahu betapa sakitnya jika diserang masalah itu. Apa juga reaksi spontannya - menjerit, meraung dan menangis kesakitan, hakikatnya ia tidak mungkin melenyapkan masalah itu sekelip mata. Ya, ia hilang selepas itu, tetapi ia bukanlah kesakitan terakhir kerana lazimnya trauma itu akan berulang lagi.

Itulah penderitaan dialami ibu beranak dua, Mas Turah Alwi, yang baru berusia 33 tahun. Mengimbas kembali pengalaman setiap kali mengalami Simpul Biawak atau Tarik Mengkarung sewaktu hamil anak kedua, Ian Sufi yang kini mencecah usia 14 bulan, sememangnya satu pengalaman yang cukup memeritkan buatnya.

Malangnya, masalah yang kemudian disahkan sebagai vericose veins atau vena varikos yang disangka bersifat sementara dan akan berakhir sebaik bersalin, rupanya hanya permulaan kepada kesan yang lebih serius buat ibu dua cahaya mata ini. Hidupnya jadi sengsara. Penderitaan dan kesakitan yang dialaminya berpanjangan.

Sepanjang kehamilan, Mas Turah yang juga pegawai di sebuah institusi kewangan mengakui banyak berdiri dan berjalan sepanjang lapan jam bertugas, sehari. Sudah nama pun bidang tugasnya sebegitu, Mas Turah akur akur dengan keperluan untuknya bertemu dengan pelanggan dan bergerak aktif di dewan perbankan.

Mas Turah juga tidak pernah merungut kerana pada kesudahannya, apa yang lebih penting adalah mampu bekerja.

"Boleh dikatakan 80 peratus daripada masa bertugas, memerlukan saya untuk berdiri atau bergerak.

"Namun, lama kelamaan, semakin usia kehamilan meningkat kepada enam bulan, saya mula merasa gejala seperti berat di bahagian pangkal kaki sehingga urat-urat berwarna biru dan kehijauan yang kelihatan hodoh menjalar dari pangkal peha hingga ke betis," katanya ketika ditemui, baru- baru ini.

Memikirkannya sekadar gejala sewaktu kehamilan, Mas Turah hanya membiarkannya dengan harapan kesengsaraan itu sebahagian masalah lazim wanita hamil biarpun tidak mengalaminya ketika mengandung anak sulung.

Namun, hatinya mula berasa tidak senang dan mengesyaki ini bukan masalah biasa apabila dirinya sering mengalami kekejangan dan tidak mampu berjalan seperti biasa. Malah, terpaksa pula berjengket.

"Apabila saya mengadu dengan pakar perbidanan ketika pemeriksaan bulanan, dia menyarankan saya memakai stoking nilon. Masalahnya dalam cuaca yang panas dan lembap ini, kaki lebih cepat berpeluh dan mudah gatal menjadikan keadaan menjadi bertambah teruk," katanya.

Dan, selepas setahun, keadaan menjadi lebih teruk bukan saja dari segi kosmetik yang tidak menyenangkan mata memandang, lutut sering sakit dan timbul seperti pecah darah pada urat termasuk kejang yang berpanjangan.

Urat semakin membengkak, sakit, susah berjalan sehingga memberi kesan pada lutut dan kaki menjadi cepat letih. Tidak pernah terfikir dia sebenarnya mengalami Varicose Vein sehingga seorang pelanggan yang juga seorang penerbit, menghadiahkan sebuah buku mengenainya.

Lebih mengejutkannya, sebaik berjumpa pakar bedah vaskular, keadaannya didiagnos sebagai serius dan memerlukan pembedahan segera. Selepas menjalani prosedur pembedahan pesakit luar yang dipanggil `endeavour laser varicose' pada 13 April lalu, keadaannya semakin pulih.

Pengajaran untuknya yang mahu dikongsi bersama yang lain: "Semua wanita tidak seharusnya mengambil ringan mengenai sesuatu yang luar biasa pada tubuhnya dan menunggu ke saat akhir untuk mendapatkan rawatan.

Ambil tahu dan cuba dapatkan maklumat dari laman web, bahan bacaan mahupun pakar perubatan sekiranya perlu. Walaupun Varicose Vein agak lazim dan boleh disebabkan faktor genetik, kehamilan dan berdiri terlalu lama, ia boleh dirawat dan disembuhkan dengan pelbagai cara. Membiarkan saja masalah ini sehingga melarat dan menjejaskan kualiti hidup anda bukanlah pilihan yang bijak kerana ia boleh diubati.

Boleh sebab kan ulser kulit jika tidak dirawat lebih awal

URAT simpul atau Vena Varikos (Varicose Veins) adalah satu masalah lazim yang dialami 15 peratus orang dewasa yang mana 10 peratus daripadanya adalah wanita selepas bersalin.

Vena varikos adalah keadaan yang mana salur darah vena yang besar, kelihatan berbelit-belit, bengkak dan membonjol. Ia sering berlaku dan cukup jelas di bahagian kaki dan belakang betis.

Punca berlakunya vena varikos adalah disebabkan sama ada pengaliran darah yang perlahan dan menyebabkan darah terkumpul di dalamnya atau injap di dalam vena tidak berfungsi dengan baik menyebabkan darah yang mengalir turun mengikut graviti terkumpul dalam vena kaki.

Mengikut sebuah artikel terbitan Kementerian Kesihatan, vena varikos terjadi atau menjadi lebih teruk ketika mengandung disebabkan oleh pembesaran janin yang menekan atau memberi tekanan ke atas vena di bahagian pelvik dan vena kava bawah (inferior).

Vena ini yang besar, terletak di bahagian kanan badan yang menerima darah dari bahagian kaki dan sebahagian besarnya dari bahagian pelvis dan organorgan abdomen. Keadaan ini akan meningkatkan tekanan darah dalam vena di kaki dan menyebabkan pembentukan vena varikos.

Di samping itu, peningkatan hormon progesteron menyebabkan dinding saluran darah mengendur. Apabila anak dalam kandungan membesar, rahim juga turut membesar, menjadikan vena-vena semakin jelas kelihatan. Ketika mengandung, anda akan lebih mudah mendapat vena varikos di kaki - walaupun ia boleh terjadi di mana-mana saja bahagian badan, seperti di leher.

Apa yang pasti, anda akan dapat melihat vena-vena atau urat yang berwarna biru di bawah kulit dengan jelas kerana membonjol atau timbul. Penghidapnya pula mungkin berasa sakit atau langsung tidak mengalami apa- apa masalah.

Vena varikos ini akan beransur-ansur hilang selepas bersalin. Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada kejadian ini seperti sejarah keluarga yang pernah mengalami vena varikos dan berat badan berlebihan.

Perunding Am dan Pakar Bedah Vaskular Pusat Perubatan Prince Court (PPPC), Dr Tan Kong Hean, berkata semakin meningkat usia pesakit, vena varikos yang tidak dirawat akan menjadi teruk dan serius malah lebih menakutkan lagi ia boleh menyebabkan ulser.

"Bagaimanapun, ia mengambil masa 10 hingga 20 tahun untuk menyebabkan ulser kerana kulit yang sudah rosak akan mengakibatkan luka yang besar terutama di buku lali. Rawatan segera amat penting sebelum ia luka ini kerana untuk pulih semula akan mengambil masa enam bulan," katanya yang menjelaskan apabila pulih selepas rawatan ini, potensi untuk luka kembali adalah tinggi.

Menurut Dr Tan, vena varikos tidak dapat dicegah tetapi masalah ini boleh dikurangkan dengan langkah pengurusan diri yang baik seperti mengelak daripada mengenakan tekanan di bahagian kaki terutama sewaktu kehamilan.

"Apabila wanita hamil kerap merasa sakit, kejang, gatal dan kakinya bengkak, amalkan memakai stoking tekanan sepanjang masa, elak berdiri terlalu lama, jangan duduk bersilang kaki, lakukan senaman ringan dan angkat kaki sekerap mungkin," katanya.

Vena varikos biasanya akan hilang selepas bersalin namun sekiranya ia semakin serius sehingga mengganggu kualiti hidup, terdapat beberapa pilihan rawatan bergantung kepada tahap serius masalah vena berkenaan. Bagi ibu yang baru lepas bersalin, disarankan merawat malah ini enam bulan selepas melahirkan. Melakukan rawatan cahaya laser seperti `endeavour laser varicose' sewaktu hamil adalah tidak digalakkan kerana ia boleh mengundang komplikasi.

INFO

Vena varikos

* Vena berwarna ungu gelap atau kebiruan

* Vena kelihatan terbelit, berselirat dan membonjol di kaki.

Gejala menyakitkan yang dialami pesakit termasuk:

* Rasa sakit dan kaki berasa berat.

* Panas, otot kejang dan bengkak di bahagian bawah kaki.

* Bertambah sakit selepas duduk atau berdiri terlalu lama.

* Gatal di sekitar vena.

* Ulser kulit pada buku lali, menandakan keadaan semakin serius dan perlukan rawatan segera.

Beberapa prosedur rawatan vena varikos yang serius:

* Sclerotherapy - menyuntik cecair khas bertujuan mematikan vena yang bermasalah.

* Endeavour Laser Varicose - untuk merawat telangiectasis dan vena varikos yang kecil di bahagian muka atau kaki.

* Rawatan photoderm - menggunakan kateter yang dimasukkan ke dalam saluran vena.

* Lurutan kecil (Mini Stripping) - cara lama yang menggunakan wayar panjang khas yang dimasukkan ke dalam vena saphenous dari buku lali ke pangkal paha, dan kemudiannya ditarik keluar semua vena terbabit.

* High ligation - Pembedahan pada pangkal paha di mana vena saphenous diikat dan sambungan antara vena femoral dan vena saphenous diputuskan.

* Avulsion - beberapa pembedahan kecil di kulit kaki, vena varikos ditarik keluar sedikit demi sedikit sehingga tiada bonjolan vena varikos yang ketara. Pembedahan ini lazimnya disusuli prosedur `high ligation' untuk hasil rawatan yang lebih berkesan.

Sumber: Berita Minggu - Sun, May 22, 2011 -   Rona
Oleh Suzan Ahmad

No comments: