Tuesday, July 12, 2011

Apa yang anda perlu buat jika kenderaan anda ditarik balik

SIAPAKAH yang boleh menarik kenderaan?

Biasanya institusi perbankan akan melantik penarik yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Sewa Beli Malaysia untuk menarik balik kenderaan bermotor. Sebelum menarik balik kenderaan bermotor, penarik mestilah menunjukkan kad pengenalannya, kad kuasa dan surat arahan penarikan yang dikeluarkan oleh institusi perbankan yang membenarkan penarik mengambil kenderaan bermotor tersebut. Anda boleh meminta untuk melihat kad pengenalan dan kad kuasanya sebelum menyerahkan kenderaan bermotor anda.

Apakah proses yang terlibat di dalam penarikan balik kenderaan?

1 Sebelum menarik kenderaan anda, institusi perbankan perlu menghantar Notis Jadual Keempat yang merupakan notis bertulis yang menyatakan hasrat institusi perbankan untuk menarik kenderaan anda.

2 Notis ini akan luput dalam masa 21 hari. Notis kedua akan dikeluarkan 14 hari selepas tarikh notis Jadual Keempat, untuk memberitahu anda bahawa institusi perbankan berhasrat untuk menarik kenderaan anda selepas luput notis Jadual Keempat. Anda boleh mengelakkan penarikan kenderaan anda dengan membayar jumlah tertunggak seperti yang dinyatakan dalam Jadual Keempat sebelum tempoh 21 hari atau memulangkan kenderaan tersebut kepada institusi perbankan sebelum tarikh luput.

3 Anda perlu menjelaskan baki hutang selepas ditolak nilai kenderaan tersebut.

Apakah yang akan berlaku selepas penarikan balik?

Dalam masa 21 hari selepas penarikan, institusi perbankan akan memberi kepada anda dan setiap penjamin notis Jadual Kelima yang membenarkan anda membayar balik jumlah hutang kepada institusi perbankan. Anda boleh meminta institusi perbankan untuk memulangkan kenderaan bermotor anda dengan:

* Menjelaskan semua jumlah yang tertunggak dan belanja tunai langsung (termasuk kos penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan, kos penarikan dan penghantaran balik) yang ditanggung oleh institusi perbankan; atau

* Membayar balik jumlah baki hutang sepenuhnya dan menyelesaikan semua belanja tunai langsung (termasuk kos penarikan, penyimpanan, pembaikan atau penyelenggaraan.

Sekiranya anda atau penjamin anda tidak menyelesaikan jumlah belum jelas seperti yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas notis Jadual Kelima dihantar kepada anda, institusi perbankan berhak menjual kenderaan bermotor tersebut melalui lelongan awam atau menawarkan kepada anda untuk membeli kenderaan tersebut pada harga yang lebih rendah daripada harga anggaran yang ditetapkan dalam notis Jadual Kelima.

Info dari: http://www.bankinginfo.com.my

No comments: