Monday, July 18, 2011

Pintar wang

1. Senaraikan semua sumber pendapatan anda. Catatkan gaji bersih selepas ditolak potongan KWSP, PERKESO dan cukai.

2. Senaraikan semua perbelanjaan anda. Bahagikan perbelanjaan kepada tiga kategori iaitu tetap, berubah-ubah dan berdasarkan budi bicara. Simpan 10 peratus daripada jumlah pendapatan anda sebelum berbelanja.

3. Tentukan kedudukan aliran tunai bersih anda. Jika ada lebihan, syabas diucapkan. Pastikan bajet anda mengikut perbelanjaan anda yang sebenar.

* Jika ada defisit, semak semula bajet anda dengan mengurangkan perbelanjaan budi bicara sehingga kedudukan aliran tunai menjadi positif. Sebaiknya, anda mempunyai lebihan wang untuk membina dana kecemasan.

Seperti yang anda boleh lihat, bukannya sukar untuk menyediakan bajet. Bagaimanapun, untuk memelihara dan mematuhi bajet dengan baik, anda perlu korbankan sedikit masa dan usaha.

Untuk menyediakan bajet yang terurus, anda juga perlu mengambil pendekatan yang lebih realistik dan anjal. Jika anda berpendapatan sederhana, adalah sukar untuk anda menabung dengan banyak dalam tempoh singkat.

Selain itu, anda perlu juga mengkaji semula bajet apabila timbul perbelanjaan yang tidak diduga atau apabila berlaku perubahan dalam harga semasa barangan dan perkhidmatan.

Apabila anda berada dalam kedudukan kewangan yang baik dengan mempunyai lebihan aliran tunai, maka anda sudah bersedia untuk membuat pelaburan.

Ada banyak jenis pelaburan termasuk hartanah, saham, bon dan sebagainya. Pulangan atas pelaburan berubah-ubah mengikut risiko yang berkaitan dengannya.

Oleh yang demikian, pelabur harus sedar mengenai tahap risiko yang boleh diambil sebelum membuat pelaburan. Melabur hanya dalam produk yang anda ketahui. Buat kajian dan pastikan anda memahami risiko yang terbabit.

Kata pepatah, jangan letakkan semua telur dalam satu bakul. Ingat, kunci kejayaan dalam mengurangkan risiko pelaburan ialah dengan melabur wang anda di dalam pelbagai instrumen pelaburan.

Setiap kali anda melabur wang hasil titik peluh, anda harus berwaspada terhadap skim cepat kaya. Selalunya skim ini menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko.

Skim cepat kaya sering kali dipromosikan melalui pelbagai saluran media seperti internet dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Sekiranya anda berhadapan dengan skim seperti ini, anda perlu lebih berhati-hati. Jika skim berkenaan nampak terlalu menguntungkan, berkemungkinan besar ia adalah suatu skim penyelewengan kewangan.

Antara tanda petunjuk skim penyelewengan kewangan ialah:

* Menjanjikan pulangan tinggi antara lima peratus hingga 20 peratus sebulan tanpa risiko atau dengan risiko rendah.

* Tawaran itu hanya bagi jangka masa terhad dan anda diminta menyertainya dengan segera.

* Skim itu berasal dari luar negara dan siasatan tidak boleh dilakukan ke atas pejabatnya atau statusnya tidak boleh dikenal pasti melalui laman web badan pengawal selia negara terbabit.

* Anda diminta mendedahkan maklumat sulit peribadi seperti akaun bank anda.

* Anda diminta mendeposit sejumlah wang untuk bayaran pemprosesan dan pentadbiran.

Petua utama ialah jangan bersikap tamak. Berbincang dulu atau semak dengan kawan-kawan dan keluarga anda atau bertanya kepada golongan profesional sama ada peluang itu tulen atau tidak.

Langkah ini adalah wajar walaupun skim terbabit diperkenalkan oleh seseorang yang rapat atau yang anda percayai.

Selain itu, selidik tawaran itu. Berwaspada sekiranya pelaburan terbabit menawarkan pulangan tinggi, berisiko rendah dan tanpa kos pelaburan, kemungkinan besar ia tidak benar.

Rumusan

* Penyata aliran tunai menunjukkan dari mana wang anda datang dan ke mana wang itu pergi bagi suatu tempoh tertentu.

* Bajet adalah alat mudah untuk membantu anda mengurus aliran tunai dengan lebih berkesan.

* Menyediakan bajet adalah amalan yang baik untuk memastikan anda hidup mengikut kemampuan.

* Tabungan adalah penting untuk membantu anda pada saat kecemasan.

* Penyata nilai harta bersih memberi gambaran mengenai kedudukan kewangan anda pada satu masa dan berfungsi sebagai alat untuk menjejak kemajuan anda.

Sumber: Berita Harian - Inspirasi

No comments: