Thursday, June 23, 2011

Hakikat insurans hayat

PADA zaman dulu, ada tiga insan buta terjumpa seekor gajah. Individu pertama meraba-raba belalai gajah, yang kedua meraba kaki manakala yang ketiga meraba-raba ekor gajah. Setiap mereka pun menggambarkan bentuk gajah. Orang buta pertama mungkin mengatakan gajah seperti seekor ular besar, yang kedua mungkin mengatakan ia umpama batang pokok manakala ketiga mungkin mengatakan yang ia seperti seutas tali.

Begitu jugalah setiap kita mungkin ada tanggapan atau pemahaman berbeza mengenai insurans hayat dan kita mungkin membentuk pendapat kita mengenainya berdasarkan pengalaman lalu. Kemungkinan besar, pemahaman kita mengenai insurans hayat berdasarkan makluman ejen kepada kita dan pengalaman lalu berkaitan - sama ada baik atau buruk.

Bagi tempoh beberapa minggu akan datang, kami akan menyiarkan siri rencana apa sebenarnya insurans hayat bagi menyingkirkan sebarang keraguan atau salah tanggapan mengenainya. Apa kami harapkan, anda dapat membuka mata kepada manfaat dan keajaiban insurans hayat serta mendedahkan semua perkara berkaitan selain bersikap sangat telus mengenainya. Paling penting, bagaimana ia boleh menjadi Teman Sepanjang Hayat Anda! Mari kita mulakan pengembaraan kita...

Apa insurans hayat?

Ia kontrak sah antara pemegang polisi dan penanggung insurans yang mana penanggung insurans bersetuju membayar sejumlah wang (Jumlah Diinsuranskan) apabila berlakunya kematian individu yang diinsuranskan (hayat yang diinsuranskan) atau peristiwa lain yang diinsuranskan, seperti Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (TPD) atau Penyakit Kritikal. Sebagai balasannya, pemegang polisi bersetuju untuk membayar amaun (premium) ditetapkan dalam selang waktu yang tetap atau secara sekali gus.

Apa yang dibeli?

Pada dasarnya, apabila kita membeli insurans, kita sebenarnya cuba mendapatkan ketenangan jiwa. Kita berasa yakin sekiranya sesuatu yang tidak diingini (misalnya kematian, TPD atau penyakit kritikal) menimpa kita, nasib keluarga kita dan orang tersayang akan terbela. Mereka akan tetap ada rumah tempat berteduh, makanan terhidang di meja dan pakaian tersarung di badan. Mereka boleh meneruskan kehidupan mereka tanpa banyak gangguan dan memastikan matlamat mereka boleh tercapai.

Adakah ia benar-benar perlu?

Soalan sebenar sepatutnya: "Sebanyak manakah anda menyayangi keluarga anda? Adakah anda seorang bapa atau ibu atau anak yang benar-benar bertanggungjawab? Adakah anda sampai hati membiarkan orang tersayang menanggung beban kewangan di saat mereka berhadapan dengan kesedihan?" Polisi Insurans Hayat sesungguhnya satu instrumen cinta dan kasih sayang. Sekarang, adakah anda rasa ia benar-benar perlu?

Bagaimana saya tahu jika amat memerlukannya?

Mengikut kebiasaannya, jika anda ada tanggungan iaitu sesiapa yang bergantung kepada anda dari segi kewangan, kemungkinannya anda perlu mempunyai insurans hayat. Namun jangan lupa, anda juga bergantung pada diri anda sendiri dan jika hilang keupayaan meraih pendapatan, mampukah anda menyara hidup anda? Jika tidak mampu, anda juga perlu memiliki insurans hayat. Ada lebih 16 juta penduduk di negara ini yang masih belum memiliki perlindungan insurans. Sebabnya pula berbeza termasuk tindakan individu menetapkan keutamaan yang salah dan mempunyai tanggapan yang salah bahawa insurans hayat adalah mahal. Sebenarnya, bagi individu berumur 25 tahun, anda boleh mendapat perlindungan insurans hayat dengan jumlah diinsuranskan RM50,000 untuk premium bulanan yang lebih rendah daripada RM30, atau cuma kira-kira RM1 sehari!

Adakah semua polisi insurans hayat sama?

Walaupun kebanyakan peruntukan kontrak sama, ada jenis polisi berbeza bagi memenuhi keperluan, bajet dan keadaan yang berlainan. Anda hendaklah sentiasa membandingkan, mendapatkan nasihat dan mengesahkan terma dan syarat sebelum memutuskan pelan yang tepat untuk anda. Walaupun ada produk yang cukup fleksibel dan boleh ditukar, insurans hayat adalah komitmen jangka panjang dan anda hendaklah memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan anda sebelum menyertainya.

Kesimpulannya, insurans hayat mungkin dijual seperti mana-mana produk lain tetapi ia tidak sama seperti mana-mana produk lain. Institusi insurans hayat adalah perlindungan jaminan kewangan bagi keluarga dan produknya, iaitu polisi insurans hayat adalah instrumen cinta dan kasih sayang. Malah selain perlindungan keluarga, tiada yang setandingnya!

Dalam rencana akan datang, kami akan membicarakan mengenai pelbagai aspek insurans hayat bagi membantu anda membuat keputusan yang bermaklumat. Adalah menjadi hasrat kami untuk menjadikan insurans hayat benar-benar Teman Sepanjang Hayat Anda!

Sumber: Berita Minggu - Sun, Jun 5, 2011 - Rona

No comments: