My Followers

Kenali ubat anda


DI bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Pindaan 1989) dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (pindaan 2006), semua ubat perlu didaftarkan dan kosmetik perlu dinotifikasikan sebelum dipasarkan di Malaysia.

Pendaftaran ubat-ubatan dan notifikasi kosmetik boleh dilakukan dengan mengemukakan permohonan kepada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK).

BPFK bertanggungjawab untuk memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk farmaseutikal yang di pasarkan serta kualiti dan keselamatan produk tradisional dan kosmetik.

Produk yang didapati tidak memenuhi syarat pendaftaran dan kualiti yang ditetapkan akan dikenakan tindakan, iaitu dipanggil balik daripada pasaran.

Pengambilan Ubat dengan Selamat

Semasa mengambil ubat, seseorang perlu mengetahui:

* Nama ubat (nama bahan aktif ubat/generik)

* Indikasi/Kegunaan ubat

* Cara pengambilan ubat, dos yang betul dan arahan pengambilan ubat

* Berapa lama ubat itu perlu dimakan

* Ubat itu adalah untuk penama (pesakit) sahaja, dan tidak boleh dikongsi dengan orang lain

* Bagaimana dan di mana ubat disimpan

* Jangan makan atau simpan ubat yang telah melewati tarikh luput atau sudah rosak (bertukar warna, bau atau bentuk)

* Ubat yang diambil adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia, mempunyai nombor pendaftaran dan hologram Meditag yang tulen

* Dapatkan maklumat lanjut daripada doktor/ahli farmasi sebelum mengambil ubat secara rawatan sendiri

Ubat di pasaran

Ubat preskripsi (ubat yang perlu preskripsi daripada doktor) mengandungi bahan racun berjadual di bawah Akta Racun 1952. Ubat yang tidak perlu preskripsi (ubat yang tidak perlu preskripsi dari doktor seperti ubat yang dijual di kaunter - vitamin, suplemen kesihatan dan ubat tradisional).

Bentuk ubat di pasaran

Bentuk ubat yang wujud di pasaran:

* Tablet

* Kapsul

* Cecair (untuk diminum/penggunaan dalaman seperti ubat batuk)

* Cecair (untuk penggunaan luaran seperti syampu)

* Ubat sedut

* Suntikan

* Titisan mata

* Titisan hidung / penyembur

* Enema

* Krim / losen

Kod MAL

Maklumat tentang ubat-ubatan boleh diperolehi dengan merujuk kepada kod pendaftaran pada bungkusan atau botol ubat. Semua ubat yang dijual di Malaysia mesti mempunyai huruf MAL, 8 nombor dan diikuti dengan satu abjad yang menjelaskan kategori ubat.

* A - ubat yang mengandungi racun berjadual (perlu preskripsi doktor).

* X - ubat yang tidak mengandungi racun berjadual (ubat yang boleh dibeli di kedai-kedai farmasi tanpa preskripsi)

* T - ubat tradisional/semulajadi

* C - pengilang berkontrak

* E - untuk export sahaja

* R - ubat dibungkus semula

* S - ubat dari sumber kedua

Pengawalan kosmetik di Malaysia

Mulai 1 Januari 2008, semua produk kosmetik perlu dinotifikasikan dengan BPFK sebelum diimport, dikilang atau dipasarkan di Malaysia.

Semua produk kosmetik yang bernotifikasi akan diberikan nombor notifikasi (NOT) diikuti dengan 8 nombor dan huruf `K'. Walaubagaimanapun, nombor NOT ini tidak perlu dicetak pada pek pembungkusan produk kosmetik.

Pengguna yang ingin menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh melayari laman web www.bpfk.gov.my untuk mengetahui nombor NOT produk berkenaan.

Ubat generic

Ubat generik ialah ubat yang mengandungi bahan aktif seperti terkandung dalam produk jenama (juga dikenali sebagai ubat innovator).

Ubat generik mempunyai persamaan dengan produk inovator dalam bentuk dosej, kekuatan, keselamatan, kualiti, cara pengambilan, kegunaan dan keberkesanan. Ubat generik dan produk jenama mempunyai kebaikan dan risiko yang sama.

Contoh, paracetamol merupakan ubat generik dan `Panadol' adalah produk jenama paracetamol atau ubat innovator.

Jika anda mengambil lebih daripada satu jenis ubat pada masa yang sama, anda perlulah mengetahui ramuan sebenar yang terkandung di dalam ubat-ubatan yang diambil itu. Ini penting untuk mengelakkan pengambilan sesuatu bahan ubat secara berlebihan.

Ubat generik biasanya lebih murah daripada produk inovator kerana ubat generik tidak mempunyai paten. Tambahan pula, pengeluar ubat generik kurang berbelanja untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk serta promosi produk. - Sam Wong, Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

Sumber: Harian Metro - Klassifieds
Post a Comment