Friday, May 20, 2011

Bina taman anda di rumah


Bina Taman Anda Sendiri Dengan 4 Langkah Mudah

1. Rancang

Pilih tema @ konsep yang sesuai dengan laman anda. Dapatkan bahan rujukan di majalah dan buku berkaitan landskap.

Rancang rekabentuk taman anda. Senaraikan tanaman dan landskap kejur yang bersesuaian. Pilih tanaman yang mempunyai warna, tekstur dan bentuk yang berbeza bagi menceriakan taman anda. Seterusnya sediakan anggaran perbelanjaan.

2. Sedia

Dapatkan tanaman dan aksesori landskap di nurseri berdasarkan senarai yang disediakan. Pilih pokok yang sihat dan elakkan pokok yang rosak atau berdaun kering.

Sediakan peralatan perkebunan seperti cangkul, penyodok tanah dan sarung tangan. Sediakan juga tanah campuran yang sesuai. Nisbah tanah yang baik adalah 3:2:1 iaitu 3 bahagian tanah, 2 bahagian bahan organic dan 1 bahagian Pasir.

Sedia, bersih dan tandakan kawasan yang hendak ditanam.

3. Bina

Gali lubang penanaman bersaiz 1m (panjang) x 1m (lebar) x 1m (dalam) bagi pokok besar dan 0.3m x 0.3m x 0.3m bagi pokok renek.

Letakkan tanah campuran di paras ¼ dari lubang tanaman, koyakkan polibeg dan letakkan pokok di dalam lubang tanaman. Elakkan dari mencederakan pokok dan akar. Kemudian, tambah tanah campuran ke dalam lubang tanaman dan padatkan tanah dengan mengunakan tangan atau kaki untuk mengelakkan terdapatnya ruang udara.

Setelah siap, bersihkan kawasan taman. Lakukan sungkupan jika perlu.  Siram tanaman anda.

4. Selenggara

Penyiraman perlu dilakukan 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang. Elakkan menyiram pokok pada waktu tengahari kerana daun dan batang boleh melecur.

Pembajaan, merumpai, mencantas dan kawalan makluk perosak perlu di lakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan taman anda subur dan indah.

Pastikan taman anda kemas, rapi dan selamat

* Amalkan penjagaan kebun yang baik dengan menyiram pokok, membuang rumpai, mencantas dan membaja.

* Elakkan dari menyimpan barang-barang yang tidak diperlukan di dalam kebun anda.

* Berhati-hati terhadap wujudnya kabel elektrik, paip air dan gas yang berada di dalam tanah.

* Gunakan sarung tangan untuk mengelakkan jangkitan kuman di dalam tanah. Basuh tangan setiap kali selepas aktiviti berkebun.

* Simpanlah perkakas kebun di tempat yang betul dan jauh dari kanak-kanak.

* Elakkan daripada merosakkan akar pokok dan tanaman sedia ada semasa menanam pokok-pokok baru.

* Buangkan air yang bertakung di dalam alas pasu bunga dan letaklah ubat pembunuh serangga ke dalam tanaman yang menakung air bagi mengelakkan pembiakan nyamuk. - Jabatan Landskap Negara

No comments: